Rabu, 23 Disember 2009

Banyak kerenah daftar sekolah anak OKU

SAYA mempunyai seorang anak istimewa dan disahkan menghidap sindrom auitisme-hyperactive yang harus belajar di sekolah atau kelas khas.

Sebagai ayah, cukup perit rasanya menguruskan kemasukan anak istimewa ini ke prasekolah khas.

Banyak prosedur yang perlu dihadapi, tetapi saya tetap bersabar demi kepentingan pelajaran anak.

Pertama, mesti melalui pemeriksaan dan pengesahan doktor; kedua, ke Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk memohon kad orang kurang upaya (OKU) dan ketiga, ke Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) untuk memohon kemasukan ke sekolah atau kelas khas terdekat. Segala dokumen ini diperlukan oleh pihak sekolah bagi pendaftaran anak istimewa.

Proses untuk mendapatkan pengesahan doktor kerajaan, mengambil masa hampir dua bulan.

Pilihan yang saya ada ialah ke Pusat Perubatan Universiti Malaya, Petaling Jaya. Walaupun bayaran dikenakan agak mahal, itulah pilihannya kerana saya mahukan keputusan segera dan perkhidmatan memuaskan.

Selepas mendapat surat pengesahan doktor, saya ke Pejabat PPD Petaling Perdana untuk membuat permohonan.

Untuk makluman, saya memilih Sekolah Kebangsaan (SK) Raja Muda di Seksyen 4, Shah Alam kerana dekat dengan tempat kerja di Universiti Teknologi Mara, Shah Alam dan tempat tinggal di Seksyen 13.

Apabila segala dokumen lengkap disediakan oleh pihak hospital dan PPD saya ke sekolah dengan harapan dapat membuat pendaftaran.

Namun, alangkah kecewanya saya apabila permohonan ditolak oleh guru penyelia atas alasan anak tidak bersedia untuk belajar.

Anak istimewa saya gagal pada sesi temu duga. Guru terbabit mencadangkan anak saya ditempatkan di Pusat Dalam Komuniti.

Saya tidak berputus asa dan mencuba nasib di SK Seksyen 20. Akhirnya, anak saya diterima tanpa ditemu- duga oleh guru kelas itu.

Menurut guru berkenaan, jika diadakan temu duga, hampir semua murid gagal. Saya amat berterima kasih atas kesudian guru itu menerima anak saya seadanya. Cuma dia hairan mengapa saya menghantar anak jauh dari zon sepatutnya.

Saya terkilan dengan tindakan guru di SK Raja Muda, Seksyen 4 yang menolak tanpa memberi tempoh percubaan sekurang-kurangnya tiga bulan kepada anak saya.

Tidakkah ada secebis simpati untuk mendidik anak istimewa ini?

Mungkin inilah satu daripada sebab ramai ibu bapa tidak menghantar anak ke kelas khas walaupun menyedari mereka OKU.

Terlalu banyak kerenah yang terpaksa saya ditempuhi tidak termasuk masa yang terpaksa dikorbankan semata-mata melayan kerenah ini.

Saya berharap pengurusan sekolah, PPD atau Jabatan Pelajaran Selangor dapat membuka mata terhadap kesulitan yang saya hadapi.

BAPA CEKAL,
Shah Alam,
Selangor.


Berita Harian Online: 23 Disember 2009

3 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Saya amat bersetuju dengan anda. Negara kita nampak maju dengan pelbagai teknologi yang baru namun dari segi menjaga kebajikan semua rakyat tidak kira bangsa, agama, status dan kesihatan masih lagi kurang memuaskan. Permohonan dilambatkan, kekurangan kemudahan OKU di tempat keawaman dan kurangnya tumpuan pada pembinaan pendidikan khas untuk kanak-kanak khas. Berbanding dengan seberang laut, kanak-kanak khas diberi tumpuan yang lebih dan juge diberi pendidikan yang sesuai dengan mereka. Apa gunanya jika kita dapat menjadi negara yang paling maju, kaya dan bernama jikalau kita tidak dapat menjaga rakyat kita? Harap diberi perhatian oleh pihak yang sepatutnya.

Tanpa Nama berkata...

assalamualaikum..sy nk bertnye mcm mne yek klu ank kcil 2 bkn warganegara malaysia tp hndak msuk ke sek istimewa ni...adakah ia akn dterime..

Nakhoda Ragam berkata...

Mmg benar saya pon dah lalui, skrg anak saya hanya di PDK dan bersekolah part time sekolah swasta. Nk join PPKI mmg pyh la... ada jer alasan x nak trime budak tu... even sy sggup tggu utk uruskan keperluan anak sy...