Isnin, 7 Disember 2009

Fokus: Pendidikan tambahan

Oleh Zabidi Hitam, Rosniza Mohd Taha dan Norliza Abdullah
upen@bharian.com.my


SEBAHAGIAN murid SKBTHO gembira setelah mendapat keputusan 5A dalam UPSR tahun ini.

Sekolah akui Pakej UPSR Didik mampu tingkat pencapaian murid

BAGI meraih, mengekal mahupun meningkatkan pencapaian khususnya dalam peperiksaan, pihak sekolah kini tidak hanya menumpukan keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran dalam kelas.

Sebaliknya, pelbagai kegiatan dan program tambahan baik dilaksanakan bagi mengukuh serta memantapkan lagi penguasaan pengetahuan dan kemahiran pelajar.

Berdasarkan maklum balas, ternyata pelbagai program tambahan itu bermanfaat kerana dalam usaha mencapai, mengekal atau meningkatkan lagi pencapaian.

Berdasarkan pencapaian dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini yang diumumkan Khamis lalu, pelbagai sekolah menyatakan bahawa program tambahan itu bukan saja perlu dilaksanakan, malah sejak awal persekolahan lagi.

Sebagai contoh, sekolah yang menjadikan Pakej UPSR Didik sebagai antara pengisian pendidikan tambahannya mengakui keberkesanan pelaksanaan usaha itu dalam meningkatkan pencapaian calon dalam peperiksaan berkenaan.

GURU SKBTHO (2), Azman Othman dikerumuni murid Tahun Enam untuk mendapatkan keputusan UPSR di sekolah itu, baru-baru ini.

Sekolah terbabit bukan saja cemerlang dari segi peningkatan jumlah calon mendapat 5A, malah pelbagai aspek lain termasuk pencapaian subjek dan peratusan

lulus keseluruhan atau mencapai tahap penguasaan minimum.

Antara sekolah itu ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Saujana Impian, Kajang, yang melaksanakan pendekatan dikenali ‘Sedetik Pertemuan, Sejuta Harapan’ menyaksikan 76 daripada 208 calonnya memperoleh 5A dalam UPSR tahun ini berbanding 48 tahun sebelumnya.

Pendekatan itu membabitkan pelaksanaan 27 program, termasuk penggunaan akhbar Didik terbitan Berita Harian sebagai bahan pembelajaran tambahan dan Klinik UPSR anjuran akhbar itu bagi memantapkan persediaan.

Guru Besarnya, Roslina Hashim, berkata pihaknya akan terus menjadikan Didik dan Klinik UPSR itu sebagai pengisian program pendidikan tambahan kerana ia membantu pencapaian calon.

Beliau yang berterima kasih kepada semua guru Tahun Enam diterajui Penyelarasnya, Norliza Ishak yang banyak membantu, di samping sokongan berterusan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), berkata:

“Banyak program tambahan lain kami laksanakan, antaranya seminar kecemerlangan diri, kelas tambahan, intensif subjek bahasa Inggeris, kelas malam, bimbingan penyayang, gerak gempur, khemah ibadah dan kem motivasi.”

Sekolah itu mencatat 90.87 peratus lulus keseluruhan, manakala prestasi subjek Bahasa Melayu Pemahaman (99.5 peratus), Bahasa Melayu P (98.6 peratus), Bahasa Inggeris (93.8 peratus), Matematik (93.8 peratus) dan Sains (97.1 peratus).

SK Bandar Tun Hussein Onn juga mencatat peningkatan berdasarkan kualiti apabila apabila 86 muridnya mendapat 5A tahun ini berbanding 80 orang tahun lalu.

Guru Besarnya, Abdul Razak Mustofah, berkata peratusan lulus juga memberangsangkan iaitu 83 peratus, pencapaian mata pelajaran Bahasa Melayu Pemahaman (93.4 peratus), Bahasa Melayu Penulisan (91.6 peratus),

Bahasa Inggeris (86.1 peratus), Matematik (90.6 peratus) dan Sains (91.6 peratus).

Katanya, kejayaan berkat usaha gigih murid serta komitmen dan kerja keras tenaga pengajar serta PIBG yang bekerjasama menganjurkan kelas tambahan.

“Kelas tambahan bagi murid Tahun Enam diadakan tiga kali seminggu dan bengkel cuti sekolah serta kelas Sabtu turut diadakan dengan kerjasama PIBG.

"Selain menggunakan Buku Soalan Latihan UPSR dan sisipan Didik sebagai bahan latih tubi dalam kelas tambahan, murid kami juga menyertai Klinik UPSR anjuran Berita Harian sebagai antara usaha meningkatkan pencapaian calon," katanya.

SK Bandar Tun Hussein Onn 2 pula turut mencatat peratusan lulus membanggakan apabila 84.8 peratus muridnya mencapai tahap penguasaan minimum C dengan subjek Bahasa Melayu Pemahaman (97.6 peratus), Bahasa Melayu Penulisan (98.3 peratus), Bahasa Inggeris (87.2 peratus), Matematik (94.8 peratus) dan Sains (94.1 peratus).

“Seramai 66 daripada 289 calon sekolah ini meraih 5A dalam UPSR tahun ini,” katanya Guru Besarnya, Mohd Jamil Yahaya.

"Kerjasama dengan Berita Harian menganjurkan Klinik UPSR sejak lima tahun lalu antara faktor menyumbang kepada kejayaan ini. Kita akan teruskan usaha ini tahun depan," katanya.

Pencapaian Sekolah Kebangsaan Teluk Kemang, Port Dickson, yang juga menyertai Klinik UPSR buat tahun kelima juga konsisten dengan 22 muridnya mendapat 5A.

Guru Besarnya, Hamzah Jantan, berkata pencapaian calon lulus subjek Bahasa Melayu Penulisan, Matematik dan Sains juga meningkat, masing-masing 93.5 peratus, 80.8 peratus dan 84.5 peratus.

“Menyertai Klinik UPSR, menggunakan soalan latihan dalam sisipan Didik serta Buku Soalan Latihan UPSR sebagai latih tubi turut memantapkan persediaan calon menduduki peperiksaan,” katanya.

Sementara itu, SK Sungai Kub, juga menyaksikan peningkatan pencapaian apabila 31 muridnya mendapat 5A tahun ini berbanding 27 tahun lalu.

Guru kaunselornya, Mohamad Nor Awang Chik, berkata peningkatan itu adalah hasil pelbagai usaha berterusan yang dilaksanakan guru sekolah berkenaan.

“Kami juga menggunakan Didik dan Buku Soalan Latihan UPSR sebagai bahan rujukan tambahan, terutama ketika membuat ulang kaji. Murid kami juga menyertai Klinik UPSR bagi mendedahkan mereka strategi menjawab soalan secara berkesan.

Beliau berkata, peratus kelulusan juga meningkat kepada 54.37 tahun ini berbanding 52.47 tahun sebelumnya.

Daripada 366 calon, katanya, 144 mendapat gred A Bahasa Melayu Pemahaman, Bahasa Melayu Penulisan (233), Bahasa Inggeris (35), Matematik (56) dan Sains (49).

“Usaha lain turut dilaksanakan, antaranya latih tubi dan menganjurkan program bersama guru, murid dan waris. Pertemuan tiga pihak ini memberi peluang mereka berbincang dan memperbaiki kelemahan murid.

“Program ini memberi kesan mendalam bukan saja kepada murid yang mendapat semangat baru meningkatkan usaha, malah di kalangan guru dan juga ibu bapa,” katanya.

Berita Harian Online: 7 Disember 2009

Tiada ulasan: