Khamis, 3 Disember 2009

Pendidik tak wajar lakukan tugas pentadbiran

SAYA merujuk kenyataan Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Md Dom yang menyarankan supaya guru menerima saja tugasan yang diberi kerana ia akan membentuk sikap bertanggungjawab dan dedikasi kepada tugas sebagai pendidik.

Sebagai guru, saya percaya semua guru bersetuju dengan pandangan beliau. Pendedahan kepada pelbagai bidang tugas memang satu nilai tambah kepada modal insan guru. Namun begitu, saya berpendapat, sebagai Ketua Pengarah Pelajaran, beliau patut sudah mengetahui mengenai bebanan tugas guru yang sudah menyebabkan hampir 80 peratus guru hilang fokus, masa dan tenaga yang sepatutnya ditumpukan kepada tugasan sebenar, iaitu mengajar di dalam kelas.

Perkara ini jika berlarutan, kalau ditambah bilangan guru sepuluh kali ganda pun, tapi kalau semuanya hendak buat kerja pentadbiran, memang tidak berubah keadaan sekolah kita. Inilah yang menimbulkan rungutan guru.

Apabila proses pengajaran dan pembelajaran terganggu, murid ketinggalan dalam akademik dan menimbulkan masalah disiplin. Kemudian ibu bapa pula merungut. Padahal sebagai guru, kita sudah melakukan apa yang termampu dalam masa dan tenaga yang terhad.

Tugas perkeranian ini bukan saja sudah menyebabkan tumpuan kepada bidang akademik terganggu, malah ia mengelabui mata pentadbir dalam bidang pendidikan juga, bermula dari pentadbir sekolah, sehinggalah ke peringkat jabatan pelajaran negeri-negeri.

Malah, pada pendapat saya, pelantikan Ketua Pengarah Pelajaran daripada kalangan guru yang juga orang akademik (yang akhirnya terpaksa duduk di pejabat membuat tugasan pentadbiran) ialah bukti bagaimana fokus kepada akademik dilonggarkan.

Kenapa tidak kita berikan kerja pentadbiran kepada orang pentadbiran, dan kita orang akademik, buatlah kerja akademik.

AKMAL FAIRUZ,
Institut Perguruan Bahasa Antarabangsa (IPBA)
Lembah Pantai,
Kuala Lumpur.

Berita Harian Online: 3 Disember 2009

1 ulasan:

MUS berkata...

Biasalah...apabila kita berada di atas, mulalah kita lupa orang di bawah. Lumrah manusia peringkat atasan yang tidak mahu menyusahkan diri sendiri. Mungkin Tan Sri sudah berasa selesa dgn kedudukan sekarang, menganggap guru-guru di sekolah sebagai mesin yang tidak ada perasaan, tidak ada keluarga, tidak ada masalah dan tidak ada hak untuk membela diri sendiri.
Tan Sri tak tahu ke betapa ramai guru2 yang mengalami tekanan jiwa disebabkan kerja2 perkeranian yang dilakukan secara berulang2 setiap hari dan tahun. Apatah lagi bagi guru yang memegang kelas dan mengajar pula kelas yang menghadapi peperiksaan. Kelas tambahan petang, waktu cuti, jadi kerani cabuk lagi, aktiviti ko-kurikulum, sukan dan macam2 program sekolah dan jabatan.
Tambahan pula ada budaya pentadbir yang memeras dan membuli guru yang rajin dan membiarkan guru yang kurang rajin terus selesa dengan sikap mereka.
Pelik tapi benar...itulah hakikat pentadbir yang memandang enteng masalah guru2 mereka.
MELAYU MUDAH LUPA...dialah tu!