Khamis, 3 Disember 2009

Pengawas peperiksaan ada had kawasan

KEMENTERIAN Pelajaran ingin merujuk surat 'Pegawai Prihatin' bertajuk 'Elaun pengawas biar sama' yang disiarkan ruangan ini, 5 November lalu. Bayaran kepada pengawas pusat peperiksaan terdiri daripada dua bahagian iaitu bayaran elaun perjalanan dan bayaran elaun pengawasan.

Bayaran elaun perjalanan adalah mengikut Pekeliling Perbendaharaan 3 2003 dan Pekeliling Perkhidmatan 7 2007, yang antaranya menyatakan bahawa tuntutan kiraan perbatuan adalah dari rumah atau pejabat yang mana lebih dekat.

Sehubungan itu, kementerian meminta Jabatan Pelajaran Negeri (JPN), supaya menggunakan budi bicara dalam penempatan guru sebagai pengawas pusat peperiksaan pada jarak yang munasabah dari rumah dan pejabat.

Sebagai satu garis panduan umum, kementerian meminta JPN memastikan di mana yang boleh, bahawa jarak rumah atau pejabat ke pusat peperiksaan adalah dalam lingkungan 25 kilometer. Oleh itu, ada pengawas yang jaraknya lebih dan ada yang kurang daripada 25 kilometer. Hal ini memang tidak dapat dielakkan dan hanya berbeza jika pengawas peperiksaan itu bertugas di kawasan sukar di pedalaman atau persisiran. Maka, pengawas berkenaan berhak mendapat elaun khas yang diluluskan.

Dakwaan bahawa ada pengawas yang mendapat bayaran perjalanan menjangkau ribuan ringgit adalah tidak benar. Penyelia kawasan pun dihadkan perjalanannya dalam kerja pemantauan, iaitu tidak lebih daripada dua kali lawatan bagi setiap pusat peperiksaan dalam satu musim peperiksaan.

Ketua pengawas dibayar elaun asas (sebagai elaun tanggungjawab) dan elaun mengikut sidang peperiksaan, di samping elaun perjalanan.

Penyelia kawasan dibayar elaun asas (sebagai elaun tanggungjawab) dan elaun mengikut bilangan pusat peperiksaan di bawah jagaannya, di samping elaun perjalanan. Timbalan ketua pengawas dan pengawas dibayar secara elaun tetap, iaitu tanpa mengira bilangan sidang peperiksaan di samping elaun perjalanan.

Cadangan supaya elaun perjalanan dimansuhkan dan digantikan dengan elaun pengawasan mengikut sidang akan dikaji kesesuaiannya terutama dari segi pelaksanaannya secara seragam bagi seluruh negara. Misalnya bilangan dan taburan pusat peperiksaan di sesebuah daerah di Pulau Pinang tidak sama dengan bilangan dan taburan pusat peperiksaan di Sibu atau di Kapit, Sarawak.

UNIT KOMUNIKASI KORPORAT,
Kementerian Pelajaran.

Berita Harian Online: 3 Disember 2009

Tiada ulasan: