Isnin, 8 Mac 2010

Hantar guru ke desa biar telus

Oleh Syuhada Choo Abdullah
choo@bharian.com.my

KUALA LUMPUR: Kesatuan Guru-guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB) merayu pihak luar tidak campur tangan dalam urusan Kementerian Pelajaran menempatkan guru ke luar bandar serta kawasan pedalaman sehingga menjejaskan ketelusan dan kelancaran proses berkenaan.

Presidennya, Mohamed Sabri Mohd Arsad, berkata ini kerana ada guru yang menggunakan pengaruh keluarga dan sokongan ahli politik dalam rayuan kepada kementerian untuk menolak arahan penempatan mereka ke sekolah di kawasan berkenaan.

Beliau berkata, ahli politik terbabit membabitkan golongan menteri, timbalan menteri dan wakil rakyat yang terpaksa melayani permintaan pengundi di kawasan masing-masing.

Katanya, tindakan berkenaan jika berterusan dikhuatiri akan mengganggu usaha kerajaan mengatasi masalah kekurangan tenaga pengajar di luar bandar dan pedalaman dengan mewajibkan guru bertugas di kawasan itu antara tiga hingga lima tahun dalam tempoh perkhidmatan, tidak lama lagi.

“Ada sesetengah guru mengaku sanggup berkhidmat di kawasan luar bandar dan pedalaman ketika proses temu duga pengambilan tetapi kemudian berdolak-dalih memberi pelbagai alasan, termasuk menggunakan pengaruh keluarga yang mempunyai kenalan orang kenamaan atau mendapatkan sokongan ahli politik.

“Keadaan ini menyebabkan masyarakat memandang serong terhadap guru sebagai tidak bersikap profesional dan tidak bertanggungjawab dalam memikul amanah serta menghadapi cabaran tugas mendidik,” katanya ketika dihubungi di sini.

Akhbar baru-baru ini melaporkan guru akan diwajibkan bertugas di pedalaman dan luar bandar antara tiga hingga lima tahun dalam tempoh perkhidmatan sebagai langkah mengatasi kekurangan tenaga pengajar di kawasan itu.

Mohamed Sabri berkata, pihak luar perlu menghormati keputusan dan usaha diterajui Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin berhubung perkara itu, manakala calon yang ingin menceburi kerjaya keguruan pula harus ikhlas serta bersedia melaksanakan tanggungjawab mendidik seperti diamanahkan.

Bagaimanapun, katanya, pertimbangan kemanusiaan tetap diberi kepada kes rayuan tertentu atau kecemasan, terutama membabitkan aspek kesihatan guru yang memerlukan rawatan khusus di hospital.

Berita Harian Online: 8 Mac 2010

1 ulasan:

pak long berkata...

salam...
kalau buat menda ni jangan diubah-ubah..ni tak..tak dan apa-apa mula ubah pulak...tak pun ada yang main kabel...ingat..buat biarlah telus..jangan gimik jer lebih