SAYA menyambut baik kenyataan yang dikeluarkan oleh Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi, bahawa Kementerian Pelajaran mengalu-alukan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) untuk mengikuti kursus ijazah di Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) bagi mengatasi kekurangan guru j-Qaf di seluruh negara.
Ini kerana selama ini guru j-Qaf terdiri daripada mereka yang pernah belajar di Timur Tengah dan juga dari universiti tempatan. Sekiranya kursus j-Qaf ini ditawarkan kepada lepasan SPM, STAM, mahupun Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), sudah tentu sedikit sebanyak akan dapat mengatasi kekurangan guru j-Qaf pada masa akan datang.
Cuma diharapkan cadangan pengambilan ini mestilah seiring dengan jumlah guru Pendidikan Islam. Jangan pula nanti guru Pendidikan Islam pula yang kurang. Justeru saya menyeru Kementerian Pelajaran menambah bilangan calon yang mengambil bidang Pendidikan Islam di IPGM seluruh negara.
Tambahan pula, ada di kalangan guru Pendidikan Islam yang telah bertukar bidang setelah mereka berjaya memasuki program ijazah, sama ada sepenuh atau separuh masa. Ada juga sebahagiannya yang mengajar mata pelajaran lain di sekolah kerana mengisi kekosongan guru yang mengajar mata pelajaran teras seperti Bahasa Melayu, Matematik dan sebagainya atas arahan pentadbir.
Jadi ini menjejaskan proses pengajaran dan pembelajaran. Itu belum lagi guru Pendidikan Islam yang diminta mengajar di kelas Pendidikan Khas. Umum mengetahui bahawa guru yang mengajar di kelas Pendidikan Khas diberi elaun. Tetapi guru Pendidikan Islam yang mengajar di kelas Pendidikan Khas tidak layak mendapat elaun kerana tidak sepenuhnya mengajar di kelas khas.
Ada antara guru Pendidikan Islam yang sebahagiannya mengajar di kelas arus perdana dan sebahagian lagi di kelas Pendidikan Khas padahal jumlah waktu mengajar di kelas Pendidikan Khas adalah 24 waktu.
Ada juga guru Pendidikan Islam yang mengajar di kelas Pendidikan Khas dan sebahagian waktu lagi mengajar di kelas Prasekolah padahal jumlah waktu mengajar di kelas Pendidikan khas adalah 26 waktu.
Apabila diajukan perkara ini kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), guru Pendidikan Islam tersebut memang tidak layak diberi elaun kerana tidak sepenuh masa mengajar di kelas Pendidikan Khas. Mereka tidak dapat berbuat apa-apa kerana mengikut arahan daripada pentadbir sekolah masing-masing.
Saya mohon pihak kementerian melonggarkan syarat pemberian elaun kepada guru Pendidikan Islam yang mengajar di kelas Pendidikan Khas. Pemberian elaun tersebut mestilah menyeluruh meliputi guru yang mengajar di kelas Pendidikan Khas.
Saya juga ingin mencadangkan kepada pihak kementerian agar mewujudkan serta menawarkan bidang kursus Guru Pendidikan Islam Pendidikan Khas di IPGM seluruh negara bersesuaian dengan kehendak semasa.
ustaz dilema
Shah Alam Selangor
Utusan Malaysia Online: 4 Disember 2009
Tiada ulasan:
Catat Ulasan