SAYA terpanggil untuk berkongsi rasa dengan para pembaca ruangan ini. Berkongsi rasa sedih dihina dan rasa terkilan dengan pandangan Cikgu Ju, Rawang, dalam ruangan ini pada 16 Disember lalu. Mungkin juga rasa terkilan saya ini turut dirasai oleh rakan-rakan lain yang setaraf saya seperti Cikgu Diploma, Shah Alam.
Saya tidak menyalahkan Cikgu Ju mengutarakan pandangan dan keluhannya kerana bagi saya, pandangannya amat tepat dalam situasi sekarang. Siapa tidak marah, setelah berpenat lelah mengejar ilmu, jawatan tinggi yang diidam-idamkan diberi kepada orang yang lebih rendah taraf pendidikannya.
Mungkin tujuan sebenarnya Cikgu Ju melanjutkan pelajaran adalah untuk merebut jawatan-jawatan teratas di peringkat sekolah, bukannya menambahkan ilmu di dada. Rebutlah Cikgu Ju. Sandanglah semua jawatan tertinggi yang ada di sekolah rendah itu. Kami yang daripada golongan DGA29 dan DGA32, malah mungkin DGA34, sedikit pun tidak hairan dengan semua itu!
Tetapi saya sama sekali tidak mengizinkan Cikgu Ju menghina kami sebagai 'guru yang hanya tahu duduk diam seperti menunggu buah jatuh dari langit' dan kami ini sebagai guru yang 'tetap guru tak ada ijazah!'
Cikgu Ju, adakah menghina orang yang lebih rendah tarafnya itu yang Cikgu Ju tuntut ketika melanjutkan pelajaran? Pernahkah Cikgu Ju bercampur dengan golongan DGA29 dan DGA32 ini untuk bertanyakan mengapa mereka tidak melanjutkan pelajaran? Mungkin ada segelintir daripadanya yang sememangnya malas untuk memikirkan tentang tesis dan sebagainya.
Tetapi bagaimana pula golongan yang masih tidak berpeluang untuk melanjutkan pelajaran seperti saya, walaupun keinginan untuk memegang segulung ijazah sentiasa berkobar-kobar? Ada antara kami yang terpaksa mengorbankan hasrat murni itu lantaran ada komitmen yang lebih penting dan tidak dapat dielakkan seperti masalah keluarga, mendahulukan keperluan anak-anak yang memerlukan ibu, kewangan dan sebagainya.
Kenapa perlu ada perasaan dengki terhadap kami guru-guru yang tidak berijazah ini? Teruk sangatkah mutu kerja kami yang tidak berijazah ini di sekolah?
Saya rasa dan mungkin ramai yang menyokong, bahawa terdapat ramai guru DG41 (terutama yang terpaksa memilih bidang perguruan) yang tidak tahu membuat kerja, asyik menolak apabila diberikan tanggungjawab yang bukan bidang mereka.
Akhirnya, (saya rasa Cikgu Ju tahu) Guru Besar terpaksa juga menyerahkan tugas-tugas tersebut kepada kami untuk melancarkan kerja. Mungkin pengajian dua setengah tahun di maktab membuatkan kami menjadi guru serba boleh.
Jadi saya berharap Cikgu Ju janganlah 'ibarat marahkan nyamuk, kelambu dibakar'. Saya rasa di peringkat sekolah, Cikgu Ju (sekiranya berjaya menjawat jawatan Guru Besar nanti) tidak akan mampu melakukan kerja tanpa bantuan daripada kami yang lebih berpengalaman dan lasak ini.
Sekiranya Cikgu Ju menjadi ketua nanti, janganlah Cikgu Ju menghina golongan yang belum berijazah seperti kami. Ingatlah dan bayangkanlah ketika Cikgu Ju pernah berada dalam kelompok kami ini.
CIKGU SERBA BOLEH
Ipoh, Perak
Utusan Malaysia Online: 23 Disember 2009
3 ulasan:
Kalau dia faham cerita Iblis,kenapa Allah humbankan ke Neraka. Dia tidak akan berkata begitu.
Jangan biarkan diri anda dihina oleh spisies guru mcm Cg Ju ni. Mari sambung belajar untuk dapatkan segulung ijazah. Belajar kat USM murah je. RM750 1 semester. Lepas tu sambung master dan PHD. Biar jadi ketua kepada Cg Ju yang berlagak tu.
Apa nak heran dengan Cikgu Ju,Kalau setakat segulung Ijazah yang teses dan assignmentnya diupah orang lain buat.Harapkan Gaji jer besar,tapi komitment kerja tiada buat apa? Saya sendiri sebab utama tidak melanjutkan pelajaran adalah kerana komitment tugas harian dan juga selain tidak sanggup mengorbankan kepentingan anak-anak untuk belajar.Ketika Anda belajar,Anda telah mengabaikan tanggungjawab anda sebagai pendidik dek kerana mengejar status DGA41.Adakah anda telah cover?.
Catat Ulasan