Ada pihak mencadangkan guru SK dihantar mengikuti kelas pembelajaran Matematik dan Sains di SJKC terpilih. Ada pertubuhan perguruan mempertikaikan kewibawaan guru SK dalam mendidik pelajar, menuduh guru SK kurang memberi latihan kepada pelajar.
Semua pihak menghentam guru SK seolah-olah mereka yang harus dipersalahkan dan mengkritik pula menjalankan tanggungjawab dengan sempurna. Golongan ini langsung tidak melihat unsur lain yang menyebabkan prestasi SK merosot.
Sedarkah mereka SJKC hanya mengambil pelajar Cina pintar, manakala sisanya dihantar ke SK. Adilkah bebanan yang terpaksa ditanggung guru SK? Merekalah yang menjejaskan reputasi pendidik dengan membebankan guru SK dan SMK dengan tugas perkeranian yang menimbun saban tahun.
Pengetua dan guru besar pula menekan guru untuk menyediakan pelbagai laporan yang boleh dibuktikan kepada Jabatan Pelajaran Negeri agar mereka dapat gelaran cemerlang.
Itu belum lagi tugas sebenar iaitu pengajaran dan pembelajaran (P&P) yang 'terganggu' oleh keperluan jabatan lain seperti Jabatan Kesihatan atau Agensi Anti-Dadah Kebangsaan.
Semua keperluan ini patut dilakukan kerani, bukan guru kerana tugas sebenar mereka ialah P&P. Namun, semua itu dilonggokkan ke bahu guru dengan alasan semakin banyak kerja perkeranian, semakin profesionallah guru terbabit.
Sebenarnya banyak lagi aspek yang boleh dikambinghitamkan sebagai jawapan kegagalan murid di SK.
Antaranya ialah tiada tanggungjawab dan tidak prihatin ibu bapa, kemiskinan, kurang pendedahan, persekitaran dan kurang kemudahan. Semua ini dapat diatasi jika profesionalisme sebenar perguruan dikembalikan iaitu guru seratus peratus melaksanakan P&P.
Menteri Pelajaran sebelum ini pernah membuat penyelidikan banyaknya beban guru malah beliau mengungkapkan 'saya kasihan akan guru saya' apabila hasil kajiannya mendapati guru 'diseksa' dengan kerja perkeranian melambak-lambak.
Pemuda Umno Kuala Kedah.
Berita Harian Online: 8 Disember 2009
1 ulasan:
Sedarkah mereka SJKC hanya mengambil pelajar Cina pintar, manakala sisanya dihantar ke SK
Ternyata ayat di atas adalah salah. SJKC tidak mengambil pelajar pintar tetapi hampir keseluruhan bangsa Cina hantar anak mereka ke SJKC.
Keputusan sains dan matematik mereka cemerlang kerana mereka mengamalkan latihtubi. Malangnya proses tersebut tidak menjamin bahawa mereka benar2 pandai dalam subjek tersebut.
Saya bukan hendak mengulas pasal SJKC. Saya hendak mengulas pasal tugas perkeranian yang dijalankan oleh guru.
Tugas menyediakan laporan bukan tugas kerani. kerani tidak mempunyai pengetahuan untuk membuat laporan. Laporan perlu dibuat oleh guru kerana hanya mereka yang memahami kondisi sebenar apa yang berlaku. Sebab itu mereka perlu buat laporan. Zaman dahulu kita tulis atas kertas dan suruh keranai taip. Sekarang dah takde org buat mcm tu. Terus taip idea ke dalam komputer.
Guru-guru tolonglah jangan merungut. Cuba tanya guru-guru yang menjalankan tugas tanpa merungut. kerja mereka tip-top. mereka tidak merungut kerana mereka enjoy dengan kerja mereka.
Kerjaya guru sememangnya membebankan dan membosankan. Kita sendiri yang perlu mencari kaedah membahagiakan diri dengan beban tersebut. Bagaimana? Caranya, dengan memikul tanggungjawab yang diamanahkan secara bersungguh-sungguh. Jika kita ikhlas kepada tanggungjawab, maka insyallah kita akan beroleh keseronokan bekerja. jika kita tidak ikhlas, maka kita akan sentiasa merungut.
Sewaktu saya mengajar dahulu, tukang kebun sekolah bercuti. Tandas pelajar menjadi terlalu kotor. Bagaimana cara saya selesaikan masalah tersebut? Ambil paip, jirus lantai sendiri... Tak payah nak merungut. tandas bersih untuk hari tersebut. selesai masalah.
ikhlas,
http://reformasimindaguru.blogspot.com
Catat Ulasan