BATU PAHAT 19 Dis. - Kementerian Pelajaran mengenal pasti beberapa guru sukan profesional untuk ditempatkan di sekolah harian biasa di seluruh negara bagi memantapkan aktiviti sukan peringkat sekolah.
Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, penempatan mereka selaras dengan langkah kerajaan untuk menjadikan sukan satu elemen penting dalam pendidikan mulai tahun depan.
Menurutnya, guru terbabit yang diberikan latihan khas akan ditempatkan di sekolah-sekolah tertentu di setiap daerah bagi membolehkan kepakaran mereka dikongsi bersama oleh sekolah-sekolah berhampiran.
''Tujuannya kita hendak melihat sekolah melahirkan ahli-ahli sukan negara suatu hari nanti," katanya ketika merasmikan gelanggang sukan pelbagai guna dan pertandingan futsal di Pantai Rekreasi Punggur, Rengit di sini hari ini.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rengit, Ayub Jamil.
Menurutnya, walaupun guru sukan profesional ditempatkan di setiap daerah namun pembinaan sekolah sukan tetap diteruskan dari semasa ke semasa.
Beliau berkata, Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri memandang serius perkembangan sukan sekolah dan mahu kokurikulum itu dimantapkan lagi.
Utusan Malaysia Online: 20 Disember 2009
2 ulasan:
Itu adalah satu langkah yang baik.Cpj berpendapat sekiranya kita mahu melahirkan ahli sukan yang bertaraf dunia, penumpuan mesti diberi dari peringkat pra sekolah lagi.Kemudahan PJ dan Sukan terutama Gimnasium(memadai Gimnasium terbuka spt zaman British)wajib disediakan di semua sekolah rendah dan menengah di seluruh negara.Jumlah Guru PJPK yang terlatih mesti ditambah dari tahun kesetahun(setiap sekolah mesti ada 4 orang guru PJPK bagi sekolah 2 sesi) dan waktu PJPK mesti ditambah dari dua waktu menjadi empat waktu, lalu nama matapelajaran itu ditukar menjadi PJPK dan Sains Sukan.
saya sokong cikgupj kerana mp pjpk harus dilaksanakan oleh mereka yang mahir dan khusus serta berkelayakan khas dalam bidang sains sukan, bukan sepertimana sekarang di mana guru-guru mata pelajaran biasa mengajar pjpk. ini juga berlaku pada mata pelajaran muzik. biarlah guru-guru mengajar mengikut bidang pengkhususan masing-masing agar lebih efektif. bukan tangkapmuat sahaja untuk memenuhi jadual waktu.
Catat Ulasan