SAYA merujuk maklum balas Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia Datuk Alimuddin Md. Dom terhadap tulisan saya di Forum Utusan Malaysia yang bertajuk Erti Sebenar Guru Cemerlang.
Terlebih dahulu saya memohon maaf kerana barangkali saya tidak menulis secara jelas tentang apa yang saya maksudkan dengan beban kerja perkeranian dalam tulisan itu. Biar saya jelaskan lebih lanjut tentang ‘beban kerja perkeranian’.
Contoh pertama: Tugas guru kebajikan dan biasiswa. Saya berpendapat, semua guru, terutama sekali guru tingkatan ialah guru kebajikan. Sebab itulah banyak hal peribadi murid yang mengganggu pembelajaran mereka ada dalam pengetahuan guru. Ibu bapa bercerai, ibu bapa bergaduh, ayah dibuang kerja, ibu lari dari rumah, semuanya diadukan kepada guru. Itu tak mengapa. Jika sedikit tepukan di bahu dan mengesat air mata murid boleh membantu mereka belajar, saya fikir tiada guru yang merungut.
Tetapi guru biasiswa, lain pula ceritanya. Mereka perlu membuat salinan borang, mengedarkan borang, mengutip semula borang dan memastikan semua borang diisi dengan betul, termasuk memastikan semua salinan dokumen sokongan lengkap, seperti salinan kad pengenalan dan sebagainya. Sebelum semua ini bermula, mereka perlu mencari murid yang miskin untuk diberi bantuan biasiswa. Ada banyak jenis biasiswa untuk murid sekolah dan semuanya ada syarat layak yang tertentu, tetapi secara umumnya murid yang keluarganya mempunyai pendapatan kurang daripada seribu ringgit sebulan, layak mendapat bantuan.
Soalnya, tidak bolehkah kerja mengenal pasti murid dan semua ‘kerja-kerja kertas’ itu dibuat oleh kerani? Apa kaitan pengurusan biasiswa yang banyak melibatkan kertas itu dengan kerja guru yang sebenar, iaitu P&P?
Contoh kedua: Saya fikir hampir semua guru sedar bahawa bagi orang-orang politik, semua masalah sosial negara perlu diselesaikan di sekolah. Benar, sekolah memang tempat mendidik, tapi apakah setiap kali ada masalah kita hendak buat satu persatuan atau kelab baru. Tugas guru ialah mendidik murid membezakan apa yang salah dan apa yang betul dan kita mengajar mereka supaya berfikir sendiri. Kita tidak boleh sebut satu-satu ‘merempit salah’, ‘hisap dadah salah’ atau ‘mencuri salah’, kerana ada terlalu banyak kerja jahat dalam dunia ini. Kita perlu ajar murid berfikir sendiri.
Tetapi apabila kita menghadapi masalah mengatasi jenayah, guru diminta membuat satu kelab antijenayah. Bila ada masalah dadah pula, kita buat pula kelab antidadah, seolah-olah masalah dadah bukan jenayah yang tidak boleh digabung dengan antijenayah. Kemudian kita dapati murid kita tidak sayang kepada negara, kita buat pula kelab kenegaraan, seolah-olah Persatuan Sejarah sudah gagal. Kita boleh buat 100 persatuan dan kelab pun mengikut kehendak masyarakat luar, tetapi siapa yang hendak membuat kerjanya? Mengadakan persatuan bukan semata-mata berkumpul dan membuat aktiviti. Guru perlu menyiapkan laporan, mendaftar persatuan, mengambil gambar, membuat perancangan tahunan. Ini semua ‘kerja-kerja kertas’. Mengapa tidak boleh hantar pegawai polis atau pegawai dari Biro Tata Negara (BTN) datang menguruskan persatuan ini di sekolah? Datanglah setiap hari Sabtu misalnya, untuk aktiviti ini.
Contoh ketiga: Guru data. Tugas guru ini ialah merekodkan hal perjawatan guru, misalnya, tarikh lapor diri, tarikh lantik, tarikh temuduga, tarikh sah jawatan, tangga gaji, kursus dan sebagainya. Oleh kerana tugas merekod ini berat, maka guru-guru Data biasanya dikurangkan waktu mengajar, kepada 12 hingga 15 waktu daripada biasanya 25-29 waktu untuk guru-guru lain (setiap waktu ialah 40 minit di sekolah menengah dan 30 minit di sekolah rendah). Masalahnya, guru-guru data ini merekodkan perkara yang Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran sudah tahu, contohnya, tarikh-tarikh penting seperti tarikh lapor diri, tarikh lantik, tarikh sah jawatan. Bukankah surat datang dari SPP?
Contoh keempat: Guru tingkatan. Guru tingkatan ialah antara orang yang paling sakit kepala di sekolah kerana semua guru-guru lain bekerja melalui guru tingkatan. Guru biasiswa hendak edar borang, suruh guru tingkatan. Sekolah hendak cuti, guru tingkatan perlu edar surat. Guru SPBT hendak edar buku teks, guru tingkatan perlu uruskan. Murid kemalangan, hendak mohon insurans, guru tingkatan juga perlu uruskan. Guru Penolong Kanan kokurikulum hendak maklumat kokurikulum murid, pun suruh guru tingkatan, bukan suruh guru persatuan atau kelab. Murid tidak datang sekolah, guru tingkatan perlu hantar surat amaran. Kelas tak ada penyapu, pun guru tingkatan kena belikan. Kadang-kadang kalau kelas kotor, cikgulah yang kena menyapu walaupun sekolah ada tukang sapu swasta. Kalau pegang kelas baik, tak apa. Tapi kalau dapat kelas belakang, memang guru boleh kena serangan jantung.
Sekarang ini syukurlah kita ada sistem online yang mengumpul data peribadi murid yang kita panggil Sistem Maklumat Murid (SMM). Seorang guru dilantik menjaga SMM ini. Jika guru data menjaga maklumat guru, guru SMM menjaga maklumat murid. Tetapi, walaupun SMM sudah ada, guru tingkatan masih perlu mengisi kad 001. Untuk apa, saya pun tidak tahu. Setiap tahun, guru yang memegang kelas tingkatan 1 perlu menyiapkan kad 001 seawal bulan Februari atau Mac. Tetapi selepas itu tiada siapa yang hendak mengurus kad 001 itu, sebab hampir semua keperluan maklumat murid akan diambil dari SMM. Jika kita ada setengah juta murid baru masuk ke tingkatan satu, ada setengah juta lagi murid baru masuk darjah satu. Jika harga kad 001 itu satu ringgit, kita membelanjakan satu juta ringgit untuk kad 001 yang tidak digunakan pun. Ini duit siapa satu juta ini? Dan hal menguruskan kad 001 itu, tenaga siapa kalau bukan guru?
Contoh kelima: Guru perabot. Bila ada masalah perabot sekolah, guru ini kerjanya mengangkut kerusi meja yang rosak dan mengira berapa banyak perlu dihapuskan, berapa banyak perlu mohon yang baru, dan berapa banyak boleh dibaiki. Adakah semua ini membantu murid meningkatkan prestasi akademik dan sahsiah sebagaimana disebut oleh KPPM dalam tulisannya? Barangkali KPPM tidak pernah nampak rupa guru bermandi peluh turun naik tangga mengangkut perabot, ada yang ringan, ada yang berat. Saya pernah nampak; macam buruh yang kerja membuat bangunan.
Saya tidak nafi, di luar negara pun amalannya ialah melantik guru akademik membuat kerja pentadbiran. Tapi berapa banyak kerja pentadbiran yang mereka ada? Adakah sampai memakan masa 70-80% masa kerja? Saya pernah melawat sekolah di luar negara, dan Guru Besar mereka pun mengajar hampir separuh daripada masa kerja dan membuat kajian tindakan. Adakah Guru Besar dan Pengetua kita membuat kajian tindakan? Setahu saya, hanya negeri Johor mewajibkan semua guru membuat kajian tindakan, itupun ramai yang membuat kajian ‘depan komputer’ kerana kesuntukan masa.
Akuilah, kerja pentadbiran memang sudah mengganggu tugas hakiki guru kita. Kalau tidak mengapa Menteri Pelajaran sejak Datuk Hishamuddin bercakap tentang beban kerja guru?
Mengapa Menteri Pelajaran pernah menyebut tentang institut latihan guru sukan, supaya guru akademik tidak perlu lagi membuat tugasan kokurikulum, sebagai usaha mengurangkan beban kerja guru?
Adakah Menteri Pelajaran tanpa latar belakang pendidikan lebih sedar hakikat di sekolah berbanding KPPM yang pernah menjadi guru? dan mengapa perlu ada Standard Guru Malaysia (SGM) jika kita sudah ada Tonggak 12, kalau bukan kerana guru kita sudah terpesong dari apa yang digariskan dalam Tonggak 12, dek kerana kerja-kerja perkeranian ini? Atau adakah SGM dibuat supaya lebih banyak ‘kerja-kerja kertas’ dibuat oleh guru?
akmal fairuz
Lembah Pantai, Kuala Lumpur
11 ulasan:
sokong 100% kenyataan ini......bawa balik kerja dirumah jangan kira le...di sekolah tak sempat nak buat. ngajar 30 waktu....kena jadi guru smm lagi....
kalo sume kerani nak buat tambah la gaji..cikgu gaji beso tapi mengangkang
kerani sekolah sume malas belaka..
Tahniah Saudara.Saya menyokong kenyataan ini dan inilah realiti dunia perguruan.Pelbagai persoalan timbul dan menjadi kudis dlm alam sekolah.Diharap SGM adalah satu bentuk konsep yg betu2 ada standard.Jangan sekadar melepaskan batuk di tangga.Tugas guru adalah mendidik bukannya menjadi kerani.Tugas kerani adalah sebagaimana sepatutnya bukan lbh sudu dari kuah.
Sekian.Ada nama tapi taknak guna.
Tugas rasmi guru adalah melaksanakan P&P yang berkesan.. tetapi adakah ia benar2 berkesan jikalau seorang guru memikul lebih sepuluh tugas tambahan di sekolah termasuk memegang jawatan sebagai aset n inventori..harta modal kerajaan..terutama di sekolah pedalaman yg mempunyai sedikit guru n semua tugas tambahan walaupun diagih2kan kepada semua guru, tetapi masih terlalu banyak dipikul selain menjalankan tugas sebagai guru..saya rasa tugas ini kerani yang patut buat..sementara guru terkejar sini sana membuat semua tugasan..ada kerani yang goyang kaki..bila diminta tolong..sy pernah menerima jawapan "itu tidak tersenarai dalam tugas saya..so sy minta maaf.." kecewa memang ada..maka, kajian terperinci tentang meringankan beban guru dengan tugas tambahan ini dilaksanakan..orang yg pernah melalui semua ini sahaja yang faham betapa tertekannya memenuhi tuntutan kerja berkualiti...
saya dah n sedang melalui.sy sokng 100peratus.tugas guru masa kini sangat membebankan..
Saya adalah Pembantu Tadbir sebuah sekolah pedalaman...kerja-kerja perkeranian termasuk kewangan, biasiswa, yuran termasuk tugas penyelia asrama saya yang uruskan. Oleh itu, janganlah dipandang serong golongan kami ini. Gaji kami ni kecil sahaja berbanding gaji guru yang 3x ganda lebih besar.
Kerani sekolah saya masyaAllah pemalas hanya Tuhan saja yang tahu..
bukan semua tapi hampir semua..seorang je yg keje elok..yg lain..mcm2 alasan bagi kalo minta sesuatu..
sama jer guru @ pun kerani...klu kerani dikatakan malas...ada juga guru yg malas kan...bila gb/pengeta arahkan buat apa2 yg patut...bnyk jer alasan yg diberi..ikut pengalaman saya la...mgkin tempat lain tidak..saya sendiri...tugas gb, gpk1, gpk hem...tugas kerani sendiri..saya yg yg kena pening kepala fikirkan dan lakukan...rasanyer keluhan golongan kerani yg kecil ni mmg xkan dipandang mahal oleh guru2..yg lbih kenal dgn anak murid kan guru sendiri..bukannyer kerani kan...peluang dan kemudahan utk guru mmg sgt pelbagai dan sangat2 'best' serta beruntung...x mcm kerani..wlupun dekat dengan guru tapi jurang tu jauh beza...jadi berpada2 lah untuk membebankan kerani dengan tugas yang guru dapat dengan kelayakan dan kemudahan serta kelebihan yang guru2 sekalian ada..kita kat mana2 pun sama jer..jika ada kerani yg sudi membantu tugas guru..itu cuma satu bonus utk guru jer..bukan tugas hakiki kerani tersebut.
Memang guru sekarang kena buat macam-macam laporan, isi macam-macam borang atas talian. Kadang-kadang maklumat sama cuma tempat tak sama. Tambahan lagi kalau naik DG. Jadi guru tingkatan, ketua ni dan ketua tu. Mengajar 32 waktu. Tak cukup jadi pegawai aset lagi. Lagi pening dengan borang. Kerani setiausaha tetapi minit guru yang kena buat. Laporan guru yang kena siapkan. Kerani hanya buat surat iringan. Itu belum kira kerja menguruskanfail-fail. Buku latihan dibawa balik. Laporan banyak disiapkan dirumah. Bila talian internet atau server bermasalah, teraniayalah guru kena masuk berulang kali untuk maklumat hilang lagi. Guru kena on telegram atau emel awal pagi hingga malam. Borang, laporan dan sebagainya kena print sendiri. Bila masa untuk keluarga apatah lagi sendiri sedangkan beban kertas tak henti-henti tambah sedangkan pihak berkenaan asyik buat kajian beban tugas guru?
Tugas guru alaf ini kurang selamat
Catat Ulasan