Setiausaha Agungnya, Lok Yim Pheng, berkata SGM amat ditunggu-tunggu oleh kesatuan itu kerana ia sejajar dengan dasar kesatuan untuk menyediakan pendidikan berkualiti kepada pelajar melalui guru yang berkelayakan dan berdedikasi.
"Ahli kami sudah pasti akan bekerjasama dengan Kementerian Pelajaran, sekolah, kolej dan institut latihan perguruan untuk mengekalkan dan memperbaiki standard yang ditetapkan," katanya ketika mengulas SGM yang dilancarkan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang juga Menteri Pelajaran di Sabah, kelmarin.
Dokumen itu akan dijadikan penanda aras kepada 300,000 guru yang mengajar, secara lebih efektif dalam kelas dan mereka juga perlu memiliki tiga aspek amalan nilai iaitu profesionalisme keguruan, pengetahuan serta kemahiran pengajaran dan pembelajaran yang tinggi.
Lok berkata, sebaik standard ditetapkan dan garis panduan jelas diperkenalkan adalah mudah kepada guru mengikuti dan melaksanakannya.
Pada masa ini, ada kekurangan dan kadang-kadang sukar untuk guru memberi perkhidmatan terbaik seperti mana yang diharapkan kerajaan dan masyarakat.
Beliau berharap garis panduan itu akan menggalakkan warga pendidik agar lebih inovatif dan berusaha
meningkatkan kemahiran pengajaran dan pengetahuan mereka.
Sementara itu, Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hassan berkata dengan pelancaran dokumen itu, Malaysia menjadi negara pertama di Asia Tenggara mempunyai SGM.
"Ia perlu dipuji kerana mampu menjadi penanda aras selain menjamin mutu dan kualiti guru sebagai penentu masa hadapan anak bangsa. SGM memberi gambaran jelas mengenai tugas guru," katanya.
Berita Harian Online: 4 Disember 2009
Tiada ulasan:
Catat Ulasan