Khamis, 10 Disember 2009

Sekolah prestasi tinggi bukan autonomi

OSAKA 9 Dis. – Sebanyak 20 sekolah menengah yang dipilih sebagai sekolah berprestasi tinggi (SBT) akan mendapat beberapa imbuhan termasuk kelonggaran dalam mengurus kewangan, kurikulum dan pentadbirannya namun bukan secara autonomi.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ia bagi membolehkan sekolah terbabit yang terpilih berasaskan kriteria dan syarat ketat tidak terikat dengan peraturan sekolah biasa namun terus dipantau bagi mengekalkan kecemerlangannya pada masa depan.

“Kita sedang susun apakah imbuhan yang mereka boleh dapat selain status SBT antaranya insentif kewangan dan fleksibiliti dari segi kurikulum.

“Contohnya, jika ramai pelajar sekolah berkenaan sudah mahir bahasa Inggeris maka tidak perlu memberi tumpuan yang lebih sebaliknya boleh digunakan bagi mata pelajaran yang perlu diperbaiki,” katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri persidangan meja bulat dengan kapten industri di sini hari ini.

Beliau memberitahu, dari segi perbelanjaan, sekolah biasa ada had dan batasannya tetapi SBT akan diberi kelonggaran untuk merancang perbelanjaannya.

“Mengenai operasi pula, kita akan bagi kelonggaran tertentu bukan autonomi supaya sekolah boleh berkembang dan tidak terikat dengan syarat ditetapkan tetapi kita akan pantau supaya kedudukan sekolah ini akan terus cemerlang,” katanya.

Mengenai kriteria pemilihan SBT, Muhyiddin berkata, ia perlu memenuhi syarat ditetapkan terutama mencatat pencapaian akademik minimum sekitar 80 peratus, berjaya membina personaliti unggul pelajarnya termasuk melahirkan ramai tokoh negara serta banyak memenangi anugerah di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Menteri Pelajaran itu juga memberitahu, pihaknya sedang berbincang dengan Perbendaharaan untuk memberi imbuhan kewangan kepada setiap sekolah selain memperhalusi faedah atau imbuhan lain yang bakal mereka peroleh.

Beliau berkata, pemberian insentif dan keistimewaan kepada sekolah yang diiktiraf itu kini dalam peringkat akhir dan ia akan diumumkan selepas dikemukakan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam masa terdekat.

Katanya, penyenaraian SBT itu akan membolehkan 9,600 sekolah menengah dan rendah di seluruh negara mendapat petunjuk berhubung kedudukan mereka pada peringkat negeri dan nasional.

Kementerian Pelajaran mahu SBT menjadi penanda aras kecemerlangan untuk dicontohi sekolah-sekolah lain.

Sebagai sebahagian daripada Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dalam pendidikan, kerajaan menyasarkan sebanyak 100 SBT menjelang 2012. – UTUSAN

Utusan Malaysia Online: 10 Disember 2009

Tiada ulasan: