Ahad, 10 Oktober 2010

Format baru PMR baik untuk sistem pendidikan

KUALA LUMPUR 9 Okt. - Keputusan Kementerian Pelajaran tidak meneruskan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dalam format sekarang tetapi diubah kepada format baru melalui penilaian berasaskan sekolah merupakan langkah yang baik untuk masa hadapan sistem pendidikan negara.

Bekas Ketua Pengarah Pelajaran yang juga Pro Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tan Sri Dr. Abdul Rahman Arshad berkata, langkah untuk sangat tepat dengan keperluan semasa.

Katanya, tindakan mengekalkan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dengan penambahbaikan bentuk dan komposisi subjek juga perlu bagi menguji tahap pencapaian murid di sekolah rendah sebelum beralih ke sekolah menengah.

"Saya bersetuju UPSR dikekalkan tetapi kita tidak boleh semata-mata berharap kepada UPSR untuk mengukur pencapaian murid sekolah rendah, sebaliknya satu sistem pelaksanaan ujian yang dikendalikan oleh guru sekolah harus diterapkan.

"Justeru, kita perlu melahirkan golongan guru yang mampu melaksanakan satu sistem ujian di sekolah yang setaraf dengan UPSR bagi mengimbangi perubahan yang bakal berlaku dalam sistem pendidikan negara menjelang 2016," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Presiden Gerakan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Jais Abdul Karim turut menyambut baik cadangan tersebut dan menganggap ia satu resolusi baru kepada pembangunan sistem pendidikan negara.

Katanya, ia langkah yang positif daripada pihak kerajaan dan berharap sistem pendidikan negara akan lebih stabil selepas ini.

Sementara itu, Ketua II Gabungan Persatuan Penulis Malaysia (Gapena), Datuk Dr. Abdul Latiff Bakar pula meminta kerajaan memastikan kurikulum yang seragam dilaksanakan berikutan pembaharuan dalam sistem peperiksaan berkenaan.

"Satu sistem yang lebih memberi penekanan kepada aspek amali perlu dilaksanakan berbanding mementingkan teori seperti yang terdapat dalam PMR sebelum ini," katanya.

Utusan Malaysia Online: 10 Oktober 2010

4 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Saya tak perlu peningkan kepala memikirkan perubahan dalam peperiksaan UPSR dan PMR. Apa pun perubahan yang dibuat tidak akan memberikan kesan terhadap pelajar jika pelajar sendiri tidak menyedari kepentingan pendidikan. Keadaan ini lebih parah lagi kalau ibubapa langsung tidak mahu bertanya, apa lagi membantu anak sendiri menyelesaikan permasalahan dalam pelajaran.

Saya masih ingat lagi zaman sekolah rendah dimana pelajar yang gagal tidak boleh naik ke tingkatan 1.Begitu juga mereka yang gagal SRP tidak boleh naik ke Tingkatan 4. Hanya pelajar yang lulus Darjah VI dan lulus SRP sahaja naik ke tingkatan 1 dan Tingkatan 4 ,manakala mereka yang gagal kenalah menduduki semula Peperiksaan Tahun VI atau SRP pada tahun berikutnya. Ini bermakna mereka terpaksa duduk semula di kelas Darjah VI dan Tingkatan 3.

Walau pun tempoh pembelajaran mereka menjadi lebih lama tetapi kualiti pelajar yang masuk ke Tingkatan 1 dan ke Tingkatan 4 adalah sangat tinggi kerana semua yang layak adalah dari kalangan pelajar yang mahu belajar. Bukan macam hari ini dimana terdapat pelajar yang tidak tahu membaca,menulis dan mengira dengan baik. Malah ada juga pelajar yang menduduki Peperiksaan SPM tidak boleh menguasai kemahiran 3M dengan baik. Jadi, nak mengarang 120 patah perkataan macam mana kalau buat ayat pun tidak betul.Nak salahkan guru tingkatan 4 dan 5 tak boleh juga kerana sukatan pelajaran yang mereka ada bukan mengajar murid menguasai 3M semata-mata.
Jadi bagai mana ??????semuanya bertitik tolak daripada sikap pelajar ....

Tanpa Nama berkata...

Saya amat bersetuju dgn cadangan cikgu. Hanya yang nak belajar shj kita letakkan dlm arus perdana. Yang tidak berminat dgn akademik, hantar ke kelas vokasional.

Tanpa Nama berkata...

masalahnya ada pegawai tinggi Kementerian Pelajaran yang nak tekankan sangat tentang tempoh persekolahan 11 tahun. Tidak boleh lebih dari itu.

Masalahnya bagaimana dengan mereka yang dalam kategori tidak menguasi 3M dengan baik di tingkatan 4.

Salah satu sebab peratusan vendalisme meningkat adalah kerana pelajar yang naik ke tingkatan 1 dan 4 tidak dapat mengikuti sukatan pelajaran. Mereka menjadi bosan dan tidak tahu nak buat apa-apa. Akhirnya mereka melepaskan segala masalah dengan melakukan tindakan-tindakan yang melanggar disiplin sekolah.

bagi saya tempoh belajar itu tidak penting. Perkara pokok yang sangat penting ialah setiap pelajar mesti menguasai 3M barulah mereka boleh belajar dengan baik.

Apalah ertinya pelajar mesti menghabiskan tempoh hanya 11 tahun sahaja jika akhirnya mereka gagal dalam pelajaran. Bagi saya bukan tempoh itu yang penting, yang penting ialah masa depan mereka cerah. Ada pelajar yang belajar lebih daripada 11 tahun di peringkat sekolah rendah dan menengah tetapi akhirnya mereka menjadi rakyat Malaysia yang berjaya

Tanpa Nama berkata...

Buat lah apa yang patut. Fikirkan juga soalan dalam kubur nanti. Kita sama-sama memikul tanggungjawab. Semakin tinggi pangkat, semakin besar tanggungjawab. Bersedialah dengan jawapan masing-masing ... Soalan sudah lama bocor ... Tak kan itu pun tak faham.