Rabu, 31 Mac 2010

Timur: Guru YIK hadir Majlis Taklimat Kursus Diploma Perguruan

KOTA BHARU: Seramai 200 guru Yayasan Islam Kelantan (YIK) menghadiri Majlis Taklimat Kursus Diploma Perguruan pengambilan ketiga Universiti Utara Malaysia (UUM) yang dianjurkan dengan kerjasama Persatuan Guru Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (PGSABK) di Dewan Sekolah Menengah Ugama (SMU) Sulamiah, Bunut Payong, di sini.

Guru SMU Tarbiah Islamiah, Lubok Gong, Rantau Panjang, Rosdi Tahir, 34, bersyukur apabila PGSABK bersama UUM mengadakan program seumpama itu bagi membolehkan guru meningkatkan proses pengajaran dan pembelajaran.

"Kursus ini pasti akan memberi pengetahuan dan kemahiran dalam melaksanakan tugas masing-masing di sekolah dengan lebih baik, cekap dan berkesan,” katanya yang juga lulusan Ijazah Sarjana Muda Syariah, Universiti Al-Azhar, Mesir.

Guru SMU Al-Syukuriah, Lubok Setol, Faulsi Abdullah, 34, berkata, program itu akan meningkatkan motivasi guru supaya lebih profesional.

“Dengan mengikuti kursus ini, saya dapat meningkatkan motivasi bagi membentuk keyakinan diri untuk menjadi guru berkarisma dan dapat menjalankan tugas dengan berkesan.

“Bagi melahirkan anak bangsa yang cemerlang, guru mesti mempunyai ilmu pengetahuan, oleh itu melalui kursus ini, guru lebih bersedia dari segi mental dan fizikal untuk mendokong falsafah pendidikan.

“Menerusi kursus ini juga akan melahirkan guru terlatih dan pastinya dapat menjalankan tugas dengan penuh tanggungjawab, jujur dan amanah,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Yang Dipertua PGSABK, Nazari Mohd Zawawi, berkata matlamat utama kursus berkenaan adalah untuk melahirkan tenaga kerja profesional untuk mengajar di sekolah seliaan YIK.

Katanya, kursus berkenaan dijalankan secara intensif pada cuti hujung minggu dan dalam cuti sekolah dengan kuliah akan berlangsung selama 40 minggu dijangka bermula Mei ini di Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian.

“Kursus ini diadakan untuk memberi peluang kepada guru YIK menimba pengalaman, pengetahuan dan kemahiran supaya dapat meningkatkan keyakinan diri untuk menjadi guru cemerlang,” katanya.

Berita Harian Online: 31 Mac 2010

RM1.8b bayar gaji guru sekolah Tamil, Cina

KERAJAAN tidak pernah menganaktirikan sekolah aliran jenis kebangsaan di Malaysia sebaliknya sekolah berkenaan menjadi sebahagian daripada sistem pendidikan negara yang menerima peruntukan bernilai RM1.8 bilion untuk pembiayaan gaji guru.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, dakwaan yang dilemparkan Ahli Parlimen Teluk Intan, M Manogaran disifatkan sebagai tuduhan melulu kerana sekolah berkenaan sebahagian sistem pendidikan negara.


Katanya, kerajaan membiayai RM1.8 bilion untuk pembayaran gaji guru di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil dan Cina.


“Kalau di Pulau Pinang ada Ketua Menteri umumkan (bantuan) dua tiga juta (ringgit), gempar seluruh dunia, kita belanja RM1.8 bilion yang berhormat untuk bantu sekolah itu. Jadi, kalau anak tiri, takkan bagi duit macam itu banyak,” katanya ketika menggulung perbahasan usul Menjunjung Kasih Titah Ucapan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin di Dewan Rakyat, semalam.


Menteri Pelajaran itu berkata, sekolah aliran berkenaan turut mengalami peralihan dan perubahan seiringi dengan usaha pembangunan sejak Malaysia mencapai kemerdekaan.


Manogaran dalam soalan turut ingin mengetahui bila Kementerian Pelajaran boleh mengangkat Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil sebagai sekolah aliran perdana dalam sistem pendidikan di negara ini.

“Sumbangan sekolah jenis kebangsaan ini perlu diambil kira kerana setaraf dengan sekolah kebangsaan. Terdapat kira-kira 70,000 bukan Cina pergi ke sekolah Cina,” katanya ketika mencelah ucapan penggulungan Muhyiddin.

myMetro: 31 Mac 2010

Selasa, 30 Mac 2010

22 lepasan SPM SMK Yan dakwa dianiaya pengetua

Oleh Nahar Tajri
nahar@bharian.com.my
2010/03/30

SIJIL berhenti sekolah seorang pelajar yang mencatat kelakuan kurang memuaskan   oleh pengetua.
SIJIL berhenti sekolah seorang pelajar yang mencatat kelakuan kurang memuaskan oleh pengetua.
Catatan sijil berhenti sekolah labelkan pelajar tak berdisiplin

YAN: Seramai 22 pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Yan, menghadapi masa depan yang gelap kerana dilabel sebagai murid tidak berdisiplin dalam sijil berhenti sekolah walaupun tidak melakukan kesalahan serius sepanjang tempoh persekolahan.

Malah, ada antara mereka menyertai acara sukan hingga berjaya mewakili negeri, tetapi sumbangan itu tidak diiktiraf kerana tidak dicatat dalam sijil berkenaan

Seorang pelajar, Ahmad Ikram Rasli, 18, berkata tindakan pengetua sekolah itu amat keterlaluan dan penganiayaan kerana tidak mengambil kira kesannya terhadap masa depan pelajar.

"Saya bukan pelajar bermasalah. Jika bermasalah sudah pasti saya dikenakan tindakan lebih awal. Tindakan pengetua sekolah membuat catatan buruk dalam sijil berhenti seolah-olah mahu menyekat peluang kami mencari kerja atau menyambung pelajaran.

"Kami rasakan masa depan sudah gelap," katanya yang kini bimbang tidak diterima melanjutkan pelajaran ke politeknik.

Bapanya, Rasli Mohd Zain, 55, berkata, beliau tidak pernah dipanggil oleh pihak sekolah, termasuk ketika pertemuan penjaga dengan guru bagi membincangkan masalah disiplin anaknya sepanjang belajar di sekolah itu.
"Saya bukan mahu menyebelahi anak, tetapi berharap pengetua lebih bertimbang rasa dan mengambil kira sumbangan anak saya yang aktif dalam sukan dan pernah mengharumkan nama sekolah apabila mewakili negeri dalam sukan bola tampar," katanya, semalam.

Sementara itu, Pengarah Pelajaran Kedah, Shahidan Abdul Rahman, berkata beliau sudah dimaklumkan mengenai perkara itu minggu lalu dan mengarahkan pengetua sekolah membetulkan catatan berkenaan.

“Saya minta penjaga dan pelajar terbabit pergi semula ke sekolah untuk membetulkan catatan dalam sijil berhenti itu," katanya.

Berita Harian Online: 30 Mac 2010

Ubah polisi elak kuarters kosong

POLEMIK mengenai perumahan guru timbul semula apabila Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengumumkan peruntukan besar untuk membaiki kerosakan bagi membolehkan rumah itu didiami warga sektor pendidikan. Walaupun itu satu langkah baik, ramai berpendapat akan berlaku sekali lagi pembaziran wang kerajaan andainya ia tidak disusuli dengan perubahan dasar menduduki rumah berkenaan.

Rasanya laporan yang diterima Muhyiddin sebahagiannya tidak tepat. Rumah itu ada yang mengalami kerosakan sebab tidak diduduki, bukan tidak diduduki kerana rosak. Ia adalah dua kenyataan berbeza dan kerajaan harus memandang secara positif dasar yang digariskan bagi setiap pendidik yang menduduki rumah itu

Rata-rata Kompleks Perumahan Guru tidak berpenghuni kecuali di kawasan kritikal iaitu di bandar besar yang sukar untuk mendapat rumah sewa. Daripada lima blok apartmen lima tingkat setiap blok, hanya didiami lima atau enam keluarga. Unit lain tidak dimanfaatkan dan tinggal kosong begitu saja. Malah ada keseluruhan kompleks tidak diduduki langsung. Unit inilah yang menjadi sasaran pencuri dan merosakkan pelbagai barang di situ, tambahan pula tidak ada pengawal menjaga keselamatannya.

Jadi unit rumah itu rosak kerana tidak diduduki orang bukan orang tidak menduduki kerana ia rosak. Kementerian harus mencari formula sesuai supaya rumah itu tidak dibiarkan kosong. Hal sama juga terjadi kepada perumahan polis dan perumahan tentera.

Satu punca perumahan itu tidak dapat menarik minat anggota kerajaan mendudukinya adalah kerana polisi jabatan masing-masing memotong semua elaun perumahan dan elaun sara hidup. Elaun itu akan ditolak terus sebagai ‘bayaran sewa’ mendiami unit rumah itu.

Ada pegawai kerajaan hilang pendapatan antara RM600 hingga RM1,000 kerana menduduki rumah disediakan itu. Hal ini menyebabkan mereka lebih berminat menyewa rumah lain yang tentunya lebih murah sambil boleh menikmati dua elaun berkenaan.

Adalah lebih baik jika elaun itu dikekalkan dan pegawai yang menduduki rumah berkenaan hanya dikenakan sewa berpatutan.
Jika berbuat demikian rasanya rumah itu kelak akan berpenghuni. Jika polisi ini (memotong semua elaun perumahan dan elaun sara hidup), langkah membaiki unit rumah itu dengan peruntukan yang besar adalah membazir semata-mata.

ILHAM SYAKIMA,
Yan, Kedah

Berita Harian Online: 30 Mac 2010

Saman jika sekolah berdiam diri

KUALA LUMPUR: “Saya tidak akan teragak-agak menyaman pihak sekolah kerana terus berdiam diri dan gagal mengambil tindakan terhadap kejadian cabul anak perempuan saya,” kata ibu mangsa cabul rakan sekelas di sebuah sekolah rendah di Bangsar.

Ibu mangsa, Salbiah Mohamed Yusof, 33, berkata tindakan mahkamah itu akan diambil kerana mendakwa pihak sekolah berkenaan enggan bertanggungjawab terhadap kejadian cabul membabitkan beberapa murid lelaki sekolah itu selain enggan membuat permohonan maaf secara terbuka.

“Perkara ini membabitkan maruah anak saya. Akibat perbuatan rakan sekelasnya itu, pelajarannya terjejas teruk kerana setiap hari perlu berdepan ejekan dan tohmahan murid lain di sekolahnya.


“Lebih mengecewakan, pihak sekolah seolah-olah menutup mata terhadap kejadian ini dan tergamak mengatakan anak saya sengaja mahu memperbesarkan perkara ini kerana mendedahkannya di Harian Metro baru-baru ini,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.


Katanya, dia amat kesal dengan pendekatan yang diambil sekolah terbabit yang seolah-olah tidak memandang serius perkara berkenaan sedangkan kejadian sedemikian mungkin akan berlaku terhadap pelajar lain jika pihak sekolah tidak mengambil tindakan tegas. Salbiah berkata, dia sudah memberi peluang kepada pihak sekolah membuat penjelasan ketika kes ini berlaku. Hingga kini juga ibu bapa murid yang melakukan perbuatan tidak senonoh itu langsung tidak bersemuka dan memohon maaf.


“Saya juga kesal tindakan wakil Kementerian Pelajaran yang mengarahkan saya menarik balik laporan polis yang dibuat selain turut diarah untuk menulis surat pengakuan bahawa saya akan menarik balik laporan berkenaan,” katanya.

Dalam kejadian Oktober lalu, mangsa yang berusia 11 tahun dicabul termasuk diraba payudaranya oleh temannya gara-gara gurauan nakal mahu memberikan RM2 jika rakan sekelas berani menumbuk dinding sebanyak 35 kali namun perbuatan tidak bermoral itu berlaku selepas dia gagal menunaikannya.


Akibat trauma kejadian itu, mangsa terpaksa ditukarkan ke sekolah khas untuk perempuan kerana tidak tahan menanggung malu selain mangsa takut jika berjumpa lelaki. Sementara itu, Pengarah Bahagian Sekolah, Kementerian Pelajaran, Zulkifly Mohd Wazir berkata, sekolah terbabit perlu mengambil serius sebarang masalah yang berlaku di kalangan murid sama ada ia serius atau tidak.

myMetro: 30 Mac 2010

Isnin, 29 Mac 2010

Mencemburui gaji guru

SAYA mencemburui guru muda kerana gaji permulaan mereka sekarang berada dalam ranking ketiga selepas doktor dan jurutera awam. Dengan gaji permulaan sebanyak RM2,500 hingga RM2,700 - termasuk beberapa elaun - maka gaji pokok mereka sebenarnya mengatasi sebahagian besar pendapatan eksekutif syarikat swasta.

Kalau di pedalaman, mereka cuci kaki kerana kerajaan menyediakan rumah, televisyen katil tilam, dapur, malah khabarnya set televisyen dan 'mangkuk' Astro di bumbung! Bukan itu sahaja, guru juga ada elaun khas, dengan jumlahnya bergantung kepada tafsiran pedalaman tempat mereka mengajar.

Memang mereka bekerja keras. Tetapi, seribu satu pengumuman tentang kenaikan, elaun, kebajikan, kemuliaan, pengiktirafan dan penghormatan kepada golongan guru sepatutnya telah meletakkan profesion itu pada tahap yang sepatutnya sekarang.

Seperti kata Abraham Lincoln: ''Jangan fikir apa yang negara boleh beri kepada kita, tetapi fikirkanlah apa sumbangan yang boleh kita berikan kepada negara."

Maksud tokoh itu, jangan seperti seekor burung yang keluar pagi balik petang, sekadar mahu mengisi perut sendiri dan untuk anak-anaknya. Berfikirlah lebih daripada itu. Perjuangan lebih penting.

Jadi, apabila Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu bersemuka dengan ahli kesatuan dan beberapa guru yang terlalu ghairah memperjuangkan nasib guru, maka saya ingin mengingatkan 'kepala-kepala' persatuan dan kesatuan ini supaya bersedia dengan fakta dan hujah yang waras dan logik atau laras senapang mungkin akan menghala ke arah kepala anda sendiri!

Dua isu besar yang selalu dibangkitkan ialah kerja perkeranian nan remeh temeh sehingga menambah beban seorang guru, dan kedua kenaikan gred atau mata gaji yang terlalu lembap oleh guru, apabila dibandingkan dengan pegawai tadbir dan diplomatik (PTD).

Memang isu yang pertama selalu bermain di bibir, tetapi tidak ada kes, data atau contoh yang boleh dijadikan asas kukuh untuk Kementerian Pelajaran melakukan tindakan susulan.

Kita perlu perhalusi bukti dan fakta. Kalau dikatakan kerja berlebihan, maka kerja lebih yang bagaimana, apa dan di mana? Nyatakan bukti dan skop. Lakukan analisis keperluan atau analisis jurang profesion. Kemukakan kertas lengkap kepada pejabat Menteri Pelajaran.

Apakah berlebihan seandainya seorang guru diminta membuat plan tindakan kecemerlangan pelajar kalau pelan itu boleh membantu meningkatkan prestasi sesebuah sekolah?

Kini sudah terdapat seramai 400,000 guru yang mendidik anak-anak kita di seluruh negara. Dalam setandan, ada sebiji yang rosak. Bukan semua. Kita faham benar dengan kekecewaan guru khususnya apabila isu tentang kenaikan gaji yang lembap disuarakan.

Memang benar kenaikan sebahagian besar gaji memang lembap berbanding PTD. Seorang ibu yang sudah 25 tahun menjadi guru mungkin baru menikmati mata gaji DG48, berbanding anaknya, pegawai PTD yang baru lima tahun berkhidmat sudah menikmati tangga gaji itu.

Untunglah kalangan guru yang cepat naik pangkat, kerana cepat jugalah kenaikan tangga gaji mereka. Bagi yang di bawah Khusus Untuk Penyandang (KUP) atau mengikut tempoh perkhidmatan, maka terpaksalah menunggu sehingga beranak, bercucu dan bercicit.

Tetapi perlulah juga diingatkan bahawa bagi setiap kenaikan gaji, maka ada beban tanggungjawab yang menyusulinya.

Maksudnya, mereka ini mungkin perlu diikat dengan konsep bai'ah. Pengetua dan guru besar mungkin sudah biasa dengan konsep bai'ah, tetapi belum bagi guru.Di bawah konsep bai'ah, pengetua atau guru besar membuat perakuan dan bersetuju bahawa dalam tempoh tiga tahun perlu ada peningkatan prestasi di sekolah mereka mengajar. Jika gagal, mereka mungkin 'dipencenkan' lebih awal.

Sekarang, guru tidak mempunyai komitmen atau akujanji terhadap pencapaian prestasi. Hal ini mungkin menyebabkan mereka goyang kaki.

Memang kita faham benar akan beban kerja guru dan pada masa yang sama masyarakat menuntut guru melakukan yang terbaik untuk mendidik anak bangsa. Namun, kalau kita percaya bahawa perbuatan baik dan kerja yang ikhlas akan dibalas dengan perkara yang baik juga, maka pasti kepentingan perjuangan kita akan mengatasi habuan dunia yang sementara ini.

Utusan Malaysia Online: 29 Mac 2010

Tidak perlu sekolah khas pelajar bermasalah

BENTONG 28 Mac - Kerajaan tidak bercadang menubuhkan sekolah khas bagi menempatkan pelajar bermasalah sebagai langkah mengatasi kemelut disiplin membabitkan golongan itu, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menurutnya, jalan penyelesaian kepada masalah disiplin pelajar tidak boleh ditangani melalui penubuhan sekolah khas, sebaliknya sokongan semua pihak untuk memainkan peranan masing-masing bagi mendidik dan menyedarkan mereka.

"Kita tidak memerlukan sekolah khas bagi menempatkan pelajar yang dibuang sekolah ekoran masalah disiplin kerana ia tidak menyelesaikan masalah untuk jangka masa panjang.

"Paling penting semua pihak terutama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta pihak pengurusan sekolah duduk bersama berbincang cara untuk memberi kesedaran kepada mereka,'' katanya.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata demikian semasa sesi soal jawab sempena majlis penutup Konvensyen PIBG Kebangsaan 2010 di Institut Aminuddin Baki di Genting Hinglands di sini hari ini.

Mengulas lanjut Timbalan Perdana Menteri berkata, pihaknya memandang serius masalah disiplin yang melanda pelajar sekarang walaupun jumlahnya hanya satu peratus.

Kata beliau, walaupun dari segi peratusan ia adalah kecil, tetapi jumlah sebenar pelajar yang terbabit dengan masalah disiplin kini mencecah puluhan ribu orang.

''Ini yang membimbangkan kerana jika tidak dibendung ia akan menjalar sehingga mampu menjejaskan institusi pendidikan negara. Usaha menyedarkan pelajar bukan tanggungjawab guru semata-mata, ia harus dipikul oleh semua,'' katanya.

Dalam pada itu beliau berkata, PIBG perlu berunding dengan ibu bapa sebelum membuat sebarang keputusan dalam mesyuarat bagi mengelakkan perkara berbangkit.

Menurutnya, perbincangan itu tidak semestinya secara formal tetapi yang penting mampu memberi gambaran kepada PIBG sama ada ibu bapa setuju atau tidak dengan perkara yang hendak diputuskan.

'Terdahulu dalam ucapannya Muhyiddin berkata, PIBG berperanan memberi sumbangan besar kepada sistem pendidikan negara kerana pencapaian dan kejayaan anak-anak di sekolah turut bergantung kepada ibu bapa.

Katanya PIBG ditubuhkan atas peruntukan undang-undang dan bukannya sekadar satu inisiatif atau kehendak ibu bapa.

''Soal pendidikan penting dan perlu diberi perhatian utama bukan sahaja oleh pimpinan negara tetapi ibu bapa. Pencapaian anak-anak kita di sekolah ada hubung kait dengan peranan yang disumbangkan oleh PIBG di seluruh negara,'' katanya.

Utusan Malaysia Online: 29 Mac 2010

Sabtu, 27 Mac 2010

SMK Tansau mansuh bayaran masuk tandas

KOTA KINABALU 26 Mac - Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tansau hari ini mengambil tindakan yang dianggap melegakan ibu bapa apabila memansuhkan bayaran memasuki tandas sekolah berkuat kuasa Isnin ini.

Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), SMK Tansau, Mohd. Fazal Bani Amim berkata, keputusan itu dibuat hasil perbincangan antara pihaknya dengan sekolah.

"Sebenarnya pelaksanaan ini adalah hasil keputusan dalam mesyuarat agung yang diadakan oleh pihak PIBG bagi memastikan kemudahan tandas yang sering rosak dapat diperbaiki dengan segera.

"Bagaimanapun, bagi menghormati aduan sesetengah pihak kita mengambil keputusan membatalkan perkara ini," katanya ketika ditemui selepas mengadakan pertemuan dengan pihak sekolah di SMK Tansau di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Yang Dipertua PIBG SMK Tansau, Ismail Yusof dan Ketua Pembantu Tadbir SMK Tansau, Pengiran Alimuddin Pangiran Daud.

Kelmarin, Utusan Malaysia melaporkan mengenai rungutan ibu bapa yang tidak berpuas hati dengan tindakan sekolah berkenaan yang mengenakan bayaran kepada pelajar yang ingin memasuki tandas.

Kebanyakan ibu bapa menyatakan bayaran 10 sen yang dikenakan untuk memasuki tandas itu adalah tidak wajar kerana menyusahkan pelajar serta membebankan ibu bapa.

Menurut Mohd. Fazal, pelaksanaan sistem pembayaran itu dibuat selepas mendapat persetujuan ibu bapa bagi membayar upah pembersihan tandas dan menggantikan peralatan tandas yang rosak.

"Dalam mesyuarat agung yang dihadiri 602 orang penjaga pada 6 Februari lalu pun kita tidak mendapat bantahan daripada ibu bapa mengenai pembayaran itu.

"Selain itu juga kaunter aduan ibu bapa yang dibuka setiap hari Rabu oleh pihak sekolah juga tidak mendapat aduan mengenai perkara itu," katanya.

Dalam pada itu katanya, akibat tindakan pemansuhan itu pihaknya terpaksa menanggung sendiri perbelanjaan untuk membayar upah pembersihan dan pembaikan kerosakan tandas di sekolah berkenaan.

Justeru ujarnya, pihaknya akan memikirkan kaedah lain dalam mesyuarat PIBG akan datang bagi menampung perbelanjaan tersebut.

Pihaknya juga akan turut mencari kaedah terbaik seperti menggunakan khidmat pesanan ringkas (SMS) bagi memastikan semua penjaga dan ibu bapa dapat menyalurkan aduan terus kepada pihaknya.

Utusan Malaysia Online: 27 Mac 2010

Jumaat, 26 Mac 2010

Muhyiddin sedia bersemuka dengan NUTP

KUALA PILAH: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersedia untuk bersemuka dengan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) bagi menyelesaikan sebarang permasalahan yang berbangkit.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, tidak ada perkara yang tidak boleh diselesaikan.

KUALA PILAH: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersedia untuk bersemuka dengan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) bagi menyelesaikan sebarang permasalahan yang berbangkit.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, tidak ada perkara yang tidak boleh diselesaikan.

“Sebenarnya pihak Ketua Pengarah Pelajaran sudah berjumpa. Saya minta sebelum saya berjumpa, saya mahu tahu isu dan masalah atau perkara yang mereka bangkitkan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Negeri Sembilan di Beting, dekat sini, semalam. Kampus UiTM di kawasan seluas 160 hektar itu adalah kampus cawangan terbaru di negara ini dan mampu menempatkan kira-kira 2,000 pelajar memulakan sesi pengajian Julai tahun lalu, menawarkan lapan program, termasuk dua di peringkat ijazah sarjana muda.

Turut hadir Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Naib Canselor UiTM, Prof Datuk Dr Sahol Hamid Abu Bakar.

Beliau diminta mengulas mengenai hasrat NUTP untuk bertemu beliau bagi menyelesaikan beberapa perkara mengenai profesion perguruan termasuk bebanan tugas guru.

Muhyiddin berkata, beliau dimaklumkan bahawa antara perkara yang akan dibangkitkan ialah berhubung masalah beban kerja, kebajikan dan perjawatan guru.
“Ia bukanlah satu perkara yang luar biasa dan daripada laporan yang saya terima kesatuan melihat beberapa kes yang berlaku di peringkat negeri yang dibuat di peringkat sekolah.

“Antaranya mengarahkan guru datang ke sekolah lebih daripada hari biasa yang mereka katakan ini sudah menjadi beban. Kita akan mengumpul maklumat ini dan saya telah minta satu tarikh untuk mendengar apakah masalah yang mahu ditimbulkan dan bagaimana boleh menyelesaikannya,” katanya.

Beliau berkata, ia bukan masalah nasional tapi kes yang berlaku di sesetengah tempat di sekolah tertentu.

“Apa pun kita akan ambil perhatian dan kita akan lihat cara-cara untuk mengatasinya. Jadi pertemuan ini memang saya akan tetapkan tarikhnya,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, cabaran pertama UiTM untuk mengekal dan meningkatkan tahap kecemerlangan akademik bagi melahirkan graduan berkualiti tinggi.

Beliau berkata, ini bermakna tumpuan perlu diberikan kepada usaha untuk menjana modal intelektual universiti melalui pemantapan aktiviti penyelidikan, pengukuhan budaya inovasi, peningkatan mutu penulisan dan penerbitan akademik serta penambahbaikan pengajaran dan pembelajaran.

"Ahli akademik juga perlu digalakkan terbabit dalam penyelidikan berimpak tinggi untuk memperkaya khazanah ilmu dan meningkatkan profil universiti di peringkat serantau dan antarabangsa.

"Untuk meningkatkan kebolehpasaran graduan, UiTM boleh menawarkan program bukan tradisional, terutama dalam bidang sains dan teknologi yang berpotensi berkembang maju pada sama depan," katanya.

Berita Harian Online: 26 Mac 2010

Longgar syarat tambahan KPLI

Oleh Sazarina Shahrim
sazarina@bharian.com.my
2010/03/26

Kementerian Pelajaran sasar lebih ramai graduan berkelayakan ambil MTest

PUTRAJAYA: Kementerian Pelajaran memberi kelonggaran dalam syarat tambahan yang ditetapkan kepada pemohon Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) bagi membolehkan lebih ramai diberi peluang mengambil Ujian Calon Guru Malaysia (MTest) sesi kedua yang diadakan esok.

Pengarah Bahagian Pendidikan Guru, Dr Zahri Aziz, berkata MTest kedua yang akan diduduki kira-kira 22,000 calon itu memberi peluang kepada pemohon yang mempunyai pengalaman mengajar sebagai guru sandaran tidak terlatih tetapi tidak mempunyai purata nilai gred kumulatif (CGPA) 2.75 ke atas pada peringkat sarjana muda. “Bagi mereka yang mempunyai pengalaman mengajar sebagai guru sandaran tidak terlatih, tidak kira walaupun hanya mempunyai setahun pengalaman dan tidak mencapai CGPA 2.75, kita tetap beri peluang kepada mereka untuk mengambil ujian berkenaan.

“Ini bagi memastikan peluang dan ruang yang lebih terbuka diberikan kepada pemohon,” katanya kepada Berita Harian di sini, semalam.

MTest sesi pertama yang membabitkan 34,849 calon dilakukan pada 13 Mac lalu di 27 institut pendidikan guru (IPG) dan 107 sekolah seluruh negara manakala MTest sesi kedua pula akan dilakukan di 27 IPG dan 68 sekolah, tidak lama lagi.

Berdasarkan keputusan MTest itu, calon yang layak akan dipanggil temu duga sebelum dipilih mengikuti kursus berkenaan.
Kementerian Pelajaran menerima lebih 68,000 permohonan, namun hanya 1,898 yang akan terpilih mengikuti program berkenaan Jun depan.

Berikutan permohonan yang tinggi itu berbanding jumlah tempat yang ditawarkan, kementerian mengetatkan syarat kemasukan termasuk mempunyai sarjana muda dengan CGPA 2.75 ke atas selain syarat asas mendapat kredit Bahasa Melayu dan lulus Bahasa Inggeris.

Zahri turut memberi jaminan bahawa MTest yang dijalankan itu telus untuk mencari calon yang benar-benar layak membimbing murid.

“Mtest dibuat oleh pensyarah universiti dan institut pendidikan guru yang dilakukan secara saintifik. Kita tidak boleh persoalkan kesahihan instrumen yang digunakan dalam ujian itu,” katanya.

Sebelum ini, beberapa pihak termasuk pembaca Berita Harian menyuarakan rasa tidak puas hati mengenai Mtest yang dikatakan tidak telus dan ada yang membuat aduan tidak terpilih mengambil ujian berkenaan walaupun menepati kriteria yang ditetapkan.

Berita Harian Online: 26 Mac 2010

Patuhi pekeliling Kementerian Pelajaran

KUALA PILAH 25 Mac – Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta semua Pengarah Pelajaran negeri dan sekolah supaya mematuhi arahan pekeliling yang dikeluarkan oleh Kementerian Pelajaran.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, ia bertujuan mengelakkan rasa tidak puas hati di kalangan guru yang merasakan dibebani oleh kerja tidak relevan dengan tugas hakiki berikutan arahan dikeluarkan di peringkat negeri.

‘‘Saya maklum mengenai perkara itu sejak kebelakangan ini, malahan saya sendiri memberikan perhatian terhadap isu tersebut. Umpamanya beban kerja guru, soal kebajikan selain perjawatan dan sebagainya,” katanya.

Muhyiddin berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan kampus tetap Universiti Teknologi Mara (UiTM) Negeri Sembilan di Beting, dekat sini hari ini.

Hadir sama Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Naib Canselor UiTM, Datuk Prof. Ir. Dr. Sahol Hamid Abu Bakar; Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Pengarah Kampus UiTM Negeri Sembilan, Prof. Madya Zaluddin Sulaiman.

Beliau ditanya berhubung satu cadangan yang dikemukakan oleh Kesatuan Kebangsaan Profesion Perguruan (NUTP) yang mengancam untuk mengadakan demonstrasi di seluruh negara sebagai tanda bantahan dengan bebanan kerja tanpa kaitan yang diberikan oleh pengetua dan guru besar.

NUTP mendakwa terdapat guru yang diminta membuat laporan demi laporan, pelan tindakan, kertas kerja, yang mana disifatkan tidak relevan dengan tugas hakiki mereka.

Menurut NUTP, tindakan itu boleh menjejaskan kualiti pengajaran seorang guru dan yang menjadi mangsa utamanya adalah pelajar itu sendiri.

Mengulas lanjut, Muhyiddin menegaskan, tugas guru telah diperjelaskan oleh pihak kementerian dan pengarah di negeri serta sekolah wajar mematuhi apa juga pekeliling yang telah dikeluarkan oleh kementerian tersebut.

Sehubungan itu beliau akan menemui semua Pengarah Pelajaran negeri untuk memastikan bagaimana segala dasar dan arahan yang dikeluarkan Kementerian Pelajaran dapat dipatuhi.

Kata Muhyiddin, pertemuan itu akan melibatkan Ketua Pengarah Pelajaran, pengarah-pengarah peringkat kementerian serta pengarah pelajaran negeri.

‘‘Selepas itu, saya juga akan mengadakan pertemuan dengan semua Pegawai Pelajaran Daerah untuk mencari jalan terbaik menyelesaikan apa juga perihal berbangkit termasuklah berkaitan beban tugas dan kebajikan guru,” katanya.

Beliau berkata, Kementerian Pelajaran memang mengeluarkan pekeliling dari semasa ke semasa kepada pengarah peringkat negeri mengenai apa yang perlu dilakukan di sekolah-sekolah.

‘‘Cuma masalah timbul apabila ada pengetua dan guru besar mengambil langkah tertentu mengikut budi bicara mereka sehingga menyebabkan timbul perasaan tidak puas hati di kalangan guru.

‘‘Semua itu, bukanlah arahan kementerian kerana kita ada panduan yang hendak dibuat dan dilaksanakan.

‘‘Persoalannya bagaimana kita hendak menyeragamkan semua tindakan itu supaya sesuatu keputusan yang dibuat di peringkat kerajaan dan kementerian dapat dilaksanakan dengan baik. Itulah yang akan kita selesaikan,” tambah beliau.

Muhyiddin berkata, pertemuan dengan Pengarah Pelajaran negeri itu juga bukanlah disebabkan desakan NUTP, tetapi beliau sendiri berhajat menemui mereka.

Ditanya mengenai tindakan demonstrasi yang hendak dilakukan oleh NUTP jika tuntutan mengenai beban tugas tidak dapat diselesaikan, Muhyiddin berkata, Ketua Pengarah, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom telah pun menemui pihak berkenaan.

Utusan Malaysia Online: 26 Mac 2010

Khamis, 25 Mac 2010

Sekolah tidak serius atasi gejala ponteng

2010/03/25

SAYA amat kecewa dengan pentadbiran Sekolah Menengah Bukit Rahman Putra (SMKBRP) Sg Buloh yang tidak mengambil tindakan tegas terhadap pelajar yang ponteng kelas melepak di taman permainan kanak-kanak di kawasan perumahan di hadapan sekolah berkenaan.

Kami penduduk di taman perumahan tiada kuasa untuk menangkap pelajar terbabit. Apabila aduan dibuat kepada pihak pentadbiran sekolah, jawapan diterima ialah ‘guru disiplin’ sedang mengajar.

Saya berharap pihak Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMKBRP memainkan peranan lebih aktif menangani gejala ponteng sekolah.

PENDUDUK BRP,
Sg Buloh.


Berita Harian Online: 25 Mac 2010

Sekolah lestari

Oleh Khairina Yasin
kayrina@bharian.com.my
2010/03/25

115 peserta bertanding rebut Anugerah Alam Sekitar

SEJUMLAH 115 sekolah iaitu 46 rendah dan 69 menengah mengesahkan penyertaan masing-masing dalam Program Sekolah Lestari - Anugerah Alam Sekitar (SLAAS) bagi sesi 2009/2010.

Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan Jabatan Alam Sekitar (JAS), Dr Ir Shamsudin Ab Latif, berkata Sarawak dan Johor mencatat penyertaan paling tinggi, masing-masing 27 dan 28 sekolah. Beliau berkata, ini diikuti Sabah (11), Selangor dan Kedah (tujuh), Pulau Pinang dan Kelantan (enam), Kuala Lumpur dan Perak (lima), Negeri Sembilan (empat), Melaka dan Pahang (tiga), Terengganu (dua) dan Perlis (satu).

Daripada jumlah itu, katanya 67 peratus adalah penyertaan baru dan perkembangan itu menunjukkan minat dan keyakinan sekolah terhadap kelebihan program berkenaan dalam memupuk semangat cintakan alam sekitar di kalangan pelajar.

“Proses penilaian peringkat negeri bermula April ini selama dua bulan yang dilaksanakan panel penilai dan pemilih dilantik.

“Pembahagian peratus pemarkahan sama seperti sebelum ini iaitu 40 peratus dokumen dan baki 60 peratus (lawatan lapangan) sebelum penilaian peringkat kebangsaan diadakan pada pertengahan Julai,” katanya pada Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Program SLAAS di Putrajaya, baru-baru ini.
Hadir sama, Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian, Kementerian Pelajaran, Datuk Zulkifly Mohd Wazir.

Sehingga kini, Shamsudin berkata, program yang diperkenalkan pada 2005 itu disertai 254 sekolah seluruh negara.

Beliau menjelaskan, JAS turut merangka perancangan strategik ke arah melestarikan yang kini memasuki sesi ketiga.

Katanya, perancangan itu termasuk menerbitkan buku bersiri iaitu Siri Menjejak Kelestarian” bermula dengan proses pengumpulan data dan maklumat penganjuran program bermula sesi I hingga III.

“Kajian penambahbaikan khususnya berkaitan kriteria pelaksanaan dan penilaian juga akan dijalankan pada tahun ini bagi mewujudkan kriteria baru untuk diguna pakai pada sesi akan datang.

“Perancangan ini penting bagi memastikan kelestarian program. Usaha ini menuntut kerjasama semua pihak dan agensi berkaitan bagi menjayakan program ini.
“Malah, kita dapat lihat kemajuan dalam penganjuran program ini apabila wujud peningkatan dari segi jumlah penyertaan sekolah setiap sesi,” katanya.

Program SLAAS bertujuan membentuk persekitaran sekolah yang menitikberatkan pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar membabitkan empat komponen iaitu pengurusan, kurikulum, kokurikulum dan penghijauan.

Penganjur menawarkan hadiah lumayan iaitu wang tunai RM20,000 bagi pemenang anugerah setiap kategori sekolah rendah dan menengah. Peserta terpilih berpeluang mendapat pengiktirafan Pensijilan Khas Sekolah Lestari dan Pensijilan Sekolah Lestari Peringkat Negeri dan hadiah wang tunai RM2,000.

Berita Harian Online: 25 Mac 2010

Selama ini pendidikan apa namanya?

AKHIR-AKHIR ini bertubi-tubi Kementerian Pelajaran diasak dan disarankan agar pendidikan seks dimasukkan dalam kurikulum sekolah, kononnya untuk memberi pengetahuan kepada pelajar tentang bahayanya mengandung anak luar nikah dan mengamalkan seks sebelum berkahwin. Lebih penting adalah untuk mengawal gejala buang bayi yang menjadi-jadi sekarang ini.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abd Jalil turut mengulangi gesaan supaya Kementerian Pelajaran bertindak segera memulakan pendidikan seks itu manakala kementerian tersebut pula masih menimbangkan dan menunggu maklum balas daripada pihak-pihak yang lain.

Tetapi apakah benar pendidikan seks tidak diajar di sekolah-sekolah selama ini? Atau pendidikan seks yang macam mana yang dikehendaki oleh para pendesak ini?

Selama ini apakah jenis pendidikan yang diterapkan dalam matapelajaran Sains dan Pendidikan Islam mengenai seks? Bukankah itu adalah satu cabang pendidikan seks?

Dalam matapelajaran Sains dan Sains Kesihatan di sekolah telah ada topik-topik tentang alat-alat kelamin lelaki dan perempuan. Para pelajar telah melihat dan melukis dan membuat lakaran serta nota tentang perkara itu.

Mereka telah diajar bagaimana alat-alat kelamin itu berfungsi dan apa hasilnya jika persenyawaan berlaku antara sperma lelaki dan telur dari benih perempuan. Para pelajar telah mempelajari mengenai kitaran haid dan keberkesanan sperma lelaki.

Mereka juga telah didedahkan mengenai proses mengandung dan proses kelahiran melalui matapelajaran Sains dan Pendidikan Islam. Malah dalam Pendidikan Islam telah diajar tentang halal dan haramnya perhubungan intim di luar nikah dan telah diajar juga tentang status anak yang lahir di luar nikah.

Jadi apa namanya pendidikan yang disebutkan itu? Atau pendidikan seks yang macam mana yang dikehendaki oleh Shahrizat itu? Adakah beliau dan pihak-pihak lain yang mendesak ini mahu para pelajar didedahkan dengan kaedah melakukan seks secara selamat ataupun bagaimana mengelak diri dari mengandung? Atau mereka mahu diajar tentang kaedah memakai kondom dan ubat mencegah kehamilan?

ILHAM SYAKIMA

Taman Guru, Yan

Utusan Malaysia Online: 25 Mac 2010

Rabu, 24 Mac 2010

Minda: Ubah persepsi tingkatan enam

PEMBELAJARAN di tingkatan enam adalah taraf tertinggi dalam sistem pendidikan sekolah di negara kita. Pelajar yang terpilih akan mengikuti pembelajaran mereka selama dua tahun dan diakhiri dengan peperiksaan awam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM). Namun demikian, sudah sekian lama masyarakat mahupun di kalangan pelajar sendiri yang menganggap belajar di tingkatan enam bertaraf rendah dan membuang masa.

Pandangan negatif itu menjadi fobia kepada sesetengah pelajar dan mereka yang terpilih ke tingkatan enam seolah-olah mengalami perasaan rendah diri kerana rakan lain layak ke kolej matrikulasi, politeknik atau institusi pengajian lain. Tanggapan umum ialah pelajar tingkatan enam terdiri di kalangan mereka yang tercicir untuk ke IPTA.


Sesungguhnya persepsi itu mesti dikikis segera kerana sistem pembelajaran di tingkatan enam adalah gerbang kedua untuk ke universiti. Pendapat mengatakan peluang pelajar tingkatan enam untuk melanjutkan pelajaran ke universiti adalah tipis boleh dipersoalkan. Jika kita perhatikan syarat kelayakan ke IPTA, kita dapati syarat minimum kelayakan masuk termasuk mempunyai STPM. Di samping itu, ada beberapa kelayakan lain yang setaraf dengannya seperti sijil matrikulasi, diploma, A-Level atau kelayakan lain yang diiktiraf.


Jadi, di sini jelas menunjukkan kedudukan STPM dimiliki pelajar tingkatan enam diiktiraf kerajaan. Mungkin tanggapan negatif itu berpunca daripada kebanyakan pelajar cemerlang melanjutkan pelajaran ke pusat matrikulasi. Situasi sebegini menjadi sindrom kepada pelajar yang gagal ke matrikulasi untuk menerima kemasukan ke tingkatan enam lantaran berasa malu kepada rakan. Inilah fenomena saban tahun pelajar tingkatan enam, berasa diri terpinggir dan tercicir. Di samping itu, ada sesetengah pelajar beranggapan tempoh dua tahun di tingkatan enam terlalu lama dan mereka perlu benar-benar bersedia sama ada dari segi mental dan emosi untuk menghabiskan pembelajaran. Apatah lagi belajar di tingkatan enam pelajar masih terikat dengan peraturan dan disiplin sekolah sebagaimana pelajar junior lain. Belajar dan berada di bawah satu bumbung yang sama dengan pelajar tingkatan lain meninggalkan ‘rasa terpencil’ dalam sanubari mereka. Sebenarnya keadaan berkenaan tidak timbul langsung jika pelajar menyedari mereka sebenarnya berada di gerbang universiti. Soal di mana kita belajar tidak penting. Yang perlu pelajar fikirkan bagaimana untuk merangkul kecemerlangan. Kesedaran dan komitmen menjadi tunjang dalam menjana kejayaan dalam mana-mana sistem pembelajaran. Belajar di mana-mana sebenarnya sama saja kerana tiada jalan mudah mencapai kejayaan. Memang benar kejayaan itu milik semua, tetapi yang berusaha keras saja mampu mencapainya. Jika kita meninjau prestasi pencapaian pelajar STPM setiap tahun, ia menunjukkan kualiti sangat tinggi dan sentiasa berlaku peningkatan dari segi peratusan kelulusan. Hal ini menggambarkan pelajar tingkatan enam mampu muncul cemerlang sebagaimana rakan mereka di matrikulasi, politeknik atau kolej swasta. Belajar di tingkatan enam banyak kelebihan. Antaranya pelajar akan mengikuti pembelajaran secara sistematik berdasarkan kurikulum Kementerian Pelajaran bersesuaian dengan kehendak IPTA dan IPTS. Dokongan kuat dan sentiasa di bawah bimbingan guru juga adalah faktor utama membolehkan seseorang pelajar itu mencapai kejayaan cemerlang. Hal itu tidak ada pada rakan mereka di matrikulasi atau di pusat pengajian lain kerana mereka terpaksa lebih berdikari. Tingkatan enam adalah landasan terbaik untuk seseorang pelajar ke universiti. Sebenarnya peluang pelajar tingkatan enam melanjutkan pelajaran ke universiti lebih terbuka berbanding lepasan diploma. Ini kerana lepasan matrikulasi dan diploma tidak secara automatik layak ke universiti jika mereka gagal mencapai merit dan kelulusan ditetapkan. Perlu diingatkan, pembelajaran tingkatan enam diadakan bukan untuk menampung pelajar yang gagal ke IPT, sebaliknya sistem pembelajaran tingkatan enam itu adalah wadah terbaik untuk pelajar mempersiapkan diri bagi menghadapi cabaran lebih luas yang bakal mereka tempuh di IPTA/IPTS. Justeru, selama dua tahun di tingkatan enam membuka ruang dan peluang kepada pelajar untuk merenung diri dan menilai kemampuan sebenar ke arah masa depan yang lebih cerah. Halangan dan cabaran di tingkatan enam adalah jalan mudah ke universiti. Ini kerana mereka yang memperoleh kejayaan cemerlang dalam STPM, laluan ke universiti amat mudah dan mampu menyesuaikan diri untuk mengikuti pembelajaran di universiti. Apa yang penting, pelajar harus bijak merancang pembelajaran dan mesti sentiasa bersedia dari awal. Kepahitan dan kegetiran pelajar mengharungi masa dua tahun di tingkatan enam memerlukan ketabahan dan kecekalan. Tetapi, semuanya adalah lumrah ketika belajar. Ingatlah wahai pelajar pesanan Imam Syafie yang antara lain berkata, “Ilmu itu umpama ladang, maka berbanggalah kamu dengan ilmu. Dan jangan sampai kamu kehilangan ladang kebanggaan itu. Tuntutlah ilmu sebanyak-banyaknya walaupun terpaksa berkorban dan menderita. Mungkin suatu hari nanti apabila engkau menghadiri suatu majlis dan engkau yang memimpinnya, maka engkau akan menjadi kebanggaan majlis itu.” Sesiapa yang tidak pernah merasakan pahit getir menuntut ilmu, meskipun sedetik, tentulah ia akan terjerumus ke dalam kejahilan seumur hidupnya. Demikianlah, betapa pengalaman getir ketika belajar adalah ubat mujarab untuk mencapai kejayaan cemerlang dalam pelajaran. Sesungguhnya sistem pembelajaran tingkatan enam masih boleh dipertingkatkan dengan lebih baik. Antaranya ialah mengadakan sistem kolej seperti pusat matrikulasi. Setiap negeri dibina satu kolej pra-U untuk menempatkan pelajar tingkatan enam. Ini tentu meninggikan imej dari segi fizikal dan mampu memantapkan emosi pelajar. Selain itu, pelajar tingkatan enam seharusnya lebih kerap dibawa melawat sambil belajar di universiti untuk memberi pendedahan awal kepada mereka mengenai suasana kampus universiti.


Ini tentu merangsang minat pelajar untuk belajar bersungguh-sungguh. Di samping itu, tenaga pendidik ditugaskan di tingkatan enam hendaklah dipilih daripada kalangan guru yang berpengalaman luas. Ini penting untuk meyakinkan pelajar bahawa mereka berdepan dengan tenaga pengajar berkebolehan tinggi yang sekali gus mencambah semangat meneruskan pembelajaran. Hakikatnya, semua peluang belajar seharusnya dimanfaatkan sebaik mungkin dan jangan memperkecilkan keupayaan diri sendiri lantaran kita gagal masuk ke pusat matrikulasi. Tiada halangan, hanya peluang. Itulah yang boleh kita katakan mengenai kelebihan pelajar di tingkatan enam. Kata penulis motivasi Alias Muda, “Setiap orang dilahirkan unik bukan saja dari segi rupa paras, tetapi juga dari segi potensi diri. Keunikan inilah yang menjadikan seseorang itu lain daripada yang lain, hebat dan istimewa.”

Penulis ialah seorang guru

myMetro: 24 Mac 2010

Semesta raih RM5,000

RAUB: Kejayaan merangkul tempat kedua pada pertandingan Asrama Terbilang Sekolah Berasrama Penuh (SBP) 2009 menjadi antara faktor pemangkin kejayaan pelajar Sekolah Menengah Sains Tengku Abdullah (Semesta), di sini, dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2009.

Ini terbukti apabila 28 daripada 128 pelajar memperoleh pangkat A dalam semua mata pelajaran, sekali gus membolehkan Semesta mencapai Gred Purata Sekolah (GPS) 1.79 berbanding GPS 2.06 diperoleh pada 2008, peningkatan amat membanggakan.


Kejayaan itu bertitik-tolak daripada kejayaan mencapai kedudukan tempat kedua pada Pertandingan Asrama Terbilang SBP 2009 di belakang Sekolah Menengah Sains Miri, Sarawak.


Kejayaan itu melayakkan Semesta mendapat ganjaran RM5,000 daripada Bahagian Pengurusan SBP dan Sekolah Kluster, Kementerian Pelajaran.


Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (HEM) Semesta, Mohd Basri Yaacob, berkata kejayaan sekolah itu hasil kerjasama semua pihak pentadbir, warden, kaunselor, mentor kamar, kakitangan asrama dan pelajar.


Selain itu, program seperti gotong-royong asrama pada hujung minggu, Sistem Merit-Demerit, Pertandingan Kamar Terbersih serta Sistem Lampu Trafik Sahsiah dilaksanakan menjadikan keadaan asrama bersih, kondusif dan ceria.

“Malahan Dewan Makan dinamakan ‘Serambi Selera’ diberi pengiktirafan bertaraf A oleh Pejabat Kesihatan Raub,” katanya ketika ditemui di sini.

myMetro: 24 Mac 2010

SIP di semua sekolah akhir Mac - Muhyiddin

KUALA LUMPUR 23 Mac - Kementerian Pelajaran akan melaksanakan Program Pembangunan Sekolah (SIP) bermula hujung bulan ini bagi membantu melonjakkan pencapaian semua sekolah di negara ini, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran menjelaskan, SIP mempunyai matlamat jangka panjang bagi membolehkan sebanyak mungkin sekolah termasuk di luar bandar dan pedalaman mencapai tahap Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT).

Katanya, melalui SIP juga, permasalahan sesebuah sekolah dapat ditangani secara khusus dan ia akan bermula melalui analisis Toolkit Pembangunan Prestasi Sekolah (SIT) dengan mengambil kira empat elemen utama iaitu kepimpinan, guru, murid, ibu bapa dan infrastruktur.

"Hasil analisis SIT, setiap sekolah akan merangka dan merancang Pelan Pembangunan Prestasi Sekolah masing-masing.

"Pelan pembangunan yang telah dirangka akan dikemukakan kepada Jawatankuasa Program Pembangunan Prestasi Sekolah yang berpusat di kementerian untuk dianalisis bagi menentukan pelan terbaik untuk sesebuah sekolah," katanya.

Beliau menjawab soalan Datuk Noraini Ahmad (BN-Parit Sulong) pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

Ahli Parlimen Parit Sulong itu meminta kementerian menyatakan mengenai strategi yang diambil dalam mencapai sasaran mewujudkan 100 buah SBT menjelang 2012

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, beliau tidak menafikan bahawa program pembangunan sedemikian bukannya sesuatu yang baru namun kali ini pihaknya melakukan penambahbaikan dari aspek pelaksanaannya.

Katanya, pada kali ini ia akan menggunakan pendekatan dari bawah ke atas bagi memastikan masalah sebenar setiap sekolah dapat ditangani lebih-lebih lagi ia membabitkan pemantauan sistematik sejajar dengan inisiatif Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Pendidikan.

"Laporan mingguan dan bulanan mengenai prestasi program akan dikemukakan kepada pihak Pemandu untuk dipantau," tegasnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Timbalan Perdana Menteri berkata, SIP juga akan memberi perhatian khusus kepada sekolah rendah di kawasan luar bandar dan pedalaman.

Katanya, ini kerana kementerian mendapati sekolah terbabit pada masa ini berada dalam kelompok sekolah berprestasi rendah.

Menjawab soalan tambahan Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur), Muhyiddin berkata, kerajaan bersedia menimbangkan untuk memberi biasiswa selaras dengan amalan meritokrasi kepada pelajar yang berada dalam kelompok paling cemerlang.

Katanya, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun razak juga akan membuat pengumuman berhubung pemberian Biasiswa Nasional yang mempunyai semangat tersebut dalam masa terdekat.

"Tidak berapa lama lagi Perdana Menteri akan umum Biasiswa Nasional, ia akan diambil kira kriteria berdasarkan merit bukan kerana kaum, sesiapa sahaja sama ada Melayu, Cina dan India yang memenuhi kriteria yang terbaik di kalangan terbaik akan menerimanya," katanya.

Utusan Malaysia Online: 24 Mac 2010

53 pendidik sertai konvensyen guru Bahasa Melayu

IPOH 23 Mac - Seramai 53 guru Bahasa Melayu menyertai Konvensyen Guru-Guru Bahasa Melayu Sekolah Menengah Teknik (SMT) Perak anjuran SMT Lebuh Cator yang julung kalinya diadakan di sini hari ini.

Program bermula dari pukul 8 pagi hingga 5.30 petang itu dirasmikan oleh Ketua Penolong Pengarah Bahasa, Bahagian Akademik Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) Perak, Saidi Ngah Abdul Said.

Pengetua SMT Lebuh Cator, Mokhtar Zakaria berkata, matlamat penganjuran konvensyen adalah untuk meningkatkan pencapaian mata pelajaran Bahasa Melayu di SMT dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Katanya, para peserta yang terlibat akan menetapkan sasaran pencapaian Bahasa Melayu dalam peperiksaan itu pada tahun ini.

''Pada masa ini, semua SMT di negeri ini mencatatkan kelulusan 100 peratus bagi mata pelajaran Bahasa Melayu.

''Namun, kita tidak lagi melihat kepada kelulusan semata-mata tetapi mahu meningkatkan bilangan pelajar yang mencatat keputusan cemerlang dalam mata pelajaran itu," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut Mokhtar, menerusi program itu, para peserta diberikan pendedahan mengenai teknik pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu yang lebih berkesan.

''Kita telah jemput tiga guru cemerlang iaitu Khairuddin Ayip dari SMT Shah Alam, Zaiton Zahari dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Methodist (ACS) Kampar dan Noraini Hasbullah dari SMK Seri Perak, Teluk Intan untuk memberikan ceramah.

''Di samping itu, para peserta juga boleh berkongsi pengalaman mengajar Bahasa Melayu di sekolah masing-masing dalam konvensyen ini untuk mencari kaedah pengajaran terbaik," katanya.

Sementara itu, seorang guru, Latifah Abdul Mutalib, 40, dari SMT Lebuh Cator, menyifatkan konvensyen tersebut sangat baik untuk memantapkan pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu.

''Dalam konvensyen ini, penceramah menjelaskan kaedah pengajaran berkesan terutamanya teknik mengarang untuk membantu pelajar mencatatkan keputusan cemerlang dalam peperiksaan.

''Kita juga diberikan motivasi untuk berusaha bersungguh-sungguh bagi membantu meningkatkan kecemerlangan pelajar," ujarnya.

Noorfaizah Abdul Jabar, 30, dari SMT Slim River pula berkata, program itu memberikan pendedahan mengenai teknik pengajaran yang lebih baik kepada guru-guru Bahasa Melayu.

Utusan Malaysia Online: 24 Mac 2010

Selasa, 23 Mac 2010

PIBG diingat usah persoal keputusan mansuh PPSMI

KUALA LUMPUR: Pengetua dan guru besar sekolah diingatkan tidak membincangkan isu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dalam mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

Pengarah Pelajaran, Jabatan Pelajaran Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPWPKL), Mohd Adenan Deraman, berkata keputusan memansuhkan dasar PPSMI bermula 2011 sudah dibuat kerajaan dan perbincangan mengenainya sesuatu yang tidak wajar. Mohd Adenan berkata, pihaknya mendapat maklumat ada PIBG cenderung membangkitkan isu terbabit dalam mesyuarat agung yang akan diadakan kebanyakan sekolah pada akhir bulan ini. “Tindakan mempersoalkan keputusan atau dasar kerajaan adalah bertentangan peraturan terkandung dalam buku Garis Panduan Pengurusan PIBG. “Tindakan juga boleh diambil dengan menggugur atau menggantung jawatankuasa PIBG jika didapati menentang dasar kementerian atau kerajaan,” katanya selepas Majlis Penyampaian Anugerah Kecemerlangan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2009 di sini, semalam. Mohd Adenan juga mengingatkan PIBG tidak dijadikan landasan untuk ahli jawatankuasa persatuan itu menentang dasar kerajaan dan kementerian. “Kami tidak menghalang ahli jawatankuasa menyuarakan pendapat, tetapi mereka perlu mengikut garis panduan ditetapkan. Kami harap perkara ini jelas,” katanya.

myMetro: 23 Mac 2010

Isnin, 22 Mac 2010

Kementerian tak tukar status calon isi jawatan pengetua

SERAMAI 160 pengetua pada 2008 dan 150 pada 2009 dilantik melalui urusan pemangkuan atau kenaikan pangkat ke gred DG48. Bagi kaedah pengisian secara penempatan setara, 241 pengetua dilantik mengisi jawatan Pengetua Gred DG48.

Kementerian Pelajaran merujuk laporan akhbar ini 1 Mac lalu bertajuk ‘Ada pihak menganggap pelantikan sebagai pengetua satu bebanan’. Berikut sebahagian petikan laporan akhbar itu:

"Difahamkan, Bahagian Sumber Manusia Kementerian Pelajaran iaitu jabatan yang dimonopoli sepenuhnya kumpulan Pegawai Tadbir Diplomatik (PTD) yang mengurus proses kenaikan pangkat pegawai perkhidmatan pendidikan, hanya perlu menukar status DG48 (KUP) kepada DG48 (Hakiki) ketika hendak melantik PPPS menjadi pengetua.’ Syor pengisian jawatan itu disedia Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri dan dikemukakan untuk persetujuan Ketua Pengarah Pelajaran sebagai Ketua Perkhidmatan.
Bahagian Pengurusan Sumber Manusia kementerian hanya mengeluarkan Arahan Penempatan selepas mendapat persetujuan Ketua Pengarah Pelajaran.

Jawatan pengetua gred DG48 dan DG52 boleh diisi melalui pemangkuan dan penempatan setara. Bagi pemangkuan, jawatan ini boleh diisi calon gred DG48 yang diluluskan pemangkuan ke Gred DG52 oleh Lembaga Kenaikan Pangkat Perkhidmatan Pelajaran (LKPPP).

Pengisian secara penempatan setara diisi calon yang dinaikkan ke gred DG48 secara Khas Untuk Penyandang (KUP), DG48 dan DG52 hakiki dan Pengetua Cemerlang gred DG52 (KUP), DG54 (KUP) dan Jusa C (KUP).
Jawatan pengetua boleh diisi calon gred DG44 dan DG48 yang diluluskan LKPPP untuk urusan pemangkuan ke gred DG48 dan DG52.

Adalah tidak benar, pelantikan pengetua semata-mata melalui penukaran status calon KUP kepada hakiki.

UNIT KOMUNIKASI KORPORAT,
Kementerian Pelajaran.

Berita Harian Online: 22 Mac 2010

Dua lembu RM44,000

Oleh Ahmad Shahrul Nizam Muhammad
ahmadshahrul@hmetro.com.my
2010/03/22

PUTRAJAYA: Hasrat seorang guru menagih keuntungan tiga kali ganda hasil pelaburan RM44,000 dalam sebuah ladang penternakan lembu kacukan milik seorang ‘Datuk’ bakal menjadi ‘angan-angan’ apabila hanya menerima tidak sampai RM1,600 selepas enam bulan membuat pelaburan.

Malah, janji manis kakitangan syarikat itu yang mahu menggantikan dua lembu dibeli mangsa masing-masing bernilai RM26,786 jika haiwan itu mati atau tidak mengeluarkan hasil susu pada tahap sepatutnya juga tidak ditunaikan. Bukan itu saja, sebelum menandatangani perjanjian di pejabat syarikat itu di Kuala Lumpur, mangsa dijanjikan hasil itu dalam tempoh 30 minit apabila mangsa hadir di pejabat syarikat itu pada September tahun lalu. Malah, bagi menagih wang dimiliki mangsa, kakitangan syarikat beria-ria mengakui mangsa mampu memperoleh semula pelaburan dalam dua tahun setengah dan bakal menikmati keuntungan tiga kali ganda sehingga mencapai lapan tahun.


Berdasarkan perjanjian itu, mangsa bakal menikmati ganjaran 70 peratus dan 30 peratus bagi syarikat berdasarkan susu yang dihasilkan lembu berkenaan. Kini, sandaran RM44,000 yang dilaburkan itu seolah-olah tinggal harapan apabila lembu pertama tidak lagi mengeluarkan hasil susu yang disyaratkan, manakala lembu kedua mati selepas tidak sampai sebulan dibeli. Apa yang mengejutkan, Krishna Gopal, 43, mendakwa janji yang tertera dalam perjanjian supaya lembu itu diganti jika tidak mengeluarkan hasil dan mati, tidak ditunaikan sehingga kini. Bukan itu saja, katanya, kakitangan di syarikat terbabit juga cuba mengelak apabila dia cuba mendapatkan kepastian.


“Pelaburan yang saya buat ini besar, tetapi mereka tidak menunaikan janji yang sepatutnya, malah cuba melarikan diri apabila saya cuba mendapat kakitangan yang berkaitan.


“Sebenarnya, saya mahukan kepastian kerana pelaburan yang dibuat ini selepas menggunakan pinjaman di sebuah bank dan terpaksa membayar ansuran RM740 setiap bulan,” katanya ketika ditemui Harian Metro, semalam. Apa yang mengecewakan, dia hanya menerima bayaran RM1,410 bagi tiga bulan pertama untuk lembu pertama, manakala RM150 saja bagi lembu kedua yang kemudiannya mati. Menurutnya, berdasarkan perjanjian, lembu yang kurang mengeluarkan susu sehingga 10 liter sehari akan digantikan dengan lembu baru dan begitu juga dengan lembu yang baru akan diganti dengan lembu baru.


“Tetapi, apa yang menyedihkan janji yang dihamburkan tidak dikotakan, malah semakin bimbang apabila kakitangan syarikat sukar untuk bersemuka bagi mencari jalan penyelesaian,” katanya.

“Malah, ada kakitangan syarikat memberikan mahu saya menjelaskan baki kira-kira RM8,780 jika mahu lembu baru itu diberikan, walaupun sebelum ini mereka berjanji untuk menggantikannya terlebih dahulu,” katanya yang mengakui dijanjikan setiap lembu dibeli mampu mengeluarkan hasil antara 20 hingga 25 liter sehari.


Gopal mendakwa, dia bimbang untuk melangsaikan baki berkenaan kerana bimbang masalah lebih rumit akan muncul sehingga haknya tidak dipedulikan kakitangan syarikat.


Menurutnya, jika dia sudah mampu menyediakan RM44,000, bukan masalah untuk menyediakan baki yang masih belum dijelaskan jika syarikat mampu memberikan kepastian bertulis dua lembu baru disediakan sebelum pembayaran baki dilakukan.


Tanpa berselindung, Gopal mengakui memang tertarik dengan pelaburan hasil ternakan itu, tetapi tidak menyangka sebuah syarikat itu sanggup memperlekehkannya yang terpaksa membuat pinjaman bank bagi membuat pelaburan. “Saya mengakui sudah melawat ladang penternakan syarikat berkenaan di selatan tanah air dan tertarik dengan kemampuan lembu yang diternak yang kononnya mampu mengeluarkan hasil tenusu di antara 20 hingga 25 liter sehari dan ada yang mencapai 30 liter sehari.


“Memang ia adalah hakikat di ladang berkenaan, tetapi tidak menyangka dilayan seperti peminta sedekah hanya kerana mahu mendapatkan kepastian mengenai haknya yang tertera dalam perjanjian,” katanya yang kesal dengan sikap kakitangan di syarikat berkenaan.


Menurutnya, dia juga terkejut sebuah syarikat terkenal dan diterajui seorang berstatus `datuk’ tidak mahu menyelesaikan masalah dihadapi pelabur yang terpaksa membuat pinjaman bank bagi meneruskan hasrat melabur. “Saya tidak menafikan kemungkinan ada pelabur lain menghadapi masalah sama termasuk terperangkap dengan `janji manis’ kakitangan syarikat sehingga sanggup melabur sejumlah wang yang besar hanya bagi membeli lembu,” katanya. Malah, katanya, dia juga difahamkan, golongan muda adalah antara mereka yang banyak melabur dalam bidang perniagaan ini kononnya selepas tertarik dengan ganjaran berlipat ganda yang mampu diperoleh dalam tempoh tertentu. Bagi memastikan kegiatan itu tidak berlarutan, Gopal berkata, dia akan mendapatkan nasihat rakan dan pengamal undang-undang sebelum membuat laporan laporan di balai polis kerana berasa tertipu dengan syarikat berkenaan.

myMetro: 22 Mac 2010


Guru ditelan ombak

Oleh Ahmad Othman
am@hmetro.com.my
2010/03/22

KOTA TINGGI: Kegembiraan lima sekawan membabitkan guru dan bekas pelajar dari Johor Bahru menghabiskan cuti hujung minggu bermandi- manda di pantai Desaru, di sini, bertukar tragedi apabila salah seorang mereka ditemui lemas, manakala seorang lagi masih hilang, petang kelmarin.

Mayat Zahari Ibrahim, 29, seorang guru Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Selesa Jaya 1, Johor Bahru, dekat sini sejak lima tahun lalu ditemui manakala Mohd Ramzi Mohamed Jasmin, 18, pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang juga bekas murid sekolah sama, masih hilang.


Seorang rakan mangsa, Syed Ahmad Syed Sahardin, 23, berkata mereka ke pantai peranginan itu menaiki dua kereta berasingan dari Johor Bahru.


“Walaupun ketika itu hujan renyai dan ombak agak kuat, kami tetap menukar pakaian dan berenang sebaik tiba di pantai itu pada kira-kira jam 12 tengah hari semalam.


“Selepas dua jam berenang, saya bersama dua rakan lain naik ke darat dan bersiap-siap pulang tetapi Allahyarham Zahari dan Mohd Ramzi enggan naik kerana belum puas berenang,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik, Hospital Kota TInggi (HKT), semalam.


Menurutnya, melihat dua rakannya masih ingin berenang dia bersama dua rakan lain mengambil keputusan bersiar-siar di pantai berhampiran resort di situ, sebelum kembali setengah jam kemudian.

Katanya, sebaik tiba di lokasi dia melihat Allahyarham Zahari terkapai-kapai meminta tolong manakala Mohd Ramzi tidak kelihatan.


“Melihat rakan dalam cemas, saya berlari mendapatkan pertolongan daripada orang ramai dan petugas penyelamat pantai yang berada tidak jauh dari situ,” katanya.


Sementara itu, Ketua Polis Kota Tinggi, Superintendan Osman Muhammad Sebot, berkata pihaknya dimaklumkan mengenai kejadian lemas di pantai awam Desaru pada kira-kira jam 3 petang.


Sebaik menerima panggilan kecemasan, katanya, operasi mencari dan menyelamat dilancarkan membabitkan pasukan polis dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Bandar Penawar.


“Mayat Zahari ditemui kira-kira jam 3.30 petang, manakala usaha mencari Mohd Ramzi dikhuatiri lemas diteruskan sehingga jam 7 petang semalam (kelmarin) dan hari ini,” katanya.


Difahamkan Allahyarham Zahari masih bujang serta anak ketiga daripada lima beradik berasal dari Kampung Paku Gual Ipoh, Tanah Merah, Kelantan.


Mohd Ramzi pula bekas pelajar di sekolah sama dan mereka dipercayai rapat sejak di bangku sekolah lagi.


Dua pegawai Pejabat Pelajaran Daerah Kota Tinggi (PPDKT), Zulkifli Mohamed dan Ishak Ismail, turut berada Unit Forensik Hospital Kota TInggi (HKT) bagi membantu pihak Jabatan Agama Islam mengurus tuntutan jenazah dan pengangkutan.

Jenazah Zahari dituntut keluarganya lewat malam kelmarin.

myMetro: 22 Mac 2010

Pendekatan modular

KUALA LUMPUR 21 Mac - Sekolah dijangka menggunakan pendekatan modular dalam pembaharuan yang akan dilaksanakan bagi memartabatkan Bahasa Malaysia dan memperkasakan Bahasa Inggeris (MBMMBI).

Pendekatan modular bagi kedua-dua bahasa ini akan memberi fokus dan menitikberatkan penguasaan literasi asas kemahiran bahasa dalam kalangan murid.

Kenyataan akhbar kepada Utusan Malaysia baru-baru ini memberitahu, pendekatan modular mengambil kira kaedah dan pendekatan pengajaran dan pembelajaran yang bersepadu, seimbang dan holistik.

Setiap komponen dalam kemahiran bahasa, iaitu kemahiran mendengar dan bertutur, kemahiran membaca dan kemahiran menulis mempunyai modulnya yang tersendiri, serta disokong dengan modul tatabahasa dan modul seni bahasa.

''Seperkara lagi yang diberi penekanan untuk memartabatkan bahasa Malaysia dan memperkasakan bahasa Inggeris adalah dengan memberi tumpuan kepada prinsip asas bahasa (back to basic)," ujar kenyataan tersebut.

Asas bahasa yang kukuh merupakan elemen terpenting bagi pembelajaran yang berkesan.

Kurikulum kedua-dua bahasa tersebut akan menitikberatkan pengukuhan penguasaan asas bahasa. Sebagai contoh, bagi pengukuhan penguasaan asas bahasa Inggeris akan dilakukan dengan memberi penekanan kepada phonics.

Pengenalan sistem bunyi yang dilakukan secara berstruktur dan sistematik melalui phonics berupaya memantapkan penguasaan asas bahasa murid.

Di samping perkara yang disebut tadi, pendekatan didik hibur dan menghargai bahasa akan diberi perhatian dalam usaha untuk memartabatkan bahasa Malaysia dan memperkasakan bahasa Inggeris.

Sebagai contoh, pengajaran dan pembelajaran melalui modul seni bahasa akan memberi tumpuan dan penekanan kepada pembelajaran yang menarik, kreatif, inovatif dan berkesan yang boleh dilakukan melalui pelbagai aktiviti berbahasa seperti nyanyian, berlakon, berpuisi, pengucapan awam, jazz chants, choral speaking, drama dan muzik.

Pendekatan pengajaran dan pembelajaran ini membolehkan murid belajar dalam suasana yang menyeronokkan, selesa dan tiada tekanan

Utusan Malaysia Online: 22 Mac 2010

13,000 guru tambahan BM, BI

KUALA LUMPUR 21 Mac - Penambahan bilangan waktu mengajar subjek Bahasa Inggeris di sekolah, menengah dan matrikulasi adalah satu usaha molek agar masa belajar bersama guru-murid dalam pengajaran dan pembelajaran (P & P) Bahasa Inggeris dipertingkatkan dan diperkemas.

Menurut sumber di Kementerian Pelajaran ketika dihubungi di sini hari ini, selari dengan penambahan jumlah waktu Bahasa Inggeris, Kementerian Pelajaran akan menambah guru Bahasa Inggeris sebanyak 13,000 orang dengan pengambilan guru dari Institut Perguruan Malaysia (IPGM), institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS).

Selain itu, pengambilan guru bersara dan guru dari luar negara yang akan ditempatkan di luar bandar akan dapat membantu memantapkan penguasaan Bahasa Inggeris dalam kalangan murid.

Satu lagi usaha yang positif oleh KPM adalah dengan tambahan guru penolong bagi membantu guru bahasa bagi kelas yang bilangan murid melebihi 35 orang di tahap satu dan tahap dua, tambah sumber tersebut.

Dengan adanya guru penolong, bebanan guru Bahasa Inggeris dalam pengendalian kelas akan dikurangkan dan tumpuan pada pengajaran dan pembelajaran akan dapat dipertingkatkan.

Pihak kementerian juga akan menambah baik fungsi dan peranan makmal komputer di sekolah selaras dengan keperluan pengajaran dan pembelajaran bahasa.

KPM juga akan meningkatkan penggunaan perisian, perkakasan komputer dan pengaplikasian ICT dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa.

Di samping itu, KPM dijangka memperkukuhkan perkongsian pintar antara KPM dengan agensi luar, seperti British Council, Suruhanjaya Tinggi Australia dan Malaysia America Culture and Education Exchange (MACEE) untuk meningkatkan pengetahuan dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa Inggeris.

Utusan Malaysia Online: 22 Mac 2010

Ahad, 21 Mac 2010

NUTP puji inisiatif fokus pelajar kurang cemerlang

2010/03/21

KUALA LUMPUR: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) menyambut baik cadangan menyediakan inisiatif khas kepada lulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang kurang cemerlang atau gagal menyambung pelajaran sambil menggesa supaya cadangan itu dilaksanakan segera.

Setiausaha Agungnya, Lok Yim Pheng, berkata pendekatan itu sepatutnya sudah lama dilaksanakan kerana ia mampu membantu meningkatkan kemahiran pelajar sebagai bekalan untuk menghadapi cabaran hidup.

Katanya, aspek kemahiran itu juga sepatutnya ditekankan sejak di zaman persekolahan dan bukannya menunggu sehingga keputusan peperiksaan diumumkan kerana minat ke arah kemahiran boleh dibentuk awal sekali gus membolehkan pelajar membuat pilihan hala tuju mereka. “Kita tak boleh fokus kepada pelajar cemerlang saja sebab ada dua lagi kategori yang perlu dijaga iaitu kumpulan sederhana dan lambat. Mereka juga ada potensi dan kita kena bantu. Bila kerajaan serius nak laksanakan, kami sokong sepenuhnya.

“Perlu ada keseimbangan bagi tiga kumpulan itu kerana masing-masing ada potensi untuk digilap. Bukan semua pelajar cemerlang berjaya dalam hidup dan sebaliknya. Kita tak perlu terlalu ramai pekerja dalam kumpulan pengurusan kerana kita juga perlukan juruteknik, pemandu dan lain-lain,” katanya ketika dihubungi, semalam.

“Ada pelajar sederhana tetapi sangat berjaya dalam hidup bermodalkan kemahiran, contohnya membaikpulih komputer,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Katanya, jika program itu dilaksanakan awal di peringkat sekolah dengan mengasingkan murid berkenaan untuk tempoh tertentu bagi mengikuti kelas kemahiran, sudah tentu tidak mengganggu tumpuan murid lain di kelas yang lebih berminat dalam akademik.
Beliau berkata, kebanyakan pelajar yang bermasalah disiplin di sekolah kurang berminat dalam pembelajaran sebaliknya lebih menggemari bidang kerja tangan atau kemahiran, sekali gus potensi mereka boleh dikenal pasti untuk digilap.

Berita Harian Online: 21 Mac 2010

Sabtu, 20 Mac 2010

Waktu BM, BI mulai 2011 ditambah

20/03/2010 2:36pm

KUALA LUMPUR – Kabinet telah memutuskan supaya masa pembelajaran Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris dipanjangkan mulai sesi persekolahan 2011, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, keputusan itu, yang dibuat pada mesyuarat Kabinet semalam, adalah selaras dengan usaha untuk memartabatkan Bahasa Malaysia dan memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI) di kalangan pelajar sekolah berikutan pemansuhan pengajian dan pembelajaran sains dan matematik dalam Bahasa Inggeris tahun sudah.

Bagaimanapun beliau berkata, masa persekolahan tidak akan dipanjangkan, tetapi akan diolah menjadi lebih kreatif dan menyeronokkan untuk pelajar.

"Kita akan buat pengubahsuaian dari segi kokurikulum selaras dengan perubahan-perubahan tersebut,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) ke-29 di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini hari ini.

Masa pembelajaran untuk Bahasa Malaysia (BM) di sekolah rendah dan menengah kebangsaan bagaimanapun akan kekal pada 240 minit seminggu, tetapi bagi pembelajaran Bahasa Inggeris (BI) akan ditambah kepada 330 minit seminggu daripada 240 minit yang dipraktikkan sekarang.

Di sekolah rendah jenis kebangsaan (Tamil dan Cina), sesi pembelajaran untuk BM akan ditambah dari 270 minit kepada 330 minit seminggu.

Bagi BI, ia akan ditambah menjadi 120 minit seminggu daripada hanya 60 minit. – Bernama

Kosmo Online: 20 Mac 2010

Sisipan pendidikan berguna bagi guru

Oleh Badrul Hizar Ab Jabar
bhizar@bharian.com.my
2010/03/20

Kandungan bantu sedia bahan tambahan

MELAKA: Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) menggalakkan guru di negeri ini menggunakan sisipan akhbar pendidikan terbitan Berita Harian, seperti Didik, Minda, dan Skor sebagai alternatif kepada bahan pengajaran dan pembelajaran (P&P) sedia ada.

Penolong Pengarah Sektor Pengurusan Akademik JPN, Mujamal Baba, berkata penggunaan akhbar sisipan itu amat sesuai kerana ia memudahkan semua pihak mendapat bahan tambahan P&P.

Beliau berkata, sisipan Didik, Skor dan Minda perlu dimanfaatkan sebaiknya kerana ia mampu membantu guru meningkatkan prestasi pelajar masing-masing. “Akhbar sudah ada, pendedahan (Akhbar Dalam Darjah) pun sudah diberikan, gunakanlah peluang dan segala kemudahan yang ada dalam tangan anda untuk memastikan pelajar mendapat keputusan cemerlang.

“Pendedahan diterima guru menerusi program anjuran Berita Harian ini amat bermanfaat termasuk memperkaya teknik pengajaran, sekali gus membantu meningkatkan keberkesanan penyampaian guru.

“Konsep ADD diperkenalkan Berita Harian sejak 1985 juga secara tidak langsung membantu guru menyediakan bahan pengajaran menarik berdasarkan bahan mudah diperoleh, selain mampu merangsang minat pelajar,” katanya ketika merasmikan Bengkel ADD Guru Negeri Melaka 2010 anjuran JPN dan Berita Harian di Dewan Bistari Jabatan Pelajaran Sektor Agama, Bukit Baru dekat sini, semalam.

Bengkel siri kelapan ADD itu disertai 100 guru sekolah menengah seluruh negeri itu bertujuan memberi peluang kepada warga pendidik memahami dan kaedah penggunaan akhbar sisipan Didik, Skor dan Minda.
Hadir sama, Pengarang Kumpulan Berita Harian Sdn Bhd, Datuk Mior Kamarul Shahid, Penolong Pengarang Pendidikan, Mohamad Muda dan Pengurus The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP) merangkap Ketua Biro Berita Harian cawangan Melaka, Amirullah Andi Nur.

Berita Harian Online: 20 Mac 2010

RM100,000 bantu SJKC San Yuk



MUHYIDDIN Yassin menyampaikan replika cek kepada Yau Kok Wan, (tiga dari kanan) Guru Besar SJK (C) San Yuk, Rawang di Majlis Penyampaian Anugerah Kecemerlangan SPM dan Penyampaian Sumbangan Kementerian Pelajaran di Putrajaya, semalam.


PUTRAJAYA 19 Mac - Kerajaan bersetuju menyalurkan bantuan modal khas bernilai RM100,000 bagi membaik pulih Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) San Yuk di Rawang yang terbakar akibat diceroboh sekumpulan penjenayah bulan lalu.

Mengumumkan demikian hari ini, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, peruntukan akan disalurkan seberapa segera.

"Kementerian Pelajaran amat bersimpati dengan nasib yang dialami oleh seluruh warga sekolah khususnya murid-murid," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penyampaian Anugerah Kecemerlangan SPM 2009 di sini.

Bulan lalu, SJKC San Yuk diceroboh oleh sekumpulan enam penjenayah yang bertindak mencederakan dua pengawal keselamatan sekolah dan membakar bilik guru serta kabin mencetak kertas soalan peperiksaan.

Dalam pada itu, Ahli Lembaga Pengarah SJKC San Yuk yang turut hadir, Lee Li Yew berkata, pihaknya berterima kasih kepada Kementerian Pelajaran kerana menyediakan peruntukan untuk sekolah dalam masa yang singkat.

"Kerajaan segera meluluskan permohonan peruntukan RM100,000 untuk membaik pulih sekolah, ia menunjukkan kerajaan prihatin dengan keperluan masyarakat Cina.

"Peruntukan ini akan digunakan segera untuk membaiki kerosakan sekolah," katanya.

Utusan Malaysia Online: 20 Mac 2010

Sedia kaedah terbaik bantu pelajar gagal SPM

PUTRAJAYA 19 Mac – Kementerian Pelajaran dan Kementerian Sumber Manusia akan berbincang untuk menyediakan kaedah terbaik membantu para pelajar yang kurang berjaya dan gagal dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2009.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Kementerian Pelajaran bersama agensi berkaitan akan memikirkan inisiatif untuk membantu mereka menguasai kemahiran sesuai supaya mampu meningkatkan bidang pelajaran dan kerjaya.

Beliau bagaimanapun tidak mengulas lanjut kaedah inisiatif berkenaan.

‘‘Kementerian Pelajaran juga tidak akan meminggirkan sekolah yang peroleh pencapaian yang rendah.

‘‘Kita akan terus berusaha untuk merapatkan jurang pencapaian gred purata sekolah terutamanya antara sekolah luar bandar dan sekolah bandar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Anugerah Kecemerlangan SPM 2009 di Kementerian Pelajaran di sini hari ini.

Ketika mengumumkan analisis keputusan SPM 2009 pada 11 Mac lalu, Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom berkata, seramai 7,987 calon SPM 2009 memperoleh gred cemerlang (A+,A dan/atau A-) bagi semua mata pelajaran yang diduduki.

Bagaimanapun, kata beliau, seramai 364,046 daripada 465,853 calon SPM 2009 yang mendaftar layak mendapat sijil dan daripada jumlah itu, 199,155 calon lulus semua mata pelajaran.

Pada majlis pagi ini, Muhyiddin menyampaikan sijil penghargaan kepada 10 sekolah pencapaian cemerlang SPM 2009, 10 pelajar cemerlang serta empat pelajar istimewa dan dua pelajar sekolah sukan cemerlang.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, pemilihan 10 sekolah cemerlang berkenaan adalah berdasarkan gred purata mata pelajaran yang diambil di sekolah terbabit.

‘‘Pada tahun ini, kementerian telah mengkategorikan sekolah kepada cemerlang, baik, memuaskan dan berpotensi berdasarkan gred purata sekolah masing-masing.

‘‘Tujuannya ialah supaya pengetua tahu kedudukan sekolah dan sentiasa berusaha untuk meningkatkan gred purata sekolah,” katanya.

Beliau turut memuji pencapaian pelajar istimewa yang meskipun kekurangan dari segi fizikal tetapi tetap berusaha gigih untuk mendapatkan keputusan cemerlang.

‘‘Demikian juga dengan pelajar sekolah sukan yang meskipun menghabiskan sebahagian besar masa (dengan bersukan) tetapi masih dapat keputusan terbaik.

‘‘Ini membuktikan penglibatan dalam bidang sukan bukan halangan untuk mencapai kecemerlangan akademik,” kata beliau.

Utusan Malaysia Online: 20 Mac 2010

Jumaat, 19 Mac 2010

Guru berputih mata

Oleh Shanty Nur Shaffizan Shafee
shantynur@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Seorang guru pelatih berputih mata apabila kerugian RM2,000 selepas tertarik dengan tawaran murah komputer riba berjenama di Internet yang dijual pada separuh harga.

Mangsa dikenali sebagai Syikin, 29, berkata dia yang masih menuntut di sebuah institusi perguruan di ibu negara berkata, semuanya bermula apabila dia terdesak ingin memiliki komputer riba bagi memudahkannya menyiapkan tugasan. “Pada awal Mac lalu, saya melayari sebuah laman web yang mengiklankan beberapa barangan untuk dijual dan tertarik dengan komputer riba Sony Vaio berharga RM2,000.


“Saya kemudian menghubungi pemilik komputer itu yang dikenali sebagai Sahizatul dan dia mendakwa komputer itu masih baru dengan nilai pasaran mencecah RM4,000,” katanya.


Menurutnya, pemilik komputer itu turut menawarkan beberapa barangan lain yang akan diberi secara percuma termasuk beg komputer berjenama, tetikus, kad USB dan barangan lain menyebabkan dia bersetuju membelinya.


“Selepas berbincang dengan keluarga, saya menghubunginya dan diarah memasukkan wang ke dalam akaun miliknya sebelum berjanji untuk menghantar komputer berkenaan dalam tempoh sehari.


“Pada mulanya saya enggan bersetuju kerana ingin terus berjumpa dan mengambil barangan itu daripadanya, namun pemilik komputer itu mengelak dan mendakwa berada di luar daerah atas urusan kerja dan meminta saya mempercayainya,” katanya.

Syikin berkata, pemilik komputer terbabit turut memberikan alamat rumah serta nombor kad pengenalan untuk meyakinkannya menyebabkan dia terpedaya dan memasukkan wang ke dalam akaun seperti diarahkan.


“Namun selepas empat hari menunggu, komputer yang dijanjikan tidak juga tiba. Saya cuba menghubunginya, namun talian tidak berjawab serta alamat diberikan juga tidak wujud,” katanya.

myMetro: 19 Mac 2010

Sekolah peka nasib pelajar

ANAK saya patah paha kiri dilanggar penunggang motosikal yang melawan arus pada 2008. Selepas itu beliau pulih dan lulus Sijil Pelajaran Malaysia.

Anak saya meneruskan pelajaran di Tingkatan Enam Sekolah Menengah Sri Pantai Kampung Kerinchi, Kuala Lumpur.

Malangnya anak saya jatuh tangga ketika mahu ke perpustakaan menyebabkan paha kirinya patah semula. Beliau mendapat rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya dan kini boleh ke sekolah semula. Ucapan terima kasih tidak terhingga daripada seorang bapa kepada pengetua, pendidik dan pengurusan sekolah kerana tin-dakan pantas sebagai pendidik yang dedikasi.

Anak saya dipindahkan dari kelas di tingkat tiga ke tingkat bawah dan menyediakan kemudahan tandas duduk untuk orang cacat amat disanjung tinggi.

ISMAIL SALMAN,
Kuala Lumpur

Berita Harian Online: 19 Mac 2010

PKPIM sokong wujud sekolah satu aliran

PERSATUAN Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) merujuk kenyataan Prof Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim, minggu lalu yang menyatakan sistem pendidikan negara perlu disusun semula, termasuk melaksanakan sekolah satu aliran bagi memastikan matlamat gagasan 1Malaysia tercapai kerana sistem pendidikan pelbagai aliran ketika ini tidak membantu rakyat menyelami makna sebenar gagasan itu.

Sudah tiba masanya dasar pengasingan aliran pendidikan diwarisi sejak zaman penjajah dikaji semula memandangkan usaha membentuk kepelbagaian menjadi kesatuan masih gagal dilaksanakan.

PERSATUAN Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) merujuk kenyataan Prof Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim, minggu lalu yang menyatakan sistem pendidikan negara perlu disusun semula, termasuk melaksanakan sekolah satu aliran bagi memastikan matlamat gagasan 1Malaysia tercapai kerana sistem pendidikan pelbagai aliran ketika ini tidak membantu rakyat menyelami makna sebenar gagasan itu.

Sudah tiba masanya dasar pengasingan aliran pendidikan diwarisi sejak zaman penjajah dikaji semula memandangkan usaha membentuk kepelbagaian menjadi kesatuan masih gagal dilaksanakan.

PKPIM menyokong penuh sistem pendidikan satu aliran menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama dan wadah perpaduan yang berkesan di kalangan pelajar. Bagaimanapun PKPIM berpendapat, perlu penyusunan dan penstrukturan semula dasar, unsur dan inti pati sekolah satu aliran bagi memastikan rencah yang dilaksanakan benar-benar mampu membawa agenda perpaduan nasional.

Lantaran itu, PKPIM mencadangkan kerajaan menganjurkan siri perbincangan dan persidangan membabitkan semua pihak bagi membentuk konsep sekolah satu aliran yang jelas dan mampu menjadi cermin kepada ketiga-tiga identiti bangsa dengan menyatupadukan identiti dan kebudayaan rakyat pelbagai kaum.

Dalam pada itu, PKPIM menegaskan semua sekolah dan guru pada seluruh peringkat harus berperanan sebagai ejen membentuk perpaduan pemikiran dan sosial pelajar dengan memberi penekanan terhadap subjek berunsur kenegaraan, warisan dan sejarah kepelbagaian kaum dan seumpama dengannya.

Berdasarkan situasi semasa, penekanan terlalu diberikan kepada subjek yang bersifat teknikal sehingga pelajar kurang didedahkan dengan penghayatan perpaduan dan kenegaraan Malaysia. Lebih malang, subjek bersifat sains kemanusiaan juga hanya diajar sebagai fakta untuk peperiksaan tetapi gagal disusuli dengan penghayatan roh di sebalik makna pendidikan itu.
Contoh, subjek Bahasa Melayu sekadar diajar untuk memenuhi silibus pendidikan tetapi tidak ditekankan peranan dan penghayatannya sebagai bahasa dan alat perpaduan pelbagai kaum. Jika situasi ini berterusan kesepaduan tidak akan tercapai walaupun dasar pendidikan satu aliran dilaksanakan.

Bagi membentuk kesepaduan masyarakat di kalangan pelajar, dasar pendidikan satu aliran berteraskan satu konsep yang jelas adalah medan terbaik harus dilaksanakan kerajaan.

Bagaimanapun, peranan besar sekolah dan guru untuk menyatupadukan pelajar harus digalas sebaik-baiknya memandangkan guru adalah kayu ukur sebenar kejayaan sesuatu dasar pendidikan.

PKPIM juga berpendapat isu perpaduan tidak harus ditekankan dalam ruang lingkup sekolah semata-mata tetapi membabitkan generasi muda dan masyarakat secara menyeluruh melalui penekanan serta penegasan terhadap dasar kebangsaan di institusi pengajian tinggi awam dan swasta.


MUHAMMAD FAISAL ABDUL AZIZ,
Presiden PKPIM

Berita Harian Online: 19 Mac 2010

Khamis, 18 Mac 2010

Awasi anasir jenayah terhadap pelajar

PENGLIBATAN murid sekolah dalam kegiatan salah laku disiplin merupakan perbuatan yang perlu dilihat secara serius oleh semua pihak khususnya pihak pengurusan sekolah.

Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan gejala ini semakin serius melanda golongan pelajar.

Faktor pertama ialah kemerosotan moral dan akhlak yang berleluasa akibat kesan pembangunan negara dan era teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

Faktor kedua, keruntuhan institusi kekeluargaan untuk memainkan peranannya sebagai institusi pembentukan insan yang positif dan produktif.

Faktor ketiga, masalah dan krisis rumah tangga yang dihadapi oleh remaja sekolah. Akhirnya faktor pengaruh negatif rakan sebaya.

Pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang dipertanggungjawabkan untuk mendidik generasi muda membenci jenayah seperti Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) telah mengambil inisiatif dengan menubuhkan Kelab Pencegahan Jenayah sejak tahun 1999 dengan kerjasama Kementerian Pelajaran.

Penubuhan kelab pencegahan jenayah di sekolah merupakan salah satu saluran terbaik mengurangkan masalah salah laku disiplin murid. Penubuhan kelab ini di sekolah-sekolah bukanlah kerana sekolah itu bermasalah tetapi kerana sekolah adalah satu-satunya tempat di mana satu kumpulan murid atau pelajar diletakkan bersama-sama dalam satu persekitaran dan kumpulan besar yang perlu diselia dengan baik oleh para guru.

Mengikut Perangkaan Kementerian Pelajaran Malaysia, setakat ini terdapat 1,972 Kelab Pencegahan Jenayah di sekolah menengah dan 5,074 kelab di sekolah rendah.

Matlamat MCPF ialah membentuk masyarakat remaja agar mempunyai kesedaran yang tinggi terhadap pencegahan jenayah dan agar mereka mempunyai kefahaman mengenai penguatkuasaan undang-undang dalam konteks mewujudkan masyarakat yang harmoni dan aman.

Oleh yang demikian, adalah menjadi harapan kami agar semua pihak sama ada agensi penguatkuasaan undang-undang atau NGO bersama-sama memikul tanggungjawab untuk menangani masalah tersebut demi kebaikan masa depan generasi muda kita.

Saya mengharapkan agar pelajar juga turut memainkan peranan yang berkesan dalam membantu polis menangani masalah ini. Caranya tidak sukar, iaitu dengan tidak terlibat dan tidak melakukan jenayah. Para pelajar bertindak mengawasi anasir-anasir dari luar dan rakan-rakan sekolah yang cuba melakukan perbuatan jenayah, membuli rakan-rakan, penyalahgunaan dadah dan lain-lain salah laku jenayah.

Kekuatan diri boleh dibina menerusi didikan dan penghayatan agama dan moral yang mantap. Ini boleh dilakukan dengan meletakkan pelajaran sebagai keutamaan masa kini. Tanpa pelajaran, pelajar sukar untuk menempuh kejayaan di masa hadapan.

Golongan Pelajar adalah aset yang berharga kepada negara kerana mereka jugalah yang akan menentukan corak kehidupan kepimpinan di masa akan datang. Para pelajar harus sedar di samping belajar dan mencapai kecemerlangan dalam pelajaran, mereka juga perlu bertanggungjawab kepada diri sendiri, ibu bapa, sekolah, masyarakat, negara dan seterusnya kepada harta benda awam.

TAN SRI LEE LAM THYE ialah Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia

Utusan Malaysia Online: 18 Mac 2010

Geran perkapita dinaikkan 100%


Muhyiddin Yassin mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Induk Pembangunan Sukan Sekolah di bangunan Parlimen, Kuala Lumpur, semalam. - utusan/NOORADZRENE. MOHD. NOOR


KUALA LUMPUR 17 Mac - Kementerian Pelajaran hari ini mengumumkan beberapa langkah untuk memperkukuhkan pembangunan sukan di sekolah antaranya menambah sekali ganda geran perkapita pelajar.

Peruntukan sedia ada geran perkapita sukan akan dinaikkan daripada RM2.40 kepada masing-masing RM4 dan RM6 untuk sekolah rendah dan menengah.

Geran padanan bagi setiap sumbangan ibu bapa pelajar juga akan diperkenalkan untuk menambah dana pembangunan sukan sekolah.

Mulai tahun depan juga, separuh daripada 10 peratus markah penglibatan kokurikulum pelajar akan diperuntukkan kepada aktiviti sukan.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, langkah-langkah tersebut diputuskan bertujuan mengembalikan kecemerlangan sukan di sekolah yang kurang mendapat perhatian.

Menurut beliau, dasar terbaru kerajaan 1Murid 1Sukan itu bukan bermatlamat mencari atlet cemerlang semata-mata hingga mengabaikan pencapaian akademik tetapi merupakan langkah serampang dua mata iaitu melahirkan pelajar cemerlang dalam kedua-dua bidang.

"Ia untuk menggalakkan pembangunan sukan di sekolah dan bukan sekadar memberi tumpuan melahirkan atlet cemerlang mewakili negara.

"Tetapi dalam kita majukan sukan sekolah sudah pasti bakat dan potensi pelajar dalam sukan boleh dikenal pasti untuk diketengahkan melalui Majlis Sukan Sekolah-Sekolah, bagaimanapun ia bukan sasaran dan matlamat utama kita," katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Induk Pembangunan Sukan sekolah di bangunan Parlimen hari ini.

Keputusan lain yang diputuskan oleh jawatankuasa itu ialah:

l Kokurikulum sukan sepenuhnya akan bermula pada 2011 dengan beberapa struktur kementerian akan diubah seperti Bahagian Sukan, Seni dan Kurikulum akan dipisahkan menjadi dua entiti berbeza.

l Penambahan tenaga khas iaitu guru pelaksana program pembangunan sukan di sekolah.

l Menyusun semula jadual kurikulum sekolah bagi kesenangan para pelajar dan penjaga.

l Jumlah minimum aktiviti sukan sebanyak 60 minit seminggu untuk sekolah rendah dan 90 minit untuk sekolah menengah, bergantung kepada pihak sekolah.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran memberi jaminan perubahan dan penambahan itu tidak akan menjejaskan waktu pembelajaran kurikulum, sekali gus menghilangkan kebimbangan ibu bapa yang khuatir ia akan menjejaskan kecemerlangan akademik anak-anak mereka.

"Dalam keputusan Sijil Pelajaran Malaysia baru-baru ini sudah terbukti terdapat pelajar yang mampu cemerlang dalam kedua-dua bidang, akademik dan kokurikulum," katanya.

Selain itu, beliau berkata, bermula pada tahun ini segala kemudahan infrastruktur sukan yang daif di sekolah-sekolah akan dipertingkat dan dibaik pulih.

Tambah Muhyiddin, pihaknya juga telah meminta kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan supaya membantu menyediakan kemudahan sukan seperti padang permainan dan dewan kepada sekolah yang memerlukan.

"Kalau boleh kita minta mereka tidak kenakan sebarang bayaran atau hanya kadar rendah bagi membantu meringankan beban pihak sekolah dan pelajar untuk membayarnya," katanya.

Utusan Malaysia Online: 18 Mac 2010

Rabu, 17 Mac 2010

Pendidikan seks: Jawatankuasa dapatkan pandangan

KUALA LUMPUR 17 Mac – Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata hari ini, satu jawatankuasa akan ditubuhkan untuk mendapatkan pandangan pelbagai pihak berhubung polisi pendidikan seks di sekolah di negara ini.

Beliau berkata, jawatankuasa itu perlu dianggotai pakar-pakar dalam bidang pendidikan seks, biologi dan hal-hal yang berkaitan.

"Mungkin kita boleh mengambil sedikit contoh daripada apa yang berlaku di setengah-setengah negara yang sudah memperkenalkan (polisi ini) dan juga pakar yang ada di kementerian,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa induk pembangunan sukan di sekolah di bangunan Parlimen di sini.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, isu pendidikan seks di sekolah telah dibincangkan oleh banyak pihak.

"Cuma kementerian yang belum lagi membuat keputusan kerana kita faham bahawa ia adalah suatu perkara yang agak besar dan dinanti bukan sahaja oleh kementerian tetapi pelajar, ibu bapa dan masyarakat. Oleh itu, ia adalah satu perkara yang perlu kita halusi semasak-masaknya.

“Jadi, saya bercadang untuk menubuh satu jawatankuasa untuk mendapatkan pandangan pelbagai pihak yang setakat ini (hanya menyuarakannya) kepada media sahaja, ada pakar kata bagus, ada yang kata tak bagus, ada yang kata sudah sampai masanya, ada yang bimbang macam mana cara... jadi hal-hal sebegini kita kena ambil kiralah sebelum kita putuskan,” katanya. – Bernama

Utusan Malaysia Online: 17 Mac 2010

Selasa, 16 Mac 2010

Kecewa tak dapat duduki Mtest

SAYA antara ribuan pemohon Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) ambilan Jun 2010 dan mahu menyatakan dukacita terhadap proses pemilihan calon bagi menduduki ujian Mtest yang akan diadakan tidak lama lagi.

Untuk pengetahuan semua, ramai antara kami tidak tersenarai bagi menduduki ujian itu sedangkan syarat yang dikemukakan pada borang permohonan sudah dipenuhi. Apabila dirujuk kepada Kementerian Pendidikan, jawapannya ialah terlalu ramai yang memohon justeru, tapisan terpaksa dibuat. Adakah kementerian sedar bahawa kami membayar RM6 dengan membeli nombor pin hanya untuk menduduki ujian itu serta ujian seterusnya. Sepatutnya pihak kementerian sudah bersedia dengan keadaan ini berdasarkan pengalaman lalu.

Mengapa tidak diletakkan saja syarat ketat supaya hanya yang benar-benar berkelayakan yang memohon jika ingin mengurangkan bilangan permohonan? Mengapa perkara ini tidak berlaku pada sesi pengambilan sebelum ini? Adakah ini caranya kementerian mahu mengaut keuntungan. Kami sedar bajet tahun ini untuk setiap kementerian agak sedikit kurang disebabkan keadaan ekonomi yang tidak mengizinkan tetapi ini bukan caranya. Ramai pemohon sudah memohon untuk kali kedua, ketiga dan ada antaranya untuk kali ketujuh. Untuk kali ini mungkin harapan mereka sedikit menggunung berdasarkan pengalaman menduduki sebelum ini tetapi alangkah sedih apabila semua persediaan telah dibuat, siang malam mengulang kaji soalan dan jawapan malangnya nama tiada dalam senarai panggilan. Betapa kecewa dan remuknya hati mereka hanya Allah yang tahu. Ke mana perginya slogan ‘Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’?

Oleh demikian, saya berharap Kementerian Pengajian Tinggi dapat membuat pertimbangan sewajarnya terhadap masalah ini. Beri mereka ini peluang sekali lagi. Semoga kita mendapat calon yang benar-benar berkelayakan yang dapat menunaikan tanggungjawab mendidik anak bangsa kita dalam mencapai kejayaan dan bukan hanya calon yang terdesak sekadar ingin berkerja dalam sektor kerajaan.

AZIZUDDIN OSMAN,
Kulim, Kedah.


Berita Harian Online: 16 Mac 2010

Isnin, 15 Mac 2010

Kementerian kena ambil tahu kebajikan pendidik luar bandar

Oleh Azeem Daniel

2010/03/15

DUNIA pendidikan memang tidak lepas daripada pelbagai isu sama ada membabitkan guru, pelajar mahupun ibu bapa. Sekarang heboh pula isu guru enggan bertugas di luar bandar hingga memaksa Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, merangkap Menteri Pelajaran mewajibkan mereka bertugas di luar bandar, sekurang-kurang tiga hingga lima tahun.

Penulis seorang guru yang bertugas di pedalaman sudah hampir sepuluh tahun. Bertugas di pedalaman adalah suatu pengalaman yang tidak boleh dibeli di mana-mana. Pengalaman selama tempoh itu mematangkan kerjaya penulis sebagai guru.

Namun yang menjadi isu sekarang ini apabila ada kalangan lepasan maktab enggan bertugas atau dihantar ke luar bandar dan pedalaman khususnya di Sarawak serta Sabah kerana momokan rakan seperjuangan mengatakan kedua-dua negeri itu keadaannya sangat perit. Ada yang mengambil jalan pintas dengan segera mendirikan rumah tangga menjelang akhir semester pengajian di institut perguruan dengan harapan mereka tidak dihantar ke pedalaman.

Ada yang terpaksa memikirkan berpuluh alasan untuk tidak ke sana kerana bimbang tidak mampu hidup di kawasan itu. Saya tidak menyalahkan bakal guru kerana kebimbangan mereka ada asas. Ini kerana bertugas di luar bandar atau pedalaman memerlukan kekuatan mental serta fizikal.

Kita perlu berkorban segala-galanya jika berada di luar bandar. Ketiadaan kemudahan asas adalah satu kenyataan yang perlu ditelan ketika melangkah ke kawasan itu. Hanya berbekalkan generator dan air sungai, guru perlu segera menyesuaikan diri.

Ada sekolah tidak mempunyai kemudahan telefon atau jaringan komunikasi. Penulis sendiri pernah mengalaminya. Hendak menelefon keluarga pun terpaksa menggunakan telefon atur atau terpaksa memanjat apa saja asalkan dapat menghubungi keluarga.
Begitu besar pengorbanan guru di luar bandar. Tambahan pula, ada kawasan tidak mempunyai kemudahan klinik. Kalau demam pun terpaksa menelan ubat yang dibeli di farmasi. Kalau hendak ke klinik akan memakan masa. Kecuali keadaan kesihatan yang serius maka terpaksa juga menggagahkan diri ke bandar untuk mendapatkan rawatan.

Ada kalangan kami yang ke bandar tetapi tidak mempunyai tempat penginapan. Kami terpaksa bermalam di hotel atau rumah tumpangan. Tidak mengira keselamatan diri, guru perempuan yang tidak mempunyai saudara mara di bandar terpaksa tinggal di hotel terutama apabila menghadiri kursus kerana jabatan tidak menyediakan tempat penginapan.

Apatah lagi sekarang ini adalah zaman penjimatan di mana setiap kursus perlu dilakukan di premis pendidikan sendiri. Terpaksalah guru luar bandar mencari alternatif untuk menjimatkan perbelanjaan daripada duduk di hotel beberapa hari.

Apa yang membimbangkan adalah sistem pengangkutan di luar bandar. Terpaksa naik perahu berjam-jam lamanya. Apa yang lebih memeritkan, penulis dan rakan terpaksa memberanikan diri menahan mana-mana kenderaan yang lalu lalang untuk ditumpangi ke bandar.

Begitulah peritnya hidup seorang guru di luar bandar. Namun, kami sangat terharu apabila kerajaan mengumumkan pemberian insentif sebanyak RM500 hingga RM1,500 untuk guru yang berkhidmat di luar bandar.

Akan tetapi, kami berasa dipinggirkan apabila terpaksa berjuang pula untuk mendapatkan insentif itu kerana sekolah kami mudah dihubungi menurut pandangan pegawai yang melakukan pemantauan. Kami sangat kecewa pada masa itu, memandangkan sekolah kami tidak mempunyai bekalan elektrik, perlu menaiki perahu, menggunakan jalan tanah merah malah tiada kemudahan telefon. Paling menambahkan beban, elaun perumahan ditarik balik memandangkan kami tinggal di kuarters sekolah walaupun kuarters itu sangat daif dan usang.

Sudah jatuh, ditimba tangga pula. Biarpun demikian, kami sangat berbesar hati apabila kerajaan memberi elaun balik kampung kepada kami memandangkan harga tambang untuk pulang ke kampung bernilai sebulan gaji.

Cadangan kerajaan mewajibkan guru bertugas di luar bandar bagi tempoh tiga hingga lima tahun adalah cadangan cukup baik. Namun kementerian perlu memastikan guru terbabit dapat berpindah ke negeri asal selepas tamat tempoh berkenaan.

Jangan jadi seperti penulis yang tidak kisah berkhidmat di luar bandar tetapi untuk tempoh selama sepuluh tahun ia memang memeritkan. Sepuluh tahun berkhidmat di sekolah sama begitu menekan. Apabila penulis memohon ke bandar, pelbagai alasan dikemukakan jabatan kepada penulis. Sebab itu, ramai bakal guru yang enggan ke luar bandar kerana bimbang akan terkandas di sana selama berpuluh tahun.

Ada rakan sejawat penulis pernah bertugas di luar bandar selama 15 tahun barulah jabatan buka mata untuk memindahkan mereka. Itupun selepas mereka bertikam lidah dengan pihak berkenaan. Alasan yang selalu diberikan pihak berkenaan adalah tiada kekosongan di tempat yang diminta.

Selepas ini, penulis berharap urusan perpindahan guru diuruskan dengan lebih sistematik pihak terbabit. Sebagai guru, kami tidak kisah berkhidmat di mana-mana saja kerana sudah termaktub dalam ikrar kami sebelum menjadi guru. Akan tetapi, kebajikan kami perlu juga dijaga khususnya guru di luar bandar.

Hasrat kerajaan menambah insentif kepada guru di luar bandar sangat dialu-alukan supaya lebih ramai guru berminat untuk ke sana. Pemberian elaun hidup susah adalah contoh terbaik yang amat menggembirakan kami di luar bandar.

Cadangan penulis supaya setiap sekolah dibekalkan dengan bot laju atau van siap dengan pemandu bagi kemudahan guru berulang-alik ke bandar. Dan diharapkan generator yang ada di sekolah dapat membekalkan bekalan elektrik 24 jam tanpa sebarang masalah. Kadang-kadang ada sekolah yang mempunyai generator tetapi tidak boleh digunakan kerana rosak atau tiada bekalan minyak. Kasihanilah guru di luar bandar.

Penulis ialah guru di pedalaman Sarawak

Berita Harian Online: 15 Mac 2010