Sabtu, 3 April 2010

PKPIM sokong kaji bebanan tugas guru

2010/04/03

PERSATUAN Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) menyokong penuh usaha mewujudkan jawatankuasa khas bagi mengkaji beban tugas berlebihan yang ditanggung oleh guru di seluruh negara. Isu ini sebenarnya sudah lama menjadi perbualan khususnya di kalangan guru namun sehingga kini masih belum nampak jalan penyelesaiannya.

Dengan penubuhan jawatankuasa khas ini, diharap dapat membantu mencari jawapan kaedah penyelesaian masalah yang membelenggu guru, yang pastinya banyak membantutkan usaha guru untuk menjalankan tanggungjawab dan amanah mendidik anak bangsa dengan sebaik mungkin.

Kebanyakan guru sekarang dibebankan dengan tugas pentadbiran dan hal teknikal sehingga menjejaskan tumpuan kepada tugas mendidik pelajar. Masa banyak dihabiskan untuk menyelesaikan masalah dan kerja pentadbiran sehingga menimbulkan tekanan kerja yang berat, sekali gus membuatkan tugas sebenar guru terabai.

Masa guru juga perlu banyak dihabiskan bersama pelajar demi membina hubungan akrab, sekali gus membantu guru mendidik pelajarnya dengan penuh sifat kebapaan dan keibuan. Oleh itu, guru bukan sekadar dapat mengajar di dalam kelas semata-mata malah dapat mendidik akhlak dan sahsiah pelajar agar menjadi insan beradab dan memiliki budi pekerti mulia.

Guru juga dapat membuat persiapan secukupnya demi merancang kaedah pengajaran lebih sistematik dan menarik minat pelajar di samping dapat menyediakan modul kontemporari sebagai persiapan mengajar.

Hal ini tidak mungkin dapat dilakukan oleh guru sekiranya mereka terlampau disibukkan dengan bebanan tugas pentadbiran dan pengurusan sehingga terpaksa menghadiri pelbagai mesyuarat dan akhirnya menyebabkan mereka sendiri terpaksa ponteng mengajar.

Pelbagai implikasi yang negatif akibat bebanan tugas pentadbiran dan pengurusan kepada guru yang perlu dikaji dan diperhalusi oleh jawatankuasa khas nanti. Semoga ia dapat mengurangkan bebanan tugas guru sehingga mereka dapat menunaikan amanah mendidik anak bangsa dengan lebih sempurna.
WAN MOHAMAD WASIF WAN MOHAMAD,
Exco Pendidikan dan Penyelidikan PKPIM

Berita Harian Online: 3 April 2010

2 ulasan:

bakal guru berkata...

rasa2nya guru2 ni setuju gini:
sama ada....

1)kluarkan semua kerja2 perkeranian yg xda kna mngena ngn PnP n tugas2 akademik guru...ATAU

2) tambah elaun/gaji sekurang2nya gaji basic N17 ke dlm DGA,DG41 dll, barulah ada rasional n objektif.

guru2 pon xla mengeluh bagai sbb kna wat kerja2 kerani tanpa bayaran

bakal guru berkata...

ni jgn salah faham lak yg guru ni materialistik, "nothing free in this world"

semua staf/kakitgn awam ke swasta ke, sgala2nya ada kos yg perlu dibayar.

so, fikir2 kan lah