Jumaat, 4 Disember 2009

Punca KPLI tidak diiklankan

KEMENTERIAN Pelajaran Malaysia (KPM) ingin merujuk kepada surat dalam ruangan ini bertarikh 17 November 2009 bertajuk Kenapa tiada pengambilan calon KPLI sesi 2010 oleh Cik Ziezie dari Port Dickson, Negeri Sembilan.

Untuk makluman penulis, iklan KPLI tidak diiklankan kerana masih ramai calon atau pemohon Ambilan Khas Jun 2009 berkelayakan yang masih belum ditawarkan kursus.

Bahagian Pendidikan Guru (BPG), KPM juga telah mendapat kebenaran daripada Menteri Pelajaran Malaysia untuk tidak mengiklankan pengambilan KPLI.

Keputusan ini juga selaras usaha kerajaan melaksanakan langkah berhemah dalam penggunaan belanja mengurus.

Calon KPLI Ambilan Januari 2010 diproses daripada calon simpanan sejumlah hampir 40,000 orang yang telah lulus Ujian Saringan tetapi tidak dapat ditawarkan pada Ambilan Jun 2009 kerana unjuran keperluan guru bagi Ambilan Januari 2010 hanya seramai 1,555 calon sahaja.

Relevannya BPG, KPM mengambil calon simpanan adalah kerana kesemua calon simpanan terdiri daripada calon yang telah lulus Ujian MTeST dan calon yang telah menjalani temu duga.

Disebabkan unjuran atau keperluan jawatan yang sedikit sebelum ini, mereka tidak dapat ditempatkan atau ditawarkan KPLI.

Unit Komunikasi Korporat

Kementerian Pelajaran Malaysia

Utusan Malaysia Online: 4 Disember 2009


Tiada ulasan: