Rabu, 2 Disember 2009

Sayangi Sekolah: Berdaya saing

Oleh Zabidi Hitam
bidi@bharian.com.my


PERSEKITARAN Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Kuala Lumpur (SMKAKL), yang kondusif menjanjikan keselesaan kepada pelajar.

SMKAKL sasar kelima terbaik sekolah menengah agama

SEKOLAH Menengah Kebangsaan Agama Kuala Lumpur (SMKAKL), satu-satunya sekolah menengah agama di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang diwujudkan bertujuan menyediakan peluang pelajar negeri berkenaan mengikuti pendidikan formal aliran agama.

Sekolah kendalian Jabatan Pelajaran Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur wujud sejak 21 tahun lalu lagi dengan menumpang di beberapa sekolah antaranya SMK Wangsa Maju dan SM Puteri, sebelum menetap di bangunan sendiri di kawasan seluas 43 hektar di Bandar Manjalara, Kepong, pada 1993.

Sejak itu, sekolah berkenaan meraih pelbagai kecemerlangan sama ada peringkat negeri mahupun kebangsaan.

Pelajar sekolah itu pula dipilih kebanyakannya di kalangan lulusan cemerlang 5A Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) serta Mumtaz atau Jaiid Jinddan dalam peperiksaan sekolah rendah agama wilayah berkenaan.

Faktor itu secara tidak langsung membantu SMKAKL cemerlang dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Setiap tahun, apabila keputusan dua peperiksaan itu diumumkan, calonnya pasti menyerlah dan mengukir nama sebaris sekolah lain.

Berikutan itu, SMKAKL menjadi antara sekolah pilihan ibu bapa menghantar anak mereka mendapatkan pendidikan menengah aliran agama di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Pengetuanya, Sakijan Muri, berkata pelajar bukan saja berjaya memasuki institusi pengajian tinggi tempatan, malah luar negara termasuk Timur Tengah.

Beliau yang berhasrat menjadikan SMKAKL antara sekolah menengah agama berkata, pencapaian sekolah itu di kalangan SMKA seluruh negara melonjak daripada kedudukan 52 ke tangga 12, tahun lalu.

“Sasaran kami menjadi lima terbaik daripada 58 SMKA, tahun depan. Berikutan itu, pelbagai persiapan dirancang termasuk memperkenalkan 10 pelan strategik membabitkan pengurusan pentadbiran, akademik, kokurikulum, sahsiah, kebajikan dan bimbingan kaunseling.

“Saya percaya dalam waktu terdekat ini, kami mampu menduduki tangga teratas, sekali gus merangkul Anugerah Kecemerlangan Pengurusan,” katanya.

Selain akademik, SMKAKL juga meraih pelbagai kejayaan dalam kokurikulum, antaranya mewakili Kuala Lumpur ke pertandingan Forum Remaja empat tahun berturut-turut mulai 2006, naib johan pidato dan johan Forum Remaja peringkat negeri berkenaan.

Bagi Pertandingan Tadarus Peringkat Kebangsaan dua pesertanya, Akmal Afif Ahamad dan Nurul Amalina Zulkifli, masing-masing muncul johan tilawah dan hafazan al-Quran.

Beberapa pelajar lain pula terpilih sebagai personaliti TV9 bagi acara Taranum.

Pembabitan pasukan beruniform SMKAKL tidak kurang hebatnya, malah seorang pelajar, Muhammad Rozaimi Mohd Din menerima Anugerah Ketua Polis Negara apabila muncul sarjan terbaik kadet polis peringkat kebangsaan dan naib johan peringkat negeri bagi Kadet Remaja Sekolah.

Di peringkat antarabangsa, pasukan Pengakap SMKAKL mewakili negara ke Indonesia, Mei lalu.

SMKAKL mendapat penghargaan Lonjakan Saujana daripada Jabatan Pelajaran Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur kerana peningkatan Gred Purata Sekolah dari 1.3 ke 1.2 bagi peperiksaan PMR tahun lalu.

Pengiktirafan Kementerian Pelajaran pula diterima apabila sekolah itu memperoleh keputusan terbaik kebangsaan bagi subjek Pendidikan Islam dan Bahasa Melayu peringkat PMR dan Sejarah (SPM) pada tahun lalu.

INFO
Pencapaian SMKAKL


Johan

1. Tadarus al-Quran Kebangsaan 2008/2009

2. Tilawah al-Quran Kebangsaan

- Akmal Afif Ahamad

- Nurul Huda Mohd Noor

3. Hafazan Kebangsaan 2008/2009

- Nurul Amalina Zulkifli

- Mohamad Ali Mohamad Zali (ketiga)

4. Azan Kebangsaan 2008

5. Forum Remaja peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2008



Naib johan

1. Syarahan Agama Bahasa Melayu Kebangsaan 2008

2. Syarahan Kuiz agama Kebangsaan 2008/2009

3. Pidato Piala Diraja peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2009



Ketiga

1. Syarahan Agama Bahasa Inggeris Kebangsaan 2008



Pengurusan

Tempat ke-12 Pengurusan SMKA terbaik tahun lalu



Kokurikulum

1. Anugerah Ketua Polis Negara (Sarjan terbaik Kadet Remaja Sekolah peringkat kebangsaan) - Muhammad Rozaimi Mohd Din 2009

2. Naib johan peringkat negeri bagi Kadet Remaja Sekolah 2009.

3. Pasukan Pengakap - mewakili negara ke Indonesia pada Mei lalu.

Berita Harian Online: 2 Disember 2009

Tiada ulasan: