|
|
HULU SELANGOR 22 Dis. – Kementerian Pelajaran akan melakukan transformasi bagi memastikan kegiatan kokurikulum di setiap sekolah kembali dititikberatkan.
Timbalan Menterinya, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, ia bagi mengelakkan para pelajar menjadi terlalu obses dan tertumpu kepada peperiksaan semata-mata.
“Sehubungan itu, kerajaan akan merombak semula sistem yang ada dengan melakukan penilaian berasaskan sekolah.
“Jika dilaksanakan kelak, ia sekali gus menjadikan kegiatan kokurikulum di sekolah sama penting dengan peperiksaan,” katanya.
Beliau berucap merasmikan Perkhemahan Nasional Kadet Remaja Sekolah-Pusat Pendidikan Sri-SMI Bhd. (KRS-Musleh) 2009 di Taman Rekreasi Ulu Yam, di sini hari ini.
Menurut Mohd. Puad, kegiatan kokurikulum di peringkat sekolah mampu membina dan menyediakan modal insan yang lebih berkualiti pada masa depan.
“Program kokurikulum amat penting bagi membangunkan potensi anak-anak, kita tidak mahu anak- anak ini terperangkap dengan minda yang terpenjara,” katanya.
Jelasnya, kerajaan memperuntukkan RM3.6 bilion untuk 18 jenis bantuan dan RM300 juta setahun bagi dimanfaatkan sekolah-sekolah untuk kegiatan kokurikulum.
“Kita sedia membantu sekolah-sekolah swasta seperti Musleh dan berharap sekolah ini mampu memberi maklum balas yang positif kepada kerajaan,” katanya.
Sementara itu, perkhemahan anjuran Kadet Remaja Sekolah Musleh (KRS Musleh) itu disertai 1,000 peserta dari dalam dan luar negara.
Antaranya 104 peserta dari Pasukan Pengakap (Pramuka) Jaringan Sekolah Islam Terpadu (JSIT) Indonesia dan 12 peserta dari sekolah-sekolah sekitar selatan Thailand.
Selebihnya adalah peserta dari negara ini mewakili 34 sekolah menengah di bawah naungan Musleh.
Dalam pada itu, Jurulatih KRS Musleh, Azrul Fazli Abdul Aziz berkata, perkhemahan bertujuan merapatkan ukhuwah sesama saudara Muslim.
“Kita juga mahu menepis tanggapan bahawa kebanyakan pelajar sekolah agama swasta tidak bergaul dengan masyarakat dan sentiasa terpinggir,” katanya.
Utusan Malaysia Online: 23 Disember 2009
Tiada ulasan:
Catat Ulasan