Selasa, 26 Oktober 2010

Pengurusan Lemah Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin

KUALA LUMPUR, 26 Okt (Bernama) -- Laporan Ketua Audit Negara 2009 mendapati berlaku kelemahan dalam pengurusan Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM) Kementerian Pelajaran sehingga menyebabkan kelewatan dalam pengagihan bantuan.

Menurut laporan itu, kelemahan lain pula ialah tidak mematuhi beberapa peraturan mengenai pengurusan permohonan dan penyelenggaraan rekod berhubung bayaran juga kurang memuaskan.

Kelemahan-kelemahan itu antaranya berpunca daripada Jawatankuasa Pengurusan Bantuan yang tidak menjalankan fungsinya dengan berkesan, kekurangan Pembantu Tadbir serta latihan secukupnya tidak diberikan kepada pihak yang terlibat dengan pengurusan KWAPM.

Menurut garis panduan KWAPM, wang bantuan perlu diserahkan kepada murid yang layak dalam masa tujuh hari bekerja selepas cek/tunai diterima oleh sekolah, bagaimanapun, semakan audit di 45 buah sekolah di empat buah negeri iaitu Selangor, Kelantan, Pahang dan Sarawak, mendapati sebanyak 29 sekolah telah lewat membuat pembayaran antara 12 hingga 152 hari dari tarikh cek/tunai diterima.

Semakan audit mendapati kelewatan itu antaranya disebabkan oleh kementerian tidak memaklumkan kepada pihak sekolah sebaik sahaja wang telah dikreditkan ke dalam akaun sekolah.

Menurut laporan tersebut, ada juga sekolah yang memberikan bantuan KWAPM kepada murid yang tidak memenuhi kriteria.

"Seramai 12 murid di empat buah sekolah telah diluluskan bantuan walaupun pendapatan yang dicatatkan dalam borang permohonan tidak melayakkan murid tersebut mendapat bantuan," kata laporan itu.

Bagi memastikan kelayakan penerima bantuan tidak dipertikaikan, laporan itu mengsyorkan supaya Jawatankuasa Pengurusan Bantuan memastikan semua borang permohonan diisi dengan lengkap dan disokong dengan dokumen sokongan.

Kementerian juga dicadangkan untuk mengambil tindakan terhadap guru yang mencatatkan maklumat pendapatan dan tanggungan yang tidak benar bagi tujuan melayakkan seseorang murid menerima bantuan.

Laporan itu juga mencadangkan kementerian supaya memaklumkan kepada pihak sekolah sebaik sahaja wang bantuan dikreditkan ke dalam akaun sekolah dengan menggunakan medium elektronik seperti e-mel atau sistem pesanan ringkas.

Selain itu, laporan itu turut mengsyorkan kementerian mewajibkan semua sekolah mengkreditkan wang bantuan terus ke akaun penerima bantuan bagi mengelakkan kes kehilangan dan penyelewengan wang bantuan.

BERNAMA: 26 Oktober 2010

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Yang tak layak pun dapat. Puncanya, ibu bapa bekerja sendiri. Tiada slip gaji. Hanya borang akuan shj. yg sahkan penghulu, Ketua kampung.

Cikgu tiada kuasa nak pertikai. Oleh itu, jgn salahkan guru. Kami tiada kuasa memeriksa harta benda mak bapak mereka.

saya setuju sistem baharu... hanyanyg berdaftar dlm e-kasih shj layak terima bantuan.

jgn ikut data SMM. Banyak mak bapak menipu. Dah kira halal dan haram lagi. Patutlah anak-anak ramai yg jadi setan hari ni.