Selasa, 22 Disember 2009

Sekolah tutup jika banjir teruk

Oleh Syuhada Choo Abdullah
choo@bharian.com.my


ORANG ramai bersiap-sedia membeli barang keperluan di sebuah kedai selepas air Sungai Golok yang mencecah paras bahaya mula melimpahi pekan Rantau Panjang, semalam.

Kementerian Pelajaran mahu pastikan keselamatan pelajar tidak terancam

KUALA LUMPUR: Persekolahan di negeri yang masih dilanda banjir apabila sesi baru bermula pada 3 dan 4 Januari depan, akan ditangguhkan sekiranya keselamatan pelajar terancam.

Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom, berkata Kementerian Pelajaran sentiasa mengutamakan keselamatan pelajar dan tidak akan membenarkan mereka ke sekolah jika keadaan banjir boleh membahayakan nyawa mereka.

"Berhubung perkara ini, pihak Jabatan Pelajaran Negeri, Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) dan guru besar atau pengetua sekolah terbabit lebih mengetahui keadaan sebenar banjir yang berlaku di kawasan masing-masing.

"Oleh itu, kementerian menyerahkan kepada mereka untuk berunding bersama dan membuat keputusan sama ada pelajar boleh ke sekolah jika banjir masih berlaku apabila sesi baru bermula nanti kerana yang menjadi keutamaan ialah memastikan keselamatan pelajar tidak terancam," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Kelantan dilanda banjir kali keempat bagi musim tengkujuh tahun ini mulai petang kelmarin, dengan 203 penduduk daripada 63 keluarga di sekitar Kuala Krai dan Rantau Panjang, dipindahkan.

Laporan akhbar semalam memetik Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran Kelantan, Anuar Yahya, sebagai berkata banjir kali keempat yang melanda dijangka merebak sekiranya hujan lebat berterusan untuk tempoh beberapa hari lagi.

Di samping mengutamakan keselamatan pelajar, Alimuddin berkata, kementerian menitikberatkan tanggungjawab kepada komuniti dan sentiasa bekerjasama untuk membantu mangsa banjir dengan menyediakan sekolah sebagai pusat pemindahan sementara.

Sekiranya sekolah masih digunakan sebagai pusat pemindahan apabila sesi baru dibuka nanti, beliau berkata, ia tidak akan menjejaskan aktiviti pembelajaran pelajar di bilik darjah berikutan mangsa banjir boleh ditempatkan di dewan atau asrama.

Selain itu, katanya, perbincangan akan diadakan dengan pihak berkuasa tempatan bagi mengenal pasti sebarang lokasi lain yang juga boleh dijadikan pusat pemindahan mangsa banjir.

Mengenai perkembangan persediaan untuk pembukaan sesi persekolahan baru tidak lama lagi pula, Alimuddin berkata, bekalan perabot baru sudah dihantar ke sekolah bagi menggantikan kerusi dan meja yang rosak akibat ditenggelami banjir sebelum ini.

"Guru besar dan pengetua juga sudah mengambil tindakan untuk memastikan kerusi serta meja baru diterima itu diletakkan di tempat selamat supaya tidak ditenggelami banjir kerana sekarang masih musim tengkujuh.

"Kementerian memang memberi penekanan kepada persediaan supaya aktiviti pengajaran dan pembelajaran di sekolah berjalan lancar apabila sesi baru bermula nanti," katanya.

Berita Harian Online: 22 Disember 2009

Tiada ulasan: