Rabu, 30 Disember 2009

Sekolah Terbilang: Program Kedap

Oleh Norliza Abdullah
lizz@bharian.com.my


ABDULLAH Ab Rahman antara guru yang tidak jemu mendidik pelajar SKPSD.

Ibu bapa Orang Asli disuntik kuasai 3M bantu tingkat kecemerlangan pelajar

SEKOLAH Kebangsaan Putra Simpang Durian (SKPSD), Jelebu, Negeri Sembilan menganggap tugas mendidik anak Orang Asli dan ibu bapa mereka supaya setanding kaum lain sebagai tanggungjawab paling mencabar.

Guru besar sekolah berkenaan, Bahiah Abu Zarin, berkata pihak sekolah menyediakan kelas asas membaca, menulis dan mengira kepada 25 ibu bapa Orang Asli yang diadakan dua kali seminggu.


Beliau berkata, berkat kesungguhannya menguruskan sekolah dan mewujudkan kelas dewasa dikenali Kelas Dewasa Asli Penan (Kedap) membolehkannya menerima Anugerah Cemerlang Kementerian Pelajaran Kategori Sekolah Kebangsaan Orang Asli, baru-baru ini.

Katanya, pengiktirafan itu menyuntik semangat warga sekolah termasuk 20 guru yang tiga daripadanya Orang Asli untuk meneruskan khidmat bakti mendidik anak bangsa dengan penuh dedikasi.

“Pihak sekolah akan memastikan Kedap berjalan lancar, selain ibu bapa mengikuti pelajaran dengan selesa menerusi kemudahan disediakan.

ROS YUZIRA Razali (kanan) membimbing ibu bapa orang Asli membaca, menulis dan mengira menerusi program Kedap.

“Ibu bapa membina sendiri pondok bacaan yang dikenali sebagai Balai Batin, sekali gus membolehkan mereka menjalankan aktiviti bersama,” katanya.

Sebagai pendidik beliau berkata, kesungguhan dan dedikasi begitu diharapkan dalam meningkatkan kecemerlangan pendidikan untuk 222 murid Orang Asli. Guru akan bergilir mengambil cuti pada musim cuti ini bagi memastikan kelas bimbingan berjalan lancar.

Katanya, sepanjang Disember ini, semua murid Tahun Lima dikehendaki mengikuti kelas tambahan setiap hari.

“Kelas bermula Isnin hingga Jumaat disediakan khas bagi memastikan proses bimbingan untuk murid yang bakal menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) bermula lebih awal.

“Kita mahukan murid bersedia dengan menjadikan cuti sekolah sebagai masa terbaik mengulangkaji pelajaran. Usaha awal penting supaya murid mendapat bimbingan berperingkat hingga ke tarikh peperiksaan,” katanya.

Berdasarkan pencapaian akademik Bahiah berkata, pihaknya berpuas hati dengan prestasi calon UPSR tahun ini dengan peratus lulus penuh 73.3 berbanding 46.5 peratus pada 2008.

Walaupun pencapaian meningkat, beliau berkata peratusan itu boleh diperbaiki dan diharapkan kesungguhan guru dan kerjasama ibu bapa terus menyuntik semangat murid memberikan yang terbaik.

Dalam bidang kokurikulum pula, katanya, muridnya mencapai kejayaan cemerlang di peringkat kebangsaan bagi sukan bola sepak, bola keranjang dan kawat kaki.

“Pencapaian ini adalah berkat usaha semua pihak dalam memastikan murid luar bandar juga mencapai kejayaan cemerlang dan menikmati kemudahan sukan dan mewakili daerah peringkat kebangsaan setanding rakan mereka di sekolah bandar.

“Kemudahan sama rata ini juga dapat merapatkan jurang pendidikan antara mereka,” katanya.

Mengulas prestasi muridnya, Bahiah berkata, semua muridnya sama, bagaimanapun apa yang penting ialah masing-masing mengharapkan didikan, bimbingan dan motivasi berterusan.

Beliau berkata, semua usaha ini penting supaya murid terus bersemangat untuk belajar kerana setiap mereka mempunyai cita-cita dan berhasrat mencapai kejayaan.

Berita Harian Online: 30 Disember 2009

Tiada ulasan: