Ahad, 24 Oktober 2010

Tambah guru Melayu di SJKC, SJKT

2010/10/24

Wanita mahu perkukuh perpaduan, Pemuda minta peranan komuniti diperluas

KUALA LUMPUR: Wanita UMNO mencadangkan penyertaan warga pendidik di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) dibuka lebih luas kepada guru pelbagai kaum demi mengukuhkan perpaduan bangsa dan mewujudkan daya saing sihat dalam kalangan guru.

Wakilnya, Datuk Norhayati Omar yang juga Ketua Wanita UMNO Bahagian Kuala Pilah, berkata jumlah guru bukan Cina di SJKC dan guru bukan India di SJKT sangat kecil sedangkan ada 1,291 SJKC dan 523 SJKT daripada keseluruhan 7,695 sekolah rendah di seluruh negara setakat Jun lalu.

“Bagaimanapun hanya 2,945 guru Melayu ditempatkan di SJKC dan SJKT di seluruh negara atau purata tidak sampai dua guru Melayu bagi setiap sekolah itu sedangkan bagi sekolah kebangsaan ada 33,707 guru bukan Melayu atau nisbahnya hampir enam orang bagi setiap sekolah,” katanya.

Sementara itu, wakil Pemuda, Mohd Gasing Saling, meminta Kementerian Pelajaran diminta memperluaskan peranan komuniti setempat, termasuk Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dalam transformasi pendidikan negara yang akan dilaksanakan mulai 2016, termasuk membenarkan mereka membuat tinjauan proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah.

“Pemuda UMNO mencadangkan peranan komuniti, terutama PIBG dapat diperluas dengan diberi ruang meninjau proses pembelajaran anak di sekolah. Rasionalnya kita mahu anak maju dalam pencapaian dan diberi kaedah pembelajaran terbaik,” katanya membahaskan usul pendidikan dan agama.

Beliau yang juga Ketua Pemuda UMNO Kalabakan berkata, pemimpin PIBG terdiri daripada kalangan profesional dan berpengetahuan, sekali gus perlu diberi ruang untuk sama-sama memberi pandangan dan idea dalam memastikan pelajar mendapat pendidikan sempurna.
“Mereka secara tidak langsung boleh menyumbang idea dan menghantar laporan sama ada dalam mesyuarat PIBG atau kepada pejabat pelajaran daerah dan negeri. Langkah ini sudah dilaksanakan di negara maju seperti United Kingdom dan New Zealand,” katanya.

Mohd Gasing juga meminta kerajaan memikirkan kaedah bersesuaian bagi memastikan lepasan kolej kemahiran mendapat gaji lebih setimpal berbanding masa ini, selain mengambil usaha memastikan golongan muda dapat menguasai lebih dua bahasa, termasuk bahasa Cina dan Tamil supaya lebih bernilai di pasaran kerja.

Berita Harian Online: 24 Oktober 2010

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Saya setuju dgn cadangan agar guru melayu ditempatkan di SJK khasnya yg opsyen Bahasa Melayu. Opsyen lain tak sesuai krn semua buku dlm bahasa ibunda mereka. Saya dah 17 tahun di SJKT.

Ada sekolah yg langsung tiada guru Opsyen BM. Malangnya saya dengar, SJK(C) tak nak guru Melayu.

KPMkena tegas sikit dlm hal ni. Jgn berlembut sangat,

Khairulzamil berkata...

Saya Khairulzamil Bin Md.Nazimuddin adalah salah seorang penjawat awam di sebuah
Institusi Pengajian Tinggi di Mukah Sarawak. Saya baru berkhidmat di Mukah
Sarawak selama 2 tahun. Bersama dengan saya adalah isteri Sahrina Binti
Sahdan sedang berkhidmat di SK Kampung Teh, Dalat Sarawak. Pada 15 September
2010 yang lalu isteri saya setelah bersalin awal dua (2) bulan untuk anak kami
yang kedua dari tarikh sebenar iaitu 26 November 2010.

Isteri saya bersalin di Hospital Mukah Sarawak dan telah diterbangkan selama 30
minit dengan menaiki helikopter ke Hospital Sibu kerana mengambil kira keadaan
kecemasan anak kami yang memerlukan alat bantuan pernafasan dengan kadar segera
yang jika dibandingkan dengan menggunakan perjalanan darat ke Hospital Sibu akan
mengambil masa selama empat (4) jam.

Sehingga ke saat ini kami masih ditempatkan di Hospital Sibu. Pada asalnya
isteri saya ditempatkan Wad Nurseri Rawatan Khas (Wad 3) kemudian dipindahkan ke
Wad Paediatric (Wad 27) disebabkan anak kami masih bergantung kepada alat
bantuan pernafasan oksigen dan masih belum pandai menghisap susu walaupun berat
badan anak kami telah menjangkau 1.86kg. (Foto dilampirkan). Saya berasa
berbesar hati dan berterima kasih dengan layanan mesra dan kemudahan baik yang
diberikan oleh pihak Hospital di Mukah dan di Sibu ini. Kami juga turut
berbesar hati kerana sempat dikunjungi oleh wakil YB Wong Ho Leng iaitu Saudara
Steven Liu (foto dilampirkan). Apalah sangat yang mampu kami luahkan serta kami
memahami keterbatasan kuasa oleh wakil pembangkang di Sarawak ini jika
dibandingkan oleh wakil rakyat Barisan Nasional yang sepatutnya harus lebih peka
dan prihatin terhadap masalah rakyat.

Namun begitu adalah yang menghairankan kami adalah bekalan perubatan di Wad 27
amat jauh daif jika dibandingkan dengan Wad 3 sebelum ini. Sebagai contoh,
picagari (syringe) yang sepatutnya digunakan pakai buang sekali penggunaan
diarahkan oleh jururawat di sini digunakan semula berulang kali, bekalan susu
formula tidak dibekalkan kepada ibu-ibu yang kekurangan susu badan malah
digalakkan pesakit membelinya sendiri di kedai berhampiran, plastik ubat
terpakai dipotong untuk dijadikan bekas ubat. Keadaan ini disedari oleh
Doktor-doktor di sini malah mereka mengakui terdapat kekurangan bekalan
peralatan dan kelengkapan perubatan di Hospital Sibu ini. Tambahan lagi, kami
tetap berharap akan segera dibenarkan keluar dari Hospital ini. Justeru, pihak
kami telah pernah memohon agar dipindahkan penempatan hospital di atas
sebab-sebab berikut:


a. Isteri saya sukar menjalani urusan ibu berpantang selepas bersalin.
b. Kami tiada saudara-mara di sekitar Sibu untuk menyediakan
makanan bersesuaian untuk ibu selepas bersalin.
c. Kos, logistik dan jarak perjalanan saudara mara serta
sahabat handai dari semenanjung untuk datang melawat adalah terlalu tinggi dan
sukar.
d. Saya sendiri perlu berulang-alik menziarahi isteri saya dari Mukah-Sibu
setiap minggu melalui Jalan Ladang. (keadaan jalan rosak teruk)

Namun begitu, permohonan ini tidak diluluskan memandangkan keadaan anak kami
masih belum stabil dan masih bergantung kepada alat bantuan pernafasan
(oksigen).

Di samping itu, anak sulung kami yang kini berusia 11 bulan ditempatkan di
Kampung Batu Bahat, Johor untuk dijaga oleh kedua orang mertua saya yang semakin
meningkat usianya ditambah lagi keadaan bapa mertua saya disyaki oleh doktor
mengalami penyakit kencing manis, darah tinggi dan sakit buah pinggang. J

Justeru, disebabkan kesihatan isteri saya dan anak kedua kami ini di samping
rentetan keadaan sebagaimana yang telah diperjelaskan di atas, isteri saya
berasa semakin hari semakin berasa trauma dan tertekan untuk terus berkhidmat di
Sarawak.

Saya memohon sekali lagi kebenaran pihak tuan meluluskan permohonan perpindahan wilayah yang telah dimohon oleh isteri saya.

Yang Benar,
Khairulzamil Bin Md.Nazimuddin.
Mukah Sarawak.