Isnin, 7 Disember 2009

Pentadbiran juga bidang tugas guru

KEMENTERIAN Pelajaran ingin merujuk surat dalam ruangan ini bertarikh 3 Disember lalu atas tajuk 'Pendidik tak wajar lakukan tugas pentadbiran'.

Kenyataan 'guru-guru baru hendaklah bersedia menerima sebarang tanggungjawab diberikan pengetua/guru besar mereka', adalah ucapan saya ketika merasmikan konvensyen guru baru, Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) yang berjumlah lebih 500 orang di Putrajaya baru-baru ini.

Pada umumnya, profesion perguruan memerlukan komitmen tinggi semua pendidik. Ini bagi memastikan generasi pewaris negara iaitu anak didik diberikan pendidikan yang tidak berbelah bagi. Malah, kenyataan 'Akmal Fairuz' dalam sebuah akhbar tempatan 3 Disember lalu mengenai tugas profesional guru dan tugas pentadbiran, masih boleh dipersoalkan.

Sebenarnya tugas seperti menulis buku rekod mengajar, memeriksa buku latihan murid dan surat makluman kepada ibu bapa/penjaga adalah sebahagian tugas profesional guru. Semua guru bertanggungjawab untuk mengenal pasti dan prihatin terhadap kemajuan serta kelemahan setiap anak didik mereka.

Makluman ini bukan saja untuk pengetahuan guru bahkan untuk disampaikan kepada ibu bapa/penjaga. Oleh itu, tugas yang dikatakan tugas perkeranian itu sebenarnya, sebahagian tugas guru untuk mendidik setiap murid bagi mencapai objektif pendidikan.

Dalam melaksanakan tugas sebagai seorang pendidik, pengajaran dan pembelajaran (P&P) tidak hanya berlaku dalam bilik darjah, malah guru perlu mempunyai kreativiti serta inisiatif untuk melaksanakan P&P melalui aktiviti di luar bilik darjah.

Seorang guru perlu berusaha untuk membentuk kemahiran berfikiran kritis dan kreatif murid belajar melalui pengalaman secara terus (kontektualisme dan konstruktivisme) seperti gerak kerja luar bilik darjah, lawatan sambil belajar dan aktiviti kemasyarakatan bersesuaian dengan keperluan murid.

Usaha ini membabitkan pembentukan nilai murni, sahsiah, peribadi mulia serta kemahiran insaniah melalui aktiviti pasukan beruniform, kelab, sukan dan permainan dan lain-lain aktiviti luar darjah.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran berhasrat memperkasa sukan dan permainan di sekolah bagi melahirkan atlit muda. Hal ini sudah tentu memerlukan komitmen guru sebagai orang di barisan hadapan untuk melatih dan mengenal pasti bakat murid.

Oleh itu, latihan sebegini adalah juga tugas profesional seorang guru. Ini juga selaras Falsafah Pendidikan Kebangsaan iaitu untuk melahirkan murid yang seimbang dari segi intelek, jasmani, emosi dan rohani.

Seorang pentadbir sekolah perlu dilantik di kalangan profesional (guru) kerana berasaskan kepada pengetahuan dan pengalaman, pengetua/guru besar berupaya untuk memastikan semua dasar yang berkaitan dengan pembangunan kemanusiaan dapat dilaksanakan selain urusan pentadbiran biasa.

Guru mempunyai kelebihan dari segi pengetahuan ilmu psikologi kanak-kanak/remaja dan kepakaran dalam pedagogi. Maka, semua guru sebagai seorang profesional perlu merebut peluang menimba pengalaman dengan membabitkan diri dalam pelbagai aktiviti sebagai langkah menyediakan diri untuk menjadi seorang pengurus dan pentadbiran profesional kelak.

Berkaitan dengan pandangan 'Akmal Fairuz', guru hanya memberi tumpuan kepada P&P di bilik darjah, tidak begitu tepat. Pengurusan pendidikan dilaksanakan oleh orang profesional. Mereka lebih arif dan berpengalaman mengenai perkara membabitkan pendidikan dan melahirkan modal insan.

Tidak salah guru yang berpengalaman dilantik sebagai pentadbir seperti menjadi Pengetua/Guru Besar, pegawai PPD/JPN hingga peringkat kementerian. Ini juga menjadi amalan di kebanyakan negara maju.

Adalah menjadi harapan saya, semua guru melaksanakan tanggungjawab penuh dedikasi dan amanah bagi memartabatkan profesion perguruan dan meningkatkan kualiti perkhidmatan pendidikan yang diberikan kepada rakyat selaras gagasan '1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.'

TAN SRI ALIMUDDIN MOHD DOM,
Ketua Pengarah Pelajaran Kementerian Pelajaran.

Berita Harian Online: 7 Disember 2009

1 ulasan:

Makmal Perguruan Ibubapa berkata...

Seandainya guru dapat menjiwai tanggungjawab sebagai seorang guru, nescaya mereka sanggup melakukan sebarang tugas bagi mencapai matlamat seorang pendidik iaitu melahirkan insan yang berketrampilan.

Bayangkan tanggungjawab guru masa dahulu dimana mereka juga memikul tanggungjawab untuk menyatukan masyarakat setempat menentang penjajahan. Mereka melaksanakan tanggungjawab tambahan tersebut kerana mereka mempunyai harga diri bukan kerana wang ringgit.

Jika guru-guru merungut kerana terpaksa menjalankan tugas pentadbiran bermakna guru tersebut sebenarnya gagal untuk menjiwai tanggungjawab mereka.

Berhentilah merungut wahai guru-guru. Kita telah ditakdirkan untuk mendidik manusia sebaik mungkin. Jika kita berpegang kepada hakikat kita adalah insan istimewa pilihan Tuhan untuk mendidik, maka kita tidak akan berkira dalam menjalankan sebarang tugas.

ikhlas,

http://reformasimindaguru.blogspot.com