Ahad, 31 Oktober 2010

'Warden tekap seterika panas kejutkan pelajar'

Oleh Khairul Anuar Abdul Samad
krull@bharian.com.my
2010/10/31

 MUHAMMAD AL- HAKIM   (kanan) menunjukkan kesan parut pada lengan kiri adiknya, Muhammad Fairuz, yang diseterika oleh warden asrama di sebuah sekolah di Pasir Mas ketika ditemui    di rumah mereka di Kampung Anak Keranji, Pasir Mas, semalam.
MUHAMMAD AL- HAKIM (kanan) menunjukkan kesan parut pada lengan kiri adiknya, Muhammad Fairuz, yang diseterika oleh warden asrama di sebuah sekolah di Pasir Mas ketika ditemui di rumah mereka di Kampung Anak Keranji, Pasir Mas, semalam.
2 beradik, 9 lagi penghuni asrama melecur

PASIR MAS: Dua beradik melecur teruk pada tapak kaki dan lengan kiri akibat ditekap dengan seterika yang didakwa dilakukan seorang warden asrama yang mahu mengejutkan mereka dari tidur, dalam kejadian pada 12 Oktober lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.15 pagi itu, mangsa, Muhammad Al Hakim Mat Nawi, 16, dan adiknya, Muhammad Fairuz, 14, terpaksa diberi rawatan di Hospital Lati, dekat sini, akibat kecederaan yang dialami.
Ibu mangsa, Siti Fatimah Mat Yusof, 52, berkata, kejadian berlaku di asrama kedua-dua anaknya di mana warden terbabit didakwa menekap seterika panas pada tubuh mereka untuk mengejutkan Muhammad Al Hakim dan Muhammad Fairuz dari tidur.

“Saya hanya menyedari kejadian itu pada jam 7 malam hari sama apabila rakan Muhammad Fairuz membawa anak saya pulang ke rumah. Saya terkejut apabila diberitahu tindakan warden terbabit..

“Saya tidak menyangka kedua-dua anak saya cedera akibat melecur. Sebelum Muhammad Fairuz pulang, abangnya, Muhammad Al Hakim pulang lebih awal dan tidak memberitahu saya apa-apa mengenai kejadian itu,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, semalam.

Siti Fatimah berkata, beliau yang terkejut dengan kejadian itu segera membawa kedua-dua anaknya mendapatkan rawatan di Hospital Lati, di sini serta membuat laporan polis di Balai Polis Pasir Mas, keesokan harinya.
“Selain kedua-dua anak saya, sembilan lagi pelajar yang tinggal di asrama terbabit dikatakan turut menerima nasib yang sama. Namun, mereka mengambil sikap berdiam diri mengenai kejadian menimpa mereka,” katanya.

Beliau berkata, anaknya memberitahu, warden terbabit tidak menggunakan kaedah lazim untuk mengejutkan pelajar di asrama terbabit, sebaliknya meng-gunakan caranya tersendiri seperti menekap tubuh pelajar dengan seterika panas.

“Saya juga diberitahu warden terbabit menggunakan peralatan lain untuk mengejutkan pelajar dari tidur seperti penyapu dan air sabun.

“Sebelum ini, saya sudah tahu sikap buruk warden terbabit, namun tiada siapa yang mengambil tindakan terhadapnya. Kali ini, keadaan sudah melampau sehingga menyebabkan pelajar cedera parah,” katanya.

Siti Fatimah berkata, beliau hairan mengapa pengurusan sekolah seolah-olah berdiam dengan perbuatan yang dilakukan warden terbabit.

“Saya pernah berbincang dengan pihak sekolah terbabit, namun diarahkan untuk menarik sebarang laporan yang dibuat. Anak saya tidak mahu bercakap lagi mengenai kejadian itu akibat trauma,” katanya sambil menambah kedua-dua anaknya kini tidak lagi menetap di asrama terbabit.

Berita Harian Online: 31 Oktober 2010

Sabtu, 30 Oktober 2010

Pengetua naik basikal kutip dana di China

Oleh Basir Zahrom
basir@bharian.com.my
2010/10/30
Sekolah perlu RM1.5j bina surau

KUALA LUMPUR: Niat mengumpul dana untuk pembinaan surau baru menguatkan semangat Pengetua Sekolah Menengah (SMK) Segambut Jaya, Muhamad Khailani Abdul Jalil, mengayuh basikal sejauh 190 kilometer (km) dalam Program Kayuhan Sejaya dari Lexiaguo ke Kunming, daerah Yunnan, China, baru-baru ini.

Muhamad Khailani berkata, keadaan berbukit dan cerun tidak menjadi penghalang kerana pemandangan indah kawasan pertanian yang diusahakan secara tradisional itu mampu menghilangkan penat lelah.
Katanya, pemandangan sangat menakjubkan seolah-olah satu panorama lukisan luas terbentang dan program kayuhan amal itu berjaya ditamatkan dalam masa empat hari walaupun melalui cuaca sejuk, hujan serta angin kencang sepanjang perjalanan pada hari ketiga dan keempat.

“Saya memulakan kayuhan setiap pagi di lokasi berbeza menuju ke Kunming.

“Sepanjang perjalanan saya sempat singgah di enam masjid untuk menguatkan semangat, solat serta berehat. Setiap pekan ada restoran makanan Islam,” katanya.

Muhamad Khailani berkata, anggaran kos pembinaan surau itu ialah RM1.5 juta dan setakat ini pihaknya baru menerima RM20,000 dan berharap jumlah itu akan terus bertambah seterusnya pembinaan surau baru akan dapat dijalankan tanpa sebarang masalah kewangan.
Katanya, surau sedia ada hanya mampu menempatkan 500 jemaah dan apabila siap, surau itu boleh digunakan untuk solat Jumaat seperti jaminan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

“Buat masa ini kami menyewa empat bas dari syarikat swasta bagi menghantar 600 pelajar lelaki ke Masjid Manjalara dengan kos RM11,000 sebulan. Setiap bas perlu berulang-alik dua kali untuk tujuan itu.

“Selepas siap pembinaan surau baru ini, banyak kos yang boleh dijimatkan dan usaha saya membuat kayuhan amal ini diharap dapat membantu kutipan dana yang kami perlukan,” katanya.

Berita Harian Online: 30 Oktober 2010

OUM tidak ada kaitan kenaikan pangkat guru

2010/10/30

MERUJUK surat 'Guru DGA29' dari Kuala Lumpur yang disiarkan dalam ruangan ini pada 21 Oktober lalu, pihak Open University Malaysia (OUM) mengucapkan terima kasih atas keprihatinan beliau terhadap kursus pengajian yang ditawarkan oleh OUM.

Untuk makluman, OUM ada menawarkan beberapa kursus pengajian peringkat ijazah khusus untuk guru melalui kerjasama antara OUM dengan Kementerian Pelajaran. Permohonan kemasukan ke kursus pengajian ini dikendalikan oleh Bahagian Pendidikan Guru (BPG), mengikut syarat kemasukan yang ditetapkan.

Secara amnya, OUM menawarkan kursus pengajian kepada sesiapa saja yang memenuhi syarat kelayakan. Bagaimanapun, bagi guru yang masih dalam perkhidmatan, mereka dikehendaki mendapatkan kebenaran daripada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) masing-masing.
Mengenai urusan kenaikan pangkat pula, ia adalah di luar bidang kuasa pihak OUM. Bagaimanapun, guru yang menamatkan pengajian di OUM boleh membuat permohonan kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP).

Diharapkan penjelasan ini dapat memberikan maklumat yang diperlukan oleh Guru DGA29 dalam membuat pertimbangan untuk menyambung pengajian.

Jika Guru DGA29 memerlukan maklumat lanjut, sila berhubung dengan Pendaftar OUM melalui e-mel (kamariah@oum.edu.my). Segala kerjasama dan sokongan yang diberikan amatlah kami hargai dan sanjung tinggi.

DATIN TEH RAQAMAH ABDULLAH,
Pengarah Unit Perhubungan Korporat OUM.


Berita Harian Online: 30 Oktober 2010

Cikgu Ibrahim meninggalkan banyak novel

SEMINGGU yang lalu, saya bermimpi beliau meninggal dunia. Saya amat sedih kerana gugurnya sebutir lagi bintang yang pernah menerangi dunia kesusasteraan Melayu. Saya membacakannya, al-Fatihah.

Ternyata semalam (Jumaat 29 Oktober 2010), beliau yang dimaksudkan iaitu novelis Desa Pingitan, Ibrahim Omar , 74, benar-benar telah pergi buat selama-lamanya kerana sakit tua pada pukul 11.30 pagi di Kampung Mela, Lipis, Pahang.

Beliau dikenali sebagai Cikgu Ibrahim kerana pernah mengajar subjek Bahasa Inggeris, Melayu dan Arab di beberapa buah sekolah di Pahang dan Perak. Pada tahun 1966, Ibrahim pernah menjadi guru besar di Sekolah Arab Al-Ehya Assyarif, Gunung Semanggol, Perak.

Nama Ibrahim juga tidak asing bagi para pelajar pada tahun 1960-an kerana novel Desa Pingitan, karyanya pernah menjadi teks Kesusasteraan Melayu untuk peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia 1966-1968.

Buku biografi Wajah terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) keluaran tahun 1988 merumuskan bahawa novel Desa Pingitan mengemukakan kisah masyarakat Melayu di kampung dan bandar dengan perbezaan hidup serta sikap terhadap pembangunan.

Novel itu terus segar dibaca sehingga kini kerana Ibrahim lebih awal telah menerapkan elemen 1Malaysia di dalam Desa Pingitan.

Beliau meninggalkan banyak buah tangan berupa antologi cerpen dan tidak kurang daripada 50 buah novel termasuk novel Desa Pingitan yang diterjemah ke dalam bahasa Inggeris.

Antara novel popular karya Ibrahim ialah Desa Pingitan (DBP 1964), Embun dan Tanah (Pustaka Melayu Baru 1965), Hilang (Pustaka Nasional Singapura 1966), Hujan Panas (Pustaka Timur Kuala Terengganu 1966), Patah Galah Haluan Perahu (Utusan Melayu (M) Berhad 1973), Tiba Masanya (Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd. (UP&D) 1977).

Ibrahim yang dilahirkan pada 17 Jun 1936 di Kampung Jeram Landak, Mela, Lipis, Pahang pernah belajar di Sekolah Menengah Inggeris Clifford, Kuala Lipis sebelum memilih kerjaya sebagai guru dan penulis kreatif berupa novel dan skrip drama Radio Malaysia sejak awal 1960-an.

Kemuncak kejayaan Ibrahim ialah apabila novel Desa Pingitan yang menyertai peraduan mengarang novel anjuran DBP, Kuala Lumpur tahun 1962 berjaya memenangi tempat kedua kerana tiada pemenang pertama dalam sayembara itu.

Selepas meninggalkan bidang perguruan, Ibrahim pernah menjadi penulis sepenuh masa sebelum menyertai penerbitan Utusan Melayu (M) Berhad sebagai penyunting Utusan Malaysia pada tahun 1975.

Seorang penulis sastera dan wartawan Haris Fadilah Ahmad dari Jerantut, Pahang berkata, kali terakhir Ibrahim menghadiri majlis akademik adalah anjuran Institut Perguruan Tengku Ampuan Afzan Kuala Lipis kira-kira empat bulan lalu.

Bagi yang mengenali Ibrahim, pasti terbayang wataknya sebagai insan merendah diri serta gemar bercakap tentang motivasi, falsafah dan sesekali diselitkan dengan jenaka bermutu.

"Kita jangan tinggalkan bidang kesusasteraan kerana di dalamnya banyak mengajar kita tentang erti kemanusiaan dan saya gembira kerana Kementerian Pelajaran kini memperkasakan semula subjek itu di sekolah,'' kata Ibrahim seakan-akan berwasiat.

Utusan Malaysia Online: 30 Oktober 2010

Sistem X-Class tarik minat murid Orang Asli



SEBAHAGIAN murid SK Asli Bukit Kemandul yang sedang belajar menggunakan sistem X-Class di makmal komputer sekolah itu di Jalan Kebun, Klang.


KLANG 29 Okt. - Usaha memartabatkan bahasa Malaysia dan memperkukuhkan bahasa Inggeris di kalangan murid Orang Asli melalui kaedah pembelajaran secara visual menampakkan hasil yang positif.

Sistem X-Class yang telah dipasang dan digunakan selama hampir enam bulan di Sekolah Kebangsaan (SK) Asli Bukit Kemandol, Jalan Kebun di sini juga ternyata mampu mewujudkan minat di kalangan murid terbabit untuk belajar.

Sistem itu didapati turut mampu membantu mencatatkan jumlah kehadiran ke sekolah yang tinggi di kalangan murid terlibat, selain teruja untuk mempelajari kedua-dua mata pelajaran tersebut.

Sistem itu dipasang dan diselenggara oleh sebuah syarikat pembekal teknologi maklumat, 3F Resources Sdn. Bhd. sejak April lalu.

Guru Besar SK Asli Bukit Kemandol, Azmi Kamal Matlazim berkata, semenjak sistem itu diperkenalkan, murid-murid di sekolah itu mula menampakkan perubahan yang ketara dalam dua mata pelajaran berkenaan.

Katanya, prestasi murid-murid sekolah itu semakin meningkat dan tahap keyakinan pada diri sendiri juga semakin meningkat.

"Saya cukup berterima kasih kepada syarikat 3F Resources dan Galaxy Automation selaku pembekal utama perisian kerana telah memberikan sistem ini secara percuma.

"Saya harap semua murid dapat memanfaatkan sistem ini sebaik-baiknya dan memperoleh keputusan cemerlang dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) nanti," katanya ketika pada majlis penyerahan rasmi sistem tersebut di sini baru-baru ini.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif 3F Resources, Azlizan Mohd. Nayan berkata, sistem X-Class dipasang di makmal komputer sekolah berkenaan bertujuan menyahut seruan Kementerian Pelajaran bagi meningkatkan penguasaan kedua-dua bahasa tersebut.

Ujar beliau, antara kelebihan X-Class ialah efektif dan boleh dijadikan kaedah alternatif kepada kaedah 'chalk and talk' di dalam kelas.

Selain itu, katanya, kelebihan sistem berkenaan juga ialah ia dapat membantu meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris dan bahasa-bahasa lain.

"Hasil daripada percubaan ini, pihak kami mendapati tindak balas yang baik daripada guru, penyelaras program dan murid.

"Murid-murid juga menunjukkan semangat yang tinggi untuk belajar," ujar beliau yang berharap sistem itu akan benar-benar membawa perubahan dari segi pencapaian akademik di sekolah berkenaan.


Utusan Malaysia Online: 30 Oktober 2010

Jumaat, 29 Oktober 2010

Graduan pendidikan resah belum terima berita penempatan mengajar

2010/10/29

TERLEBIH dulu diucapkan tahniah kepada semua graduan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan fakulti pendidikan di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) lain di seluruh negara yang berjaya menamatkan pengajian pada Mei lalu.

Bertambah kegembiraan ini apabila semakan keputusan temu duga jawatan Guru Sandaran Terlatih (GST) baru-baru ini, memberikan jawapan positif. Begitu juga pengumuman Jun lalu, iaitu graduan pendidikan diserapkan ke jawatan tetap tanpa melalui jawatan sandaran.

Namun dalam kegembiraan merasai pakaian konvokesyen menaiki pentas menerima ‘tauliah’ mengajar, ada sesuatu yang tidak dapat meredakan kegusaran fikiran graduan pendidikan, iaitu penempatan di sekolah untuk memulakan tugas dalam bidang pendidikan.
Graduan lepasan Diploma Perguruan Lepasan Ijazah (DPLI) yang mengadakan konvokesyen sama dengan kami sudah pun sebulan berada di sekolah.

Jika sebelum ini penempatan graduan pendidikan pada hujung tahun berakhirnya pengajian, iaitu pada Oktober, namun tahun ini tidak ada ‘ura-ura’ perkara sama akan berlaku.
Kegusaran kami bertambah apabila ada desas-desus mengatakan Kementerian Pelajaran akan menyerap Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) ke jawatan tetap di sekolah melalui prosedur yang akan dibincangkan.

Ia sedikit sebanyak menjejaskan peluang penempatan kami kerana ijazah yang dimiliki hanya melayakkan kami berkhidmat di institusi pendidikan seperti sekolah dan bukan dalam sektor lain.
Justeru, saya berharap agar isu ini mendapat perhatian daripada pihak Kementerian Pelajaran selaku ‘majikan tunggal’ untuk meredakan seterusnya menghilangkan kegusaran ini.

Penat lelah kami belajar dalam jurusan pendidikan selama empat tahun lantaran minat yang tinggi hanya akan terbayar apabila penempatan kami diumumkan secepat mungkin sebagai mana pada tahun lalu.

Bersama-samalah kita meningkatkan profesionalisme keguruan yang menjadi tunjang kepada bidang pendidikan negara.

BAKAL GURU SAINS,
Kota Bharu, Kelantan

Berita Harian Online: 29 Oktober 2010

Syarat baru SBP jejas kemasukan

2010/10/29

PEPERIKSAAN Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) sudah berlalu dan pihak sekolah sudah mengagih-agihkan borang permohonan ke Sekolah Berasrama Penuh (SBP) kepada murid berpotensi mendapat keputusan cemerlang. Anak saya seorang daripada mereka yang termasuk dalam kategori itu.

Namun, apa yang saya musykilkan, anak saya dimaklumkan dia tidak layak untuk memohon ke SBP kerana ibunya bertaraf penduduk tetap. Saya bertanya kepada Guru Penolong Kanan mengenai perkara itu dan dimaklumkan ia adalah arahan Pejabat Pendidikan Daerah.

Untuk makluman, dua anak saya berjaya memasuki SBP sebelum ini. Sebelum mendaftar kedua-duanya, saya ada menghubungi pihak sekolah dan memaklumkan bahawa ibu mereka bertaraf penduduk tetap dan meminta kepastian adakah penerimaan anak saya tidak bertentangan dengan dasar kerajaan dan kementerian berkenaan.
Saya dimaklumkan anak saya layak kerana bapanya adalah seorang warga negara dan jawapan sama saya peroleh ketika mendaftar mereka di SBP.

Sebagai bekas kakitangan dan pendukung dasar kerajaan yang pernah berkhidmat di luar negara, saya akur jika ia adalah dasar Kementerian Pelajaran.

Kini saya tidak tahu apa lagi perangsang yang perlu saya berikan kepada anak yang lain. Selama ini saya memotivasikan mereka agar belajar supaya boleh masuk SBP.

SJN (U) BERSARA, Pahang

Berita Harian Online: 29 Oktober 2010

Khamis, 28 Oktober 2010

Datuk Dr Rosli Dilantik KSU Kementerian Pelajaran

KUALA LUMPUR, 28 Okt (Bernama) -- Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan), Kementerian Pelajaran Datuk Dr Rosli Mohamed dilantik sebagai Ketua Setiausaha kementerian itu berkuat kuasa Jumaat.

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Sidek Hassan dalam satu kenyataan pada Khamis berkata Dr Rosli akan menggantikan Tan Sri Dr Zulkurnain Awang yang dilantik sebagai Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP) mulai tarikh yang sama.

Sidek berkata beliau percaya pengalaman, pengetahuan serta kompetensi yang dimiliki oleh Dr Rosli akan membolehkan beliau mengetuai dan mengemblengkan semua penjawat awam di Kementerian Pelajaran khususnya para pendidik dalam menyediakan keperluan sistem pendidikan yang terbaik serta memenuhi matlamat pendidikan negara.

Dr Rosli, 52 tahun, berkelulusan Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang Pemasaran Strategik dari University of Hull, Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan dari University of Leeds, United Kingdom dan Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Perhutanan dari Universiti Putra Malaysia.

Beliau menyertai Perkhidmatan Awam sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada 3 Januari 1983 dan berpengalaman dalam bidang pengurusan ekonomi dan perancangan pembangunan menerusi karier perkhidmatannya di pelbagai kementerian.

Jawatan pertama yang disandangnya ialah sebagai Penolong Pengarah, Bahagian Perindustrian, Kementerian Perdagangan dan Perindustrian dari 1983 hingga 1988 sebelum menjadi Penolong Setiausaha, Bahagian Perhubungan Antarabangsa dan Logam, Kementerian Perusahaan Utama.

Dari tahun 1991 ke 1992, Dr Rosli menjadi Pegawai Projek Kanan, Institut Tadbiran Awam Negara, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan kemudiannya sebagai Penolong Pengarah, Bahagian Perjawatan juga di JPA dari 1992 ke 1993.

Beliau kemudiannya menjadi Penolong Setiausaha, Bahagian Kemajuan Perindustrian Perhutanan dan Kayu Kayan, Kementerian Perusahaan Utama sehingga 1995.

Dr Rosli juga pernah berkhidmat sebagai Ketua Penolong Pengarah Kanan, Seksyen Tenaga, Unit Perancang Ekonomi (UPE), Jabatan Perdana Menteri dan beberapa bahagian lain di UPE sehingga pertengahan tahun ini.

Pada 24 Mei 2010, beliau dilantik sebagai Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan), Kementerian Pelajaran.

BERNAMA: 28 Oktober 2010

Rabu, 27 Oktober 2010

Hanya murid daftar eKasih dapat bantuan

Oleh Norfatimah Ahmad
tim@bharian.com.my
2010/10/27
Pemilihan KWAPM ikut data pelajar mulai tahun depan

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelajaran memutuskan hanya murid yang berdaftar dengan eKasih akan menerima bantuan Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM), mulai tahun depan.

Keputusan itu dijelaskan dalam laporan maklum balas Perbendaharaan terhadap Laporan Ketua Audit Negara 2009 mengenai penyata kewangan dan aktiviti kementerian, jabatan serta pengurusan syarikat kerajaan 2009.
Berikutan keputusan baru itu, Jawatankuasa Pengurusan Bantuan tidak lagi perlu membuat pemilihan kerana data murid akan diambil daripada eKasih yang dibangunkan Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri.

“Kementerian Pelajaran sudah menghantar surat peringatan kepada semua sekolah mengenainya April lalu, supaya mematuhi syarat berikutan teguran dalam Laporan Ketua Audit Negara,” kata laporan itu.

Semalam, akhbar ini melaporkan pendedahan Audit mengenai penyelewengan dalam pengagihan bantuan KWAPM kepada murid tidak layak.

Mengikut laporan maklum balas itu, daripada lapan sekolah yang dipantau Audit, sebuah sekolah di Dengkil mengambil tindakan menukar guru yang menguruskan bantuan KWAPM ke sekolah lain.
Mengenai sandwich tanpa sardin, tomato, timun dan salad yang disajikan kepada murid melalui Rancangan Makanan Tambahan (RMT), Kementerian Pelajaran menjelaskan Surat Pekeliling Kewangan RMT ke sekolah rendah sudah dikeluarkan Julai lalu menetapkan Jawatankuasa RMT perlu memantau pelaksanaannya.

“Pemantauan setiap hari itu memastikan pelaksanaan RMT mengikut garis panduan dan peraturan ditetapkan,” katanya.

Berkaitan kelewatan agihan peruntukan RMT, kementerian memutuskan peruntukan disalurkan terus ke akaun bank sekolah mulai tahun depan.

Dalam pada itu, berkaitan kes pengurangan kompaun ditawarkan kepada pendatang tanpa izin (PATI) yang ditangkap dalam operasi Jabatan Imigresen dan diluluskan pegawai atasan tanpa melalui Jawatankuasa Rayuan Imigresen, jabatan itu menjelaskan pengurangan kompaun bagi kesalahan yang boleh dikompaun adalah mengikut kuasa Ketua Pengarah Imigresen, jika menerima rayuan pengurangan.

“Pertimbangan keputusan kompaun adalah berasaskan kepada pengurangan kesesakan di penjara, ketiadaan bukti kukuh untuk mendakwa, menjadi PATI bukan atas kehendak sendiri dan menjadi mangsa penipuan,” katanya.

Jabatan Imigresen bagaimanapun mengakui ketiadaan sistem pengurusan fail kes yang lengkap dan teratur menyebabkan fail kes yang selesai diambil tindakan tidak ditemui kerana ia tidak disimpan secara berpusat.

Berita Harian Online: 27 Oktober 2010

Guru j-QAF tak jujur laksana tanggung jawab?

SAYA ingin memberi sedikit pandangan berkaitan program j-QAF tujuan memberi nasihat kepada ustaz dan ustazah program tersebut. Mengikut sejarah penubuhan j-QAF yang telah diumumkan oleh bekas Menteri Pelajaran, Datuk Hishammuddin Tun Hussein, j-QAF bertujuan memastikan semua murid beragama Islam di sekolah rendah seluruh negara wajib belajar Jawi, al-Quran, Bahasa Arab dan Fardu Ain.

Di satu pihak, seluruh umat Islam menyambut baik pengumuman tersebut kerana intipati j-QAF jelas ke arah peningkatan ilmu agama bagi generasi muda. Di satu pihak lagi, iaitu graduan bidang agama terutama lepasan universiti dari Timur Tengah, program j-QAF merupakan rezeki yang datang bergolek kerana beribu-ribu pelajar yang menganggur telah berjaya menjadi guru j-QAF!

Bagi memastikan kejayaan program ini, guru-guru j-QAF diberi tangga gaji istimewa dan layanan istimewa iaitu tidak boleh memegang apa-apa jawatan di sekolah selain mengajar.

Dengan kaedah ini, maka bermulalah satu keadaan di sekolah-sekolah kebangsaan di mana guru-guru j-QAF berkurung di dalam kelompok mereka di dalam dunianya yang tersendiri, langsung tidak berinteraksi dengan guru-guru lain.

Mereka tidak melibatkan diri di dalam sebarang aktiviti yang dianjurkan sekolah atas alasan mereka tidak boleh memegang apa-apa jawatan. Namun atas kepentingan agama, guru-guru lain masih dapat menerimanya.

Untuk memastikan pelajar-pelajar mendapat pendidikan yang berkualiti, ustaz dan ustazah ini dipertanggungjawabkan dengan bilangan pelajar yang kecil. Namun malangnya terdapat sesetengah ustaz dan ustazah berkonspirasi mewujudkan kelas gabung.

Contohnya, di sekolah yang mempunyai tiga orang guru j-QAF, sepatutnya untuk setiap sesi pembelajaran harus ada tiga kelas yang melibatkan tiga kumpulan kecil murid oleh tiga guru j-QAF.

Namun apa yang berlaku di sesetengah sekolah, guru-guru j-QAF telah berkonspirasi dengan menggabungkan tiga kelas menjadi satu kelas pembelajaran yang di kendalikan oleh hanya seorang guru j-QAF sahaja! Hal ini bermakna dua orang guru j-QAF lagi boleh berehat!

Tindakan guru-guru j-QAF ini bolehlah diiktiraf sebagai 'bijak' kerana mengoptimumkan sepenuhnya tenaga dan masa. Namun dari segi kualiti Pengajaran dan Pembelajaran (P&P) yang disampaikan boleh dipertikaikan kerana tujuan kelas j-QAF diadakan dalam bilangan pelajar yang kecil jelas untuk mendapatkan kualiti P&P yang terbaik. Namun tindakan 'bijak' sesetengah guru-guru j-QAF ini hanya akan menggagalkan usaha kerajaan untuk melahirkan generasi muda yang beriman.

Jika inilah sikap guru-guru Melayu yang beragama Islam, lebih-lebih lagi mereka yang bergelar ustaz dan ustazah berkonspirasi mendidik anak bangsa, ia amat dikesali.

Mereka tidak perlu berteriak mengucapkan terima kasih kepada kerajaan kerana prihatin dengan nasib mereka yang suatu ketika dulu hanya mendapat tempat di sekolah-sekolah agama rakyat dengan pendapatan RM400 hingga RM600 sebulan.

Apa yang dituntut oleh ibu bapa ialah dedikasi ustaz dan ustazah dalam mencorakkan pelajar-pelajar Islam menjadi seorang yang beriman agar halal setiap sen gaji yang mereka terima!

SEKADAR NASIHAT

Alor Setar, Kedah

Utusan Malaysia Online: 27 Oktober 2010

Selasa, 26 Oktober 2010

Pengurusan Lemah Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin

KUALA LUMPUR, 26 Okt (Bernama) -- Laporan Ketua Audit Negara 2009 mendapati berlaku kelemahan dalam pengurusan Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM) Kementerian Pelajaran sehingga menyebabkan kelewatan dalam pengagihan bantuan.

Menurut laporan itu, kelemahan lain pula ialah tidak mematuhi beberapa peraturan mengenai pengurusan permohonan dan penyelenggaraan rekod berhubung bayaran juga kurang memuaskan.

Kelemahan-kelemahan itu antaranya berpunca daripada Jawatankuasa Pengurusan Bantuan yang tidak menjalankan fungsinya dengan berkesan, kekurangan Pembantu Tadbir serta latihan secukupnya tidak diberikan kepada pihak yang terlibat dengan pengurusan KWAPM.

Menurut garis panduan KWAPM, wang bantuan perlu diserahkan kepada murid yang layak dalam masa tujuh hari bekerja selepas cek/tunai diterima oleh sekolah, bagaimanapun, semakan audit di 45 buah sekolah di empat buah negeri iaitu Selangor, Kelantan, Pahang dan Sarawak, mendapati sebanyak 29 sekolah telah lewat membuat pembayaran antara 12 hingga 152 hari dari tarikh cek/tunai diterima.

Semakan audit mendapati kelewatan itu antaranya disebabkan oleh kementerian tidak memaklumkan kepada pihak sekolah sebaik sahaja wang telah dikreditkan ke dalam akaun sekolah.

Menurut laporan tersebut, ada juga sekolah yang memberikan bantuan KWAPM kepada murid yang tidak memenuhi kriteria.

"Seramai 12 murid di empat buah sekolah telah diluluskan bantuan walaupun pendapatan yang dicatatkan dalam borang permohonan tidak melayakkan murid tersebut mendapat bantuan," kata laporan itu.

Bagi memastikan kelayakan penerima bantuan tidak dipertikaikan, laporan itu mengsyorkan supaya Jawatankuasa Pengurusan Bantuan memastikan semua borang permohonan diisi dengan lengkap dan disokong dengan dokumen sokongan.

Kementerian juga dicadangkan untuk mengambil tindakan terhadap guru yang mencatatkan maklumat pendapatan dan tanggungan yang tidak benar bagi tujuan melayakkan seseorang murid menerima bantuan.

Laporan itu juga mencadangkan kementerian supaya memaklumkan kepada pihak sekolah sebaik sahaja wang bantuan dikreditkan ke dalam akaun sekolah dengan menggunakan medium elektronik seperti e-mel atau sistem pesanan ringkas.

Selain itu, laporan itu turut mengsyorkan kementerian mewajibkan semua sekolah mengkreditkan wang bantuan terus ke akaun penerima bantuan bagi mengelakkan kes kehilangan dan penyelewengan wang bantuan.

BERNAMA: 26 Oktober 2010

Guru lelaki, wanita diseimbang

Oleh Nasir Abd Wahab, Badrul Hizar Ab Jabar dan Amir Mamat
bhnews@bharian.com.my
2010/10/26

MUHYIDDIN bertemu pelatih guru selepas merasmikan Pusat Serantau Pendidikan Khas (SEAMEO SEN) serta merasmikan tiga blok bangunan tambahan  di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Perempuan Melayu, di Durian Daun, semalam.
MUHYIDDIN bertemu pelatih guru selepas merasmikan Pusat Serantau Pendidikan Khas (SEAMEO SEN) serta merasmikan tiga blok bangunan tambahan di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Perempuan Melayu, di Durian Daun, semalam.
Dasar perkukuh bahasa Inggeris dalam Sains, Matematik mulai tahun depan

MELAKA: Kerajaan akan mengambil langkah sesuai secara berperingkat bagi menambah pengambilan guru lelaki untuk memastikan nisbahnya seimbang sekali gus amanah mendidik anak bangsa tidak terpikul di bahu guru wanita saja.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata nisbah pengambilan guru lelaki dan wanita akan diselaraskan mengikut keperluan selepas mendapati wanita terus mendominasi profesion berkenaan ketika ini.

Katanya, berdasarkan kepada 34,712 pelatih guru yang sedang menuntut di 27 Institut Pendidikan Guru (IPG) seluruh negara, 22,805 membabitkan pelatih wanita berbanding 11, 907 lelaki.

“Kerajaan tidak menafikan peranan kaum Hawa yang lebih ramai memilih bidang keguruan ini, tetapi kami juga memerlukan peranan guru lelaki untuk memantapkan institusi pendidikan negara yang berdepan cabaran besar untuk membentuk modal insan lebih cemerlang pada masa akan datang,” katanya ketika menyampaikan amanat sambil berdialog dengan 2,000 pelatih guru dalam program Titipan Naluri Institut Pendidikan Guru (IPG) Melaka, Johor dan Negeri Sembilan, di IPG Kampus Perempuan Melayu Melaka di sini, semalam.

Sebelum itu, Muhyiddin merasmikan Pusat Serantau Persidangan Menteri-Menteri Pelajaran Asia Tenggara mengenai pendidikan khas (SEAMEO SEN) dan tiga blok bangunan tambahan empat tingkat IPG Kampus Perempuan Melayu berharga RM50 juta bagi menampung keperluan 2,500 pelatih serta menambah kemudahan infrastruktur di IPG yang dulunya dikenali Maktab Perguruan Perempuan Melayu Melaka yang dibuka sejak 1935.

Ketika sesi dialog, Muhyiddin berkata, dasar mengukuhkan bahasa Inggeris dalam pengajaran Matematik dan Sains yang akan dilaksanakan mulai tahun depan tanpa meminggirkan penggunaan Bahasa Melayu dalam subjek berkenaan.
“Kerajaan sebaliknya mahu guru mata pelajaran berkenaan memantapkan penguasaan kedua-dua bahasa itu supaya memudahkan penyampaian ilmu dengan lancar dan berkesan dalam setiap masa sesuai dengan perubahan dasar yang dilakukan kerajaan,” katanya.

Selain itu, Muhyiddin mahu guru membina jaringan, berkongsi model amalan terbaik dan mencetus idea inovatif dengan warga pendidik negara Asia Tenggara selepas Malaysia dipilih sebagai SEAMEO SEN.

Katanya, jalinan kerjasama itu bagi merumus dasar dan strategi yang lebih berkesan untuk mencapai hasrat merapatkan jurang jantina dalam pendidikan dan menyediakan program pendidikan khas yang lebih berkualiti.

Timbalan Perdana Menteri berkata, penubuhan SEAMEO SEN juga selaras dengan komitmen kerajaan meningkatkan kualiti pendidikan khas di Malaysia selain matlamat utama pusat itu untuk memastikan setiap kanak-kanak mendapat akses kepada pendidikan yang berkualiti serta memiliki peluang yang sama menikmati hasil pembangunan sosio-ekonomi.

“Selain daripada itu, penubuhan pusat ini turut menjadi wadah terbaik kepada wakil dari negara anggota SEAMEO berbincang dan merumuskan kaedah paling berkesan untuk menangani jurang pendidikan antara jantina serta mewujudkan program sokongan peralihan bagi kanak-kanak dengan keperluan asas.

“Saya yakin matlamat pendidikan untuk semua akan tercapai sepenuhnya apabila kedua-dua perkara itu dapat ditangani dengan baik, " katanya.

Berita Harian Online: 26 Oktober 2010

Tawaran lantikan guru GSTT terhad

KEMENTERIAN Pelajaran ingin merujuk kepada aduan 'Lulusan UNISEL Kecewa, Kedah', dalam ruangan ini bertarikh 1 Oktober lalu bertajuk 'Graduan UNISEL terkilan gagal mohon guru'.

Dimaklumkan bahawa penawaran pelantikan guru sandaran siswazah terlatih (GSST) buat masa ini terhad kepada graduan keluaran Institut Pendidikan Guru (IPG) dan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) saja.

Pengambilan mereka bagi mengikuti program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan atau Diploma Pendidikan di IPTA dan IPG adalah berdasarkan unjuran keperluan guru ditetapkan kementerian.

UNIT KOMUNIKASI KORPORAT,
Kementerian Pelajaran

Berita Harian Online: 26 Oktober 2010

Berminat jadi guru tetap

2010/10/26

BERIKUTAN minat yang mendalam dan hasrat yang tidak kesampaian untuk bergelar seorang guru, menyebabkan saya memohon jawatan Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT). Alhamdulillah, berkat doa yang tidak putus-putus, akhirnya saya diterima mengajar di salah sebuah sekolah menengah di Hulu Selangor.

Walaupun tidak mendapat jawatan tetap, tugasan rasmi seorang guru saya laksanakan dengan penuh ikhlas dan dedikasi. Saya menyedari, GSTT seperti diibaratkan seperti ‘telur di hujung tanduk’ dengan khidmat kami boleh ditamatkan pada bila-bila masa, seperti tertera di dalam surat lantikan.

Namun, persoalan yang sering bermain di minda, ke manakah arah tuju GSTT seperti kami ini? Saya dan guru GSTT terlalu ingin menjadi guru tetap. Namun rezeki masih belum memihak kepada kami. Diploma Perguruan Lepasan Ijazah (DPLI) dan Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) masih belum menjadi rezeki kami.

Menyakitkan hati apabila mendengar kawan-kawan yang terpilih menjadi guru tetap apabila mereka mengatakan bahawa mereka ‘suka-suka mohon dan dapat’. Alangkah baiknya jika kami yang benar-benar berminat ini di tempat mereka.

Kepada pihak kementerian, kami merayu, tolonglah kami guru GSTT yang benar-benar berminat ini untuk menyertai Kursus Dalam Cuti (KDC) walaupun kami tidak mengajar kelas pendidikan khas ataupun berilah keutamaan kepada kami bagi mengikuti DPLI dan KPLI.

GURU SANDARAN TIDAK TERLATIH,
Hulu Selangor, Selangor

Berita Harian Online: 26 Oktober 2010

Sistem pendidikan kita ketinggalan

Oleh Ruhaiza Rusmin

SOKONGAN...jangan ada pandangan skeptikal atau diskriminasi kepada pelajar, bagi yang lemah, masih ada cara untuk membantu asalkan tahu kaedahnya.
SOKONGAN...jangan ada pandangan skeptikal atau diskriminasi kepada pelajar, bagi yang lemah, masih ada cara untuk membantu asalkan tahu kaedahnya.
TUNJUK KEBOLEHAN...setiap pelajar ada keupayaan tersendiri, justeru kelas mengikut aliran boleh diwujudkan.
TUNJUK KEBOLEHAN...setiap pelajar ada keupayaan tersendiri, justeru kelas mengikut aliran boleh diwujudkan.

AKHIRNYA persoalan sama ada Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dimansuh atau dikekalkan terjawab apabila kerajaan mengumumkan kedua-dua peperiksaan itu menggunakan format baru mulai 2016.

Ia melegakan masyarakat yang mahukan pendekatan baru serta telus dalam menilai prestasi pelajar berbanding sistem akademik dan peperiksaan yang dilihat lebih membebankan.


Bagaimanapun, ada yang tidak setuju dan berpendapat sistem peperiksaan masih relevan selain mempersoalkan persediaan pihak terbabit mencorak pembaharuan pendidikan.


Kini, wujud perbahasan, sama ada format baru itu bakal memberi impak dan mampu melonjakkan prestasi ke tahap membanggakan.

Dekan Fakulti Pendidikan Universiti Malaya (UM), Prof Dr Saedah Siraj, berkata sudah tiba masanya negara melangkah ke era pendidikan baru lebih fleksibel.


Beliau berkata cita rasa dunia kini berubah dan memerlukan suntikan baru dalam proses penyampaian, penerimaan serta pemahaman maklumat supaya masyarakat lebih bersedia berdepan arus permodenan.

"Meskipun pendidikan ditakrif sebagai elemen sejagat, perubahan perlu ada sebagai mengimbangi kehendak global yang pantas berubah dan semakin berteraskan kemajuan serta kepelbagaian.


"Pemansuhan itu mencerminkan keberanian dan anjakan paradigma baru dalam sistem pendidikan negara, jangan jadikannya kontroversi atau disalah anggap kerana ia memang diperlukan, " katanya.


Menurutnya, meskipun negara memiliki sistem pendidikan antara terbaik di dunia, ia dianggap ketinggalan kerana menggunakan kaedah peperiksaan sebagai penilaian tahap kecemerlangan pelajar.


"Semua tahu tahap pencapaian setiap pelajar berbeza, tidak boleh dinilai melalui satu sistem semata-mata, malangnya itulah yang diguna pakai sejak sekian lama.


"Ini menyebabkan pelajar bosan dan tertekan, sekali gus mencetuskan insiden tidak dijangka, misalnya bunuh diri hanya kerana gagal dalam peperiksaan. "Sekolah patut jadi tempat menyeronokkan bukan membosankan.


"Justeru apabila kedua-dua peperiksaan itu dimansuhkan, ia wajar mendapat sokongan kerana membantu meringankan 'penderitaan' pelajar," katanya.


Meskipun format baru masih belum diputuskan, ia bagai menamatkan dilema pelajar, institusi sekolah, ibu bapa dan masyarakat yang mahukan kongkongan peperiksaan ditamatkan.


Cadangan format boleh disarankan ialah menyediakan aliran pengajian bersesuaian di tingkatan satu mengikut kehendak dan kapasiti pencapaian pelajar.


Aliran itu, katanya, boleh dijadikan asas menilai dan mencorakkan pencapaian pelajar dalam tempoh lima tahun hingga tamat pengajian tingkatan lima.


"Pelajar boleh memilih aliran diingini berdasarkan minat, kehendak, cita-cita dan diberi kelonggaran tidak terikat dengan kehendak pencapaian akademik semata-mata.


"Ia umpama saringan penilaian sebelum memasuki pengajian tinggi. Kaedah ini boleh mengelak tekanan belajar, sekali gus memudahkan proses penyampaian ilmu," katanya.


Beliau menegaskan konsep pendidikan bukan hanya terhad kepada akademik dan peperiksaan semata-mata, malah boleh menggunakan pendekatan deria seperti mendengar, melihat dan merasa.


"Ramai beranggapan hanya akademik dan peperiksaan penting menentukan kecemerlangan pelajar manakala proses pembelajaran berlangsung di bilik darjah.


"Anggapan itu perlu diperbetulkan kerana ilmu boleh diperoleh menerusi pelbagai cara, bergantung bagaimana guru mengaplikasi kaedah itu supaya boleh diterima dan difahami pelajar.


"Realitinya kebanyakan pelajar negara ini bersifat pasif dan enggan bertanya, dengan pemansuhan, skop pembelajaran lebih luas, sekali gus menggalakkan pengembangan budaya ilmu dengan kaedah bersesuaian," katanya.


Dr Saedah turut mencadangkan pelajar kurang cemerlang dimasukkan ke kelas pemulihan agar dapat memperbaiki kelemahan.


"Dalam sistem pendidikan, pelajar lemah kurang mampu menguasai 3M (membaca, mengira, menulis). Kelemahan ini boleh diatasi dengan kelas pemulihan.


"Sistem sedia ada kurang mempraktikkan S<>


Sebagai sokongan dan persiapan negara menuju perubahan global, beliau berpendapat sudah tiba masanya kerajaan menubuhkan Pusat Pengembangan Pendidikan Masa Depan yang dapat menyediakan pelbagai hasil kajian.


"Di negara maju, peranan pusat ini diiktiraf membantu pelbagai sektor merangka persediaan masa depan," katanya.

INFO: > UPSR diperkenalkan pada 1988 sebagai ganti kepada peperiksaan Penilaian Darjah Lima yang diperkenalkan sejak 1967 manakala PMR pada 1993 menggantikan Sijil Rendah Pelajaran ( SRP) yang digunakan sejak 1960.

myMetro: 26 Oktober 2010

Pantau pengajaran Bahasa Inggeris

MELAKA 25 Okt. - Kementerian Pelajaran akan mengambil seramai 370 pakar bahasa Inggeris dari luar negara mulai tahun depan untuk memantau pengajaran bahasa itu di sekolah rendah.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pengambilan pakar-pakar tersebut merupakan sebahagian daripada pelaksanaan dasar Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI).

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, pengambilan pakar-pakar itu amat penting memandangkan usaha untuk memperkukuhkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar agak mencabar.

"Kerajaan tidak bimbang untuk memartabatkan Bahasa Melayu memandangkan sebahagian besar guru yang sedang berkhidmat adalah terlatih.

"Apa yang agak mencabar ialah untuk memperkukuhkan bahasa Inggeris walaupun kita mempunyai jumlah bakal guru yang ramai di Institut Pendidikan Guru (IPG) di seluruh negara," katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi dialog program Titipan Naluri bersama guru-guru pelatih dari IPG Melaka, Johor dan Negeri Sembilan di IPG Kampus Perempuan Melayu Melaka di sini hari ini.

Sesi dialog itu diadakan selepas Muhyiddin merasmikan Pusat Serantau Bagi Pendidikan Khas (SEAMEO SEN) dan bangunan tambahan IPG Kampus Perempuan Melayu Melaka bernilai RM50 juta.

MBMMBI diperkenalkan oleh kerajaan bagi menggantikan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang akan dimansuhkan pada 2012.

PPSMI didapati gagal mencapai matlamat penguasaan bahasa Inggeris hingga menjejaskan pencapaian pelajar dari luar bandar dalam kedua-dua subjek tersebut.

Bagi tujuan tersebut kata Muhyiddin, penguasaan bahasa Inggeris kepada kira-kira 34,512 guru pelatih di 27 IPG di seluruh negara akan dipertingkatkan untuk pengajaran bahasa itu.

Beliau berkata, langkah itu penting bagi guru pelatih yang menamatkan pengajian kerana apabila keluar nanti mereka tidak akan menghadapi masalah apabila mengajar.

"Bagi guru-guru yang sedang berkhidmat pula, mereka akan menjalani beberapa kursus khas untuk menguasai bahasa Inggeris.

"Kursus-kursus yang diadakan ini tidak akan menjejaskan pengajaran di sekolah kerana mereka akan mengikutinya sewaktu cuti sekolah," ujarnya.

Dalam perkembangan lain Muhyiddin berkata, Kementerian Pelajaran akan mengambil langkah perlu untuk menyeimbangkan guru lelaki dan wanita.

Menurut beliau, daripada 34,512 guru pelatih di 27 buah IPG di seluruh negara, terdapat 22,805 guru pelatih wanita dan 11,707 guru pelatih lelaki.

"Jumlah ini tidak seimbang dan untuk jangka panjang kita perlu berikan tumpuan supaya guru pelatih lelaki sama jumlahnya dengan guru pelatih wanita," ujarnya.

Beliau menambah, setakat ini terdapat kira-kira 80,000 permohonan untuk menjadi guru dan menunggu untuk sesi kemasukan baru ke IPG di seluruh negara.

Utusan Malaysia Online: 26 Oktober 2010

Guru Sejarah perlu ada inisiatif

SILIBUS atau kurikulum subjek Sejarah yang terlalu membosankan kerana memerlukan pelajar menghafal dan mengingati tarikh-tarikh penting serta peristiwa perlu dipinda bagi menjadikan pengajaran dan pembelajaran (P&P) subjek itu lebih menarik dan menyeronokkan.

Mengalami sendiri pembelajaran subjek itu yang ternyata membosankan ketika di bangku sekolah menengah, penulis terpaksa banyak membuat hafalan terutama bagi mengingati peristiwa dan tarikh-tarikh penting.

Keadaan itu membuatkan pelajar hanya belajar untuk lulus peperiksaan sekali gus apa yang diajar oleh guru 'hilang' begitu sahaja sebaik sahaja melangkah keluar dari alam persekolahan.

Justeru, tajuk-tajuk penting terutama yang berkaitan perjalanan negara menuju era kemerdekaan yang boleh membantu meningkatkan jati diri dan semangat cintakan negara lenyap begitu sahaja.

Mengulas perkara tersebut, guru Sejarah di Sekolah Menengah Kebangsaan Ideal Height, Selayang, Selangor, Muni'izam Bey Mohammad, 34, berkata, untuk menjadikan P&P Sejarah lebih menyeronokkan dan sesuai dengan konsep education is fun sebagaimana yang disaran oleh Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd Puad Zarkashi, setiap guru Sejarah perlu mengambil inisiatif untuk menjadikan kelas Sejarah lebih menyeronokkan.

Beliau yang berpengalaman mengajar Sejarah untuk pelajar tingkatan satu, dua dan tiga sejak empat tahun lalu berkata, pada awal mengajar subjek itu, beliau menggunakan konsep talk & chalk iaitu bercakap mengikut tajuk-tajuk tertentu di dalam kelas dan kemudian menulisnya di papan hitam.

"Saya lihat pelajar cepat bosan dan jika boleh mereka mahu kelas ditamatkan segera. Balik ke rumah, saya memikirkan apakah cara dan konsep yang boleh digunakan untuk menarik minat pelajar.

"Memandangkan saya suka bercerita, maka saya tukar kaedah pengajaran itu kepada konsep bercerita.

"Setiap topik yang saya ajar, saya akan menyampaikannya dalam gaya bercerita. Selepas itu, saya dapati minat pelajar semakin meningkat," katanya yang merupakan graduan lulusan Universiti Sains Malaysia dan Institut Perguruan Sultan Abdul Halim, Sungai Petani, Kedah.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd Puad Zarkashi semalam berkata, kerajaan akan mengambil pendekatan baru untuk menjadikan subjek Sejarah lebih diminati, selain memasukkan aspek kewarganegaraan, patriotisme dan unsur-unsur Perlembagaan di dalamnya.

Sebelum itu, kerajaan mengumumkan subjek Sejarah wajib lulus bagi memperoleh Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mulai 2013, manakala mengambil pendekatan menjadikannya subjek teras di sekolah rendah mulai 2014.

Mengulas lanjut, Muni'izam berkata, pendekatan lawatan ke tempat bersejarah juga merupakan satu idea yang menarik dan sesuai untuk murid sekolah rendah, mahupun pelajar sekolah menengah.

Katanya, lawatan itu akan memberi peluang kepada murid dan pelajar melakukan kerja lapangan.

"Ia bukanlah lawatan biasa. Ia lebih kepada kerja lapangan. Latihan praktikal akan lebih mudah diingati berbanding menyuruh pelajar menghafal dan mengingati peristiwa dan tarikh berkaitan tempat-tempat yang dilawati.

"Mungkin guru boleh 'mengajar' di lokasi yang dilawati untuk tempoh 10 atau 15 minit. Kuiz mengenai tempat-tempat yang dilawati pula boleh diadakan, misalnya di dalam bas dalam perjalanan pulang ke sekolah.

"Sediakan hadiah (kecil pun tak apa, misalnya hamper berisi makanan) kepada pasukan pelajar yang menang kuiz itu. Hamper itu pula boleh dikongsi bersama rakan-rakan lain, sekali gus dapat mengeratkan silaturahim pelajar. Saya lihat cara ini lebih menyeronokkan," ujarnya yang sebelum ini bertugas sebagai guru Sejarah di SMK Padang Tembak, Jalan Semarak, Kuala Lumpur.

Sementara itu, Naib Pengerusi Persatuan Sejarah Malaysia, Datuk Nik Mohamed Nik Mohd Salleh, pula berkata, inisiatif guru Sejarah diperlukan untuk memastikan pendekatan yang diperkenalkan oleh Kementerian Pelajaran dapat menarik minat pelajar terhadap subjek itu.

Menurutnya, pihak kementerian sekadar memperkenalkan pendekatan itu dan langkah menjayakannya terletak di tangan guru.

"Sudah tiba masanya, kaedah P&P bagi subjek Sejarah diubah supaya ia tidak sekadar menekankan tarikh dan peristiwa penting semata-mata," katanya.

Sebaliknya, beliau berkata, aspek kewarganegaraan, patriotisme dan unsur Perlembagaan wajar diberi penekanan agar dapat menyediakan generasi muda yang lebih berwawasan dan cintakan negara.

Yang penting, katanya, guru mesti meminati Sejarah kerana jika tidak minat, bagaimana guru mampu mencipta sesuatu yang baru bagi menjadikan subjek itu sentiasa diminati.

Mengulas ada guru yang terpaksa mengajar subjek Sejarah kerana sekolah menghadapi masalah kekurangan guru subjek itu, Nik Mohamed mengakui ada guru Sejarah yang bukan opsyen subjek itu ditugaskan mengajar subjek tersebut dan mereka mengajar dalam keadaan terpaksa.

"Kalau sudah tak minat tetapi terpaksa juga mengajar, itulah yang menyebabkan pelajar cepat bosan.

"Saya harap, sama ada guru opsyen atau bukan opsyen Sejarah dapat dihantar mengikuti kursus, seminar atau bengkel berkaitan teknik, konsep dan gaya P&P yang mampu menarik minat pelajar," ujarnya.

Beliau yang menyokong pendekatan baru yang diambil oleh kerajaan itu berkata, usaha memperkenalkan Sejarah khususnya perihal era negara sebelum dan selepas merdeka perlu dipupuk kepada murid sekolah rendah dan dikembangkan kepada pelajar sekolah menengah.

"Sudah sekian lama, sistem pendidikan kita tidak mempedulikan subjek Sejarah. Apa yang ditumpukan adalah subjek Sains dan Matematik yang mana ia hanya akan melahirkan golongan profesional yang tidak mempunyai jati diri," ujarnya yang menegaskan masih belum terlambat untuk mendidik generasi muda agar meminati Sejarah.

Utusan Malaysia Online: 26 Oktober 2010

Isnin, 25 Oktober 2010

'Sandwich kosong' untuk pelajar, sardin lesap

Regina Lee
Okt 25, 10
3:12pm

Kanak-kanak sekolah yang dijanjikan roti sandwich sardin tetapi hanya dibekalkan dua keping roti dengan marjerin.

Perkara itu didedahkan dalam laporan Ketua Auditor Negara 2009 yang mendapati Rancangan Makanan Tambahan oleh kerajaan tidak menepati apa yang serpatutnya seperti yang berlaku di SK Jeroco di Lahad Datu.

Selain sardin, sandwich yang dijanjikan itu sepatutnya juga mempunyai timun, tomato dan salad, tetapi kanak-kanak itu cuma dibekalkan dengan marjerin.

Selain SK Jeroco, pembekal makanan di lima sekolah rendah yang lainj sekitar Malaysia juga didapati membekalkan kualiti makanan yang jauh lebih rendah daripada menu yang dicadangkan mengikut Rancangan Makanan Tambahan di sekolah-sekolah.

"Selepas maklum-balas daripada pakar pemakanan daripada jabatan pemakanan, Kementerian Kesihatan, kami dapati makanan daripada menu yang dibekalkan boleh menyebabkan pemakanan yang tak seimbang dan akan membantutkan perkembangan fizikal dan mental kanak-kanak,” petik laporan Ketua Audit Negara itu.

Bernilai lebih rendah

Enam lagi pembekal didapati menyediakan makanan yang langsung berbeza dengan apa yang dicadangkan dalam program itu, lazimnya makanan berkenaan bernilai lebih rendah daripada sepatutnya.

Rancangan Makanan Tambahan diperkenalkan 30 tahun lalu bagi memberi kanak-kanak kurang berkemampuan makanan percuma pada nilai RM1.80 (di Semenajung Malaysia) dan RM2.05 (di Sabah dan Sarawak).

Namun, laporan Ketua Audit Negara mendapati beberapa kontraktor terus menipu dalam pembekalan makanan kanak-kanak.

Antaranya adalah apa yang berlaku di SJK(C) Choong Hua 2 di Bidor, Perak. Pembekal makanan kantin menyediakan bungkusan mee segera kepada kanak-kanak, di mana sepatutnya mereka dibekalkan dengan bihun goreng.

Antara alasan lazim yang dikemukan oleh sekolah dan juga pembekal adalah “kesukaran mendapatkan bahan mentah, khususnya untuk sekolah di kawasan pedalaman.

Laportan Ketua Audit Negara itu juga mendedahkan kualiti makanan yang rendah di beberapa hospital.

"Dalam persampelan, kami dapati Hospital Sultan Ismail Hospital membekalkan makanan yang berkualiti rendah. Ayam gorengnya masih berdarah, manakala Hospital Besar Pulau Pinang pula menyediakan sup sayur yang mempunyai rambut di dalamnya,” petik laporan itu.

malaysiakini: 25 Oktober 2010

Berita baik bagi guru sandaran

MELAKA 24 Okt. - Kementerian Pelajaran merancang menyerap masuk guru sandaran tidak terlatih (GSTT) yang berkhidmat melebihi lima tahun ke dalam program Kursus Dalam Cuti (KDC) sebelum layak memegang jawatan tetap.

Timbalan Menterinya, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, pihaknya sedang mengenal pasti GSTT yang berkhidmat lebih lima tahun daripada keseluruhan 12,000 orang yang mengikuti KDC.

Menurutnya, kementerian tidak mampu menyerap masuk kesemua GSTT mengikuti KDC memandangkan tempat yang disediakan agak terhad.

''Bagi memenuhi permintaan pelbagai pihak untuk mengambil guru sandaran ke jawatan tetap, mungkin kita boleh ambil GSTT yang berkhidmat lebih lima tahun mengikuti KDC sebelum mereka diserap ke jawatan tetap," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas menutup Persidangan Perwakilan Dwi Tahunan Kesatuan Guru-guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB) ke-22 di sini hari ini.

Katanya, kementerian menganggarkan kurang 1,000 GSTT yang sudah berkhidmat lebih lima tahun ketika ini.

''Jumlah mereka amat kecil, tidak sampai beribu orang, hanya mereka ini yang mungkin dipilih mengikuti KDC sebelum boleh diserap ke jawatan tetap," katanya.

Utusan Malaysia Online: 25 Oktober 2010

Pendandan rambut juga 'pandai'

SUDAH sekian lama hati ini terpanggil untuk memberi komen mengenai sistem pendidikan di Malaysia yang saya rasa agak beku. Sebagai seorang guru yang sudah bertugas selama 16 tahun, saya kasihan dengan pelajar-pelajar yang telah dikelaskan sejak dari sekolah rendah lagi. Dalam hubungan ini terima kasih diucapkan kepada kerajaan kerana menghapuskan peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR).

Seperti yang kita sedia maklum, anak-anak kita mempunyai kemahiran mendengar, berfikir dan membuat keputusan yang amat berbeza. Yang pandai tentunya boleh ke hadapan dengan cepat, menerima ilmu dengan lancar bak kata orang 'sedikit diajar banyak yang dapat'.

Tetapi golongan ini adalah minoriti di sekolah-sekolah harian biasa. Selebihnya adalah pelajar yang sederhana dan lemah. Adakah layak pelajar yang dikategorikan lemah ini diasak dengan bebanan sukatan pelajaran yang terlalu tinggi, sedangkan di sekolah rendah lagi mereka gagal kuasai?

Cuba bayangkan pelajar yang sentiasa gagal Matematik sejak di bangku sekolah rendah lagi, diasak bertubi-tubi dengan Matematik yang lebih susah di sekolah menengah. Mengapa kerajaan seperti tidak nampak golongan ini dan sering menumpukan kepada prestasi peperiksaan dan melebihkan merangka pelbagai program untuk mereka yang terlebih pandai sahaja? Mereka yang 'santan kelapa' selalunya bermotivasi dalaman dan sememangnya mempunyai matlamat sendiri kerana mereka pelajar bijak yang tahu berfikir dan merancang masa hadapan.

Tetapi cuba anda semua bayangkan apa akan jadi kepada pelajar lemah yang akal mereka tidak sampai menerima ilmu yang sebegitu tinggi? Sudah tentu mereka akan bermain, buat bising, merayau dan ponteng sekolah. Kenapa mereka dipaksa belajar silibus yang sebegitu tinggi? Tidak adakah sebarang usaha untuk golongan seperti mereka diajar silibus yang bersesuaian dengan pencapaian akal dan bakat yang mereka ada?

Sebagai guru saya sedih apabila pelajar saya berkata, Cikgu, kami dah baca tapi tak dapat-dapat juga. Susah sangat nak masuk otak. Mereka bukan malas tetapi tidak dianugerahkan oleh Allah otak yang baik dan latar belakang keluarga yang mungkin kurang memberi motivasi.

Perlu sangatkah golongan seperti mereka mengambil peperiksaan Sijil Pelajaan Malaysia (SPM) yang silibusnya agak berat dan mencabar? Pada kebiasaannya golongan yang terlalu lemah ini akan gagal dalam semua mata pelajaran. Kesudahannya mereka belajar selama berbelas tahun tetapi tidak mendapat apa-apa, bukan kerana kebodohan mereka tetapi kerana sistem yang dicipta oleh kita yang terlalu mementingkan sijil.

Apalah salahnya jika golongan yang terlalu lemah ini dikecualikan daripada mengambil SPM. Sediakan satu peperiksaan khas dengan silibus yang bersesuaian dengan kemampuan dan kebolehan mereka.

Golongan seperti mereka tidaklah terlalu ramai, mungkin tiga atau empat kelas yang tercorot. Mungkin sahaja kursus kemahiran boleh diadakan di dalam bangunan sekolah sendiri. Selepas habis tingkatan lima sekurang-kurangnya mereka mendapat 'sesuatu' daripada 'tiada apa-apa'. Mungkin sahaja ilmu yang mereka dapati di sekolah menengah boleh dijadikan sebagai punca pendapatan selepas tamat sekolah.

Cukup-cukuplah kita mengkelaskan generasi muda yang berada di bangku sekolah dengan 'si pandai' di kelas sains dan 'si tidak pandai' di kelas sastera. Ingat! Bukan pelajar yang mengkelaskan diri mereka tetapi kita sebagai golongan terpelajar yang berbuat sedemikian sejak berpuluh-puluh tahun lamanya.

Integrasi ilmu sains dan seni perlu dibuat secara menyeluruh. Bukan ahli sains, doktor, arkitek sahaja golongan yang cerdik pandai. Tukang masak, pendandan rambut, juru solek dan pelukis juga golongan cerdik pandai. Mereka mahir di dalam bidang mereka sendiri, punya bakat dan kebolehan tersendiri yang sudah tentunya datang dari Allah. Tidak perlulah kerajaan membuat berpuluh seminar, mengkaji berpuluh teori dan sistem persekolahan negara luar sedangkan jalan penyelesaiannya ada di depan mata.

MASLINA MD NOR

Sekincan, Selangor


Utusan Malaysia Online: 25 Oktober 2010

Teliti dulu subjek Sejarah syarat wajib lulus SPM

Oleh Syed Azwan Syed Ali
syedazwan@bharian.com.my
2010/10/25

NGO mahu kerajaan fokus kaedah pengajaran, pembelajaran

KUALA LUMPUR: Aktivis sosial, ahli akademik dan badan bukan kerajaan (NGO) mahu pengisian subjek Sejarah diteliti terlebih dulu sebelum ia dijadikan subjek wajib lulus dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bermula 2013.

Ini bagi memastikan matlamat pembinaan negara bangsa melalui subjek itu dicapai dan pelajar bukan hanya menghafal tarikh untuk lulus peperiksaan tetapi tidak memahami dan menghayati apa yang mereka pelajari di bilik darjah.

Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hassan, berkata langkah mewajibkan mata pelajaran Sejarah sebagai syarat mendapat SPM akan menjadikan pelajar lebih serius dan mengambil perhatian terhadap subjek itu.

“Saya berharap perancangannya perlu berhati-hati, telus dan berhemah, serta tidak akan undur ke belakang.

“Ia kerana sejarah adalah roh bagi pendidikan warga negara, tanpa mengetahui sejarah maka warga negara itu akan buta sejarah, dan jika buta sejarah takkan tahu asal usul, menyebabkan individu itu tak tentu arah serta kabur masa depan negara,” katanya semalam.

Beliau mengulas pengumuman Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, kelmarin bahawa mata pelajaran itu akan dijadikan subjek wajib lulus dan subjek teras dalam Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR).
Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata ketika ini elemen sejarah diajar dalam subjek Kajian Tempatan di sekolah rendah sebelum diterapkan sebagai subjek teras di bawah KSSR bermula 2014.

Kenyataan Mohamad Ali disokong aktivis sosial, Dr Chandra Muzaffar yang mahu kerajaan memberi fokus kepada kaedah pengajaran dan pembelajaran subjek Sejarah.

“Kaedah pembelajaran dunia bersifat ‘dari atas ke bawah’ kini dikritik dan ia seharusnya bersifat komunikasi dua hala melalui per-bincangan terbuka bilik darjah. Kaedah pembelajaran penting bagi memastikan pelajar memahami serta menerima apa yang diajar.

“Pada hemat saya, pengisian subjek itu perlulah lebih daripada sekadar menghafal tarikh untuk lulus peperiksaan dan lebih penting mereka memahami falsafah di sebalik subjek Sejarah yang bertujuan meningkatkan kefahaman di antara kaum di negara ini,” katanya.

Profesor Sosio-linguistik Bahasa Melayu Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Teo Kok Seong, berkata penekanan dalam subjek Sejarah tepat pada masanya kerana sebilangan generasi muda kini semakin ‘buta sejarah’ dan ini dibuktikan melalui perdebatan beberapa isu seperti kontrak sosial tersirat dalam perlembagaan negara.

“Sebab itu kita nampak kontrak sosial dicabar terutama dalam media baru, nampak sangat mereka jahil mengenai sejarah,” katanya menegaskan sejarah Malaysia bukan bermula dengan kemerdekaan 1957, tetapi dengan Kesultanan Melaka sebelum itu yang gagal difahami, malah diputar-belit segelintir pihak.

Pensyarah Fakulti Pengajian Islam UKM, Prof Zakaria Stapa, berkata penekanan sejarah penting dalam membentuk jati diri rakyat berbilang kaum dengan menghayati latar belakang dan perkembangan Malaysia yang bermula dengan sebuah kesultanan di Nusantara Melayu.

“Sejarah akan merungkaikan kenapa perlembagaan negara digubal begitu, adanya kedudukan istimewa Melayu dan Bumiputera dan pada masa sama hak kaum-kaum lain juga terbela,” katanya.

Berita Harian Online: 25 Oktober 2010

Jam kredit syarat SPM

2010/10/25

KERAJAAN bercadang memansuhkan peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) pada 2016. Saya bersetuju dengan cadangan itu, namun ia mungkin memberi kesan kepada prestasi pelajar kerana tidak ada peperiksaan dan hala tuju.

Saya mencadangkan bermula dari Tingkatan Satu sehingga Lima, pelajar yang tidak menghadiri kelas walaupun satu masa atau satu subjek perlu dicatat mengikut jam ketidakhadiran itu.

Jika jam kredit tidak mencukupi seperti ditetapkan sekolah atau kementerian, pelajar tidak layak menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Harap cadangan saya ini dinilai semua pihak.

IBU PRIHATIN,
Marang, Terengganu


Berita Harian Online: 25 Oktober 2010

Ahad, 24 Oktober 2010

Matapelajaran Sejarah di semua sekolah rendah 2014

24/10/2010 2:26pm

MELAKA 24 Okt. – Matapelajaran sejarah akan mula diperkenalkan di semua sekolah rendah seluruh negara pada tahun 2014.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, beberapa penambahan baru akan dimasukkan pada subjek Kajian Tempatan yang diajar pada murid tahap dua di sekolah rendah ketika ini.

Menurutnya, tambahan yang dibuat pada subjek tersebut termasuk aspek kewarganegaraan, patriotisme dan perlembagaan negara.

''Kita akan laksanakan subjek Sejarah di sekolah rendah dengan konsep seperti ‘education is fun’ dengan pendekatan seperti kuiz, lawatan ke tempat bersejarah dan rombongan ke Parlimen.

''Kita mahu jadikan ia sebagai matapelajaran yang mudah difahami dan dihayati murid sekolah rendah,'' katanya kepada pemberita selepas menutup persidangan perwakilan dwitahunan Kesatuan Guru-guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB) ke-22 di sini hari ini. – Utusan

Utusan Malaysia Online: 24 Oktober 2010

Tambah guru Melayu di SJKC, SJKT

2010/10/24

Wanita mahu perkukuh perpaduan, Pemuda minta peranan komuniti diperluas

KUALA LUMPUR: Wanita UMNO mencadangkan penyertaan warga pendidik di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) dibuka lebih luas kepada guru pelbagai kaum demi mengukuhkan perpaduan bangsa dan mewujudkan daya saing sihat dalam kalangan guru.

Wakilnya, Datuk Norhayati Omar yang juga Ketua Wanita UMNO Bahagian Kuala Pilah, berkata jumlah guru bukan Cina di SJKC dan guru bukan India di SJKT sangat kecil sedangkan ada 1,291 SJKC dan 523 SJKT daripada keseluruhan 7,695 sekolah rendah di seluruh negara setakat Jun lalu.

“Bagaimanapun hanya 2,945 guru Melayu ditempatkan di SJKC dan SJKT di seluruh negara atau purata tidak sampai dua guru Melayu bagi setiap sekolah itu sedangkan bagi sekolah kebangsaan ada 33,707 guru bukan Melayu atau nisbahnya hampir enam orang bagi setiap sekolah,” katanya.

Sementara itu, wakil Pemuda, Mohd Gasing Saling, meminta Kementerian Pelajaran diminta memperluaskan peranan komuniti setempat, termasuk Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dalam transformasi pendidikan negara yang akan dilaksanakan mulai 2016, termasuk membenarkan mereka membuat tinjauan proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah.

“Pemuda UMNO mencadangkan peranan komuniti, terutama PIBG dapat diperluas dengan diberi ruang meninjau proses pembelajaran anak di sekolah. Rasionalnya kita mahu anak maju dalam pencapaian dan diberi kaedah pembelajaran terbaik,” katanya membahaskan usul pendidikan dan agama.

Beliau yang juga Ketua Pemuda UMNO Kalabakan berkata, pemimpin PIBG terdiri daripada kalangan profesional dan berpengetahuan, sekali gus perlu diberi ruang untuk sama-sama memberi pandangan dan idea dalam memastikan pelajar mendapat pendidikan sempurna.
“Mereka secara tidak langsung boleh menyumbang idea dan menghantar laporan sama ada dalam mesyuarat PIBG atau kepada pejabat pelajaran daerah dan negeri. Langkah ini sudah dilaksanakan di negara maju seperti United Kingdom dan New Zealand,” katanya.

Mohd Gasing juga meminta kerajaan memikirkan kaedah bersesuaian bagi memastikan lepasan kolej kemahiran mendapat gaji lebih setimpal berbanding masa ini, selain mengambil usaha memastikan golongan muda dapat menguasai lebih dua bahasa, termasuk bahasa Cina dan Tamil supaya lebih bernilai di pasaran kerja.

Berita Harian Online: 24 Oktober 2010

Sabtu, 23 Oktober 2010

TPM umum RM200 juta untuk kebajikan guru

Salhan K Ahmad
Okt 23, 10
5:48pm

Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengumumkan peruntukan sebanyak RM200 juta untuk digunakan sebagai satu tabung untuk kebajikan guru-guru melalui penubuhan Yayasan Guru Tun Hussein Onn.

Langkah itu akan dijalankan melalui pengambilalihan Kumpulan Wang Simpanan Guru sedia ada, katanya.

Tambahnya, satu rang undang-undang akan dibawa "seberapa segera" ke Parlimen untuk membolehkan usaha itu dijalankan.

Katanya perdana menteri Datuk Seri Najib Razak telah bersetuju untuk menambahkan dana sebanyak RM10 juta untuk membiayai aktiviti yayasan berkenaan.

Muhyiddin (kanan) yang juga timbalan presiden Umno mengumumkan demikian dalam ucapan penggulungannya di perhimpunan agung parti itu hari ini.

Dalam ucapannya itu, beliau turut mengumumkan supaya matapelajaran Sejarah dijadikan subjek wajib lulus di peringkat SPM mulai 2013.

Katanya, tempoh itu diberikan untuk memberi ruang bagi menyediakan pelajar dan guru-guru bagi menghadapi keadaan baru itu.

Tambahnya, mata pelajaran itu sebelum ini hanya diwajibkan untuk diambil tetapi tidak diwajibkan untuk lulus.

"Kena bagi masa sedikit kalau tidak terkejut," kata Muhyiddin lagi dalam ucapannya di PWTC hari ini.

malaysiakini: 23 Oktober 2010

Wajib Lulus Sejarah Di Peringkat SPM Mulai 2013 - Muhyiddin

KUALA LUMPUR, 23 Okt (Bernama) -- Kementerian Pelajaran memutuskan untuk menjadikan mata pelajaran Sejarah sebagai mata pelajaran wajib lulus di peringkat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mulai tahun 2013.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata syarat wajib lulus itu sama seperti mata pelajaran Bahasa Malaysia sebagai syarat untuk mendapat SPM.

"Kita kena bagi masa sedikit kalau tidak dia (pelajar) terkejut... jadi ini memerlukan tempoh masa untuk kita melatih guru dan juga menyediakan pelajar-pelajar kita untuk menghadapi sistem baru ini," katanya yang juga Menteri Pelajaran ketika menggulung perbahasan di Perhimpunan Agung Umno 2010 di sini Sabtu.

Beliau berkata bermula tahun 2014, di bawah Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR), mata pelajaran Sejarah akan dijadikan sebagai mata pelajaran teras di peringkat sekolah rendah.

"Seperti yang dibangkitkan oleh wakil Perak dan Kedah, di peringkat sekolah rendah, pada masa ini, elemen Sejarah diajar melalui mata pelajaran Kajian Tempatan."

Dalam hal ini, kementerian akan membuat penambahbaikan kandungan mata pelajaran Sejarah dengan memberi penekanan terhadap aspek-aspek berkaitan perlembagaan negara, dengan tujuan untuk membentuk kefahaman yang mendalam terhadap pembentukan negara bangsa yang kita cintai ini," katanya.

Beliau berkata pentaksiran berasaskan sekolah bagi Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang sebelum ini diumumkan mulai 2016, akan dipercepatkan ke tahun 2014.

"PMR tidak akan kita teruskan lagi tapi digantikan dengan sistem yang berasaskan sekolah dan ianya akan kita mulakan pada tahun 2014 iaitu dua tahun lebih awal daripada asalnya kerana ada tuntutan daripada tuan-tuan supaya disegerakan.

"UPSR (Ujian Pencapaian Sekolah Rendah) pula akan dikekalkan tapi ditambah baikkan dengan cara-cara lebih sesuai mengikut perkembangan masa dan kehendak perkembangan ekonomi kita. Tetapi kita masih perlu ada tempoh masa untuk menyiapkan usaha-usaha untuk melatih semula guru-guru dan sebagainya," katanya.

Muhyiddin berkata kementerian itu juga akan menyalurkan peruntukan sebanyak RM10 juta bagi membiayai aktiviti-aktiviti Yayasan Guru Malaysia Berhad, yang ditubuhkan untuk kebajikan guru-guru.

"Tadi ada wakil daripada Sabah yang telah membangkitkan yayasan ini yang dikatakan tidak memberikan apa-apa insentif ataupun dividen (kepada kaum guru), saya telahpun mengemukakan perkara ini kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) sebentar tadi supaya satu suntikan dana dapat diberikan dan saya nak ucapkan terima kasih kepada beliau yang setuju supaya peruntukan sebanyak RM10 juta diberikan kepada yayasan ini," katanya.

Selain itu, beliau berkata Yayasan Guru Tun Hussein Onn, satu lagi yayasan yang ditubuhkan untuk menjaga kebajikan guru telah diluluskan oleh Kabinet.

Rang undang-undang mengenainya akan kita bawa seberapa segera ke Parlimen supaya yayasan ini dapat mula beroperasi pada awal tahun depan. Sejumlah wang RM200 juta juga akan digunakan sebagai tabung atau dana untuk yayasan ini," katanya.

Muhyiddin berkata kementerian itu juga akan melaksanakan KSSR yang memberi penekanan kepada pendekatan pembelajaran amali, keupayaan berbahasa, pembelajaran berasaskan projek dan pelbagai lagi jenis pembelajaran yang menyeronokkan mulai 2011.

"KSSR dari Tahun Satu adalah penambahbaikan Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) dan ini akan diikuti dengan Tahun Dua dan seterusnya sehingga lengkap satu pusingan pada tahun 2016," katanya.

Beliau berkata kementerian berhasrat untuk meningkatkan peratusan pelajar yang mengambil pendidikan teknik dan vokasional kepada 20 peratus (81,000 murid) menjelang 2015 berbanding 10 peratus (40,706 murid) pada masa ini.

"Peruntukan pembangunan (dalam bidang ini) dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) ialah sebanyak RM340 juta, ini pastinya tidak mencukupi, pastinya kita harap dalam tempoh pusingan belanjawan yang akan dibentangkan nanti di dalam Parlimen jumlah peruntukan ini akan ditambah lagi pada masa akan datang.

"Ada empat sekolah vokasional baru yang akan kita bangunkan dalam RMK-10 dan dua lagi sekolah menengah vokasional untuk golongan murid kurang upaya pendengaran, penglihatan dan masalah pembelajaran akan dibina.

"Selain itu, kita akan meningkatkan kompetensi guru vokasional dan kemahiran sedia ada secara berterusan, seramai 4,764 guru akan dilatih dan ditauliahkan kemahiran sekurang-kurangnya mencapai minimum kemahiran Tahap 3 Sijil Kemahiran Malaysia mulai tahun 2011," katanya.

-- BERNAMA: 23 Oktober 2010

KPKK Mohon Kementerian Teliti Isu Guru Bekerja Pada Hari Sabtu

KANGAR, 23 Okt (Bernama) -- Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (KPKK) pada Sabtu meminta Kementerian Pelajaran agar meneliti isu guru yang terpaksa bekerja pada hari Sabtu dengan menghadiri pelbagai kegiatan termasuk kelas tambahan.

Presidennya Hashim Adnan berkata buat masa ini semakin ramai guru terpaksa mengorbankan hari rehat tersebut yang sepatutnya dihabiskan bersama keluarga kerana tugas-tugas berkenaan.

"Sewajarnya perkara ini diteliti kerana ia juga menjadikan beban tugas guru semakin bertambah," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco KPKK di sini.

Selain itu, Hashim berkata KPKK juga meminta kementerian agar memberi pendedahan secukupnya mengenai Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) kepada kira-kira 10,000 guru sekolah rendah di negara ini sebelum dilaksanakan tahun depan.

Beliau berkata perkara itu perlu memandangkan rata-rata guru belum memahami KSSR yang akan menggantikan Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR) tersebut.

"Bagi memastikan pelaksanaan KSSR berkesan, para guru harus diberi pendedahan yang secukupnya kerana kurikulum tersebut menekankan kreativiti, inovasi dan keusahawanan merentasi semua mata pelajaran," kata beliau.

Mengulas isu berkaitan, Hashim berkata KPKK juga akan menghantar permohonan kepada Kementerian Pelajaran agar meneliti pengurusan kewangan Persatuan Sukan dan Kebudayaan Perkhidmatan Perguruan (PSKPP).

Beliau berkata ini kerana sehingga kini tidak ada satu laporan yang jelas mengenai pengurusan kewangan persatuan tersebut yang diletakkan di bawah Jabatan Pelajaran negeri.

Katanya KPKK juga menerima aduan daripada para guru yang dipaksa membayar yuran antara RM3 dan RM5 setahun oleh persatuan tersebut walaupun ia sebenarnya tidak wajib.

"Guru tak boleh dipaksa bayaran yuran.

Jabatan Pelajaran tak ada hak (memaksa guru). Ini sukarela," katanya.

Hashim turut menegur tindakan Jabatan Pelajaran daerah di sebuah negeri yang bertindak di luar batas profesional apabila mengedarkan senarai nama guru dan butiran peribadi mereka termasuk gaji, kepada sekolah tempat guru terbabit mengajar untuk menuntut tunggakan yuran PSKPP.

BERNAMA: 23 Oktober 2010

Warden kecewa elaun dipotong

2010/10/23
SAYA mengajar dan bertugas sebagai warden di sekolah berasrama di Perak. Saya bertugas sebagai warden asrama sejak 2004 dengan elaun RM240.
Seperti warden lain saya terpaksa menerima hakikat elaun rumah dan Cola dipotong.

Pada gred DG41, RM175 elaun dipotong bagi warden yang duduk dalam kawasan asrama. Bagi yang duduk di luar, elaun rumah RM250 serta Cola RM50 dipotong. Bayangkan dengan beban tugas yang mencabar sehingga tengah malam, warden pada dasarnya hanya dibayar RM65.

Apa yang lebih mendukacitakan, pada awal tahun ini saya dinaikkan ke gred DG44 dengan kenaikan elaun RM400, saya kehilangan RM250.

Berdasarkan pengiraan ini, warden kerugian RM10. Ini menunjukkan penat lelah kami tidak dihargai.

WARDEN KECEWA,
Ipoh, Perak.

Berita harian Online: 23 Oktober 2010

Tak layak jadi guru cemerlang

2010/10/23
SEJAK dua minggu lalu, kebanyakan Guru Cemerlang DG 54 dinilai pegawai Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti untuk dinaikkan pangkat menjadi Guru Cemerlang Gred Khas C, jawatan yang sama taraf dengan profesor di universiti.

Sekat ini, 23 Guru Cemerlang menikmati kenaikan pangkat itu. Namun pada pemerhatian saya, hanya sebilangan kecil benar-benar layak menyandangnya.

Mereka berupaya mengajar dengan berkesan, menulis buku dan rencana ilmiah, melahirkan inovasi untuk subjek diajar, menyampaikan ceramah kepada guru dan pelajar pada peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa selain berupaya melahirkan idea terkehadapan.

Saya mencadangkan Kementerian Pelajaran tidak tergesa-gesa memenuhkan kuota Guru Cemerlang Gred Khas C ini dengan mengorbankan kualiti sebenar guru. Lantik Guru Cemerlang yang benar-benar berwibawa supaya tidak dipertikaikan sesiapa.

PEGAWAI E12,
Putrajaya.

Berita Harian Online: 23 Oktober 2010

Kementerian perlu pastikan kantin sekolah jual makanan berkhasiat

2010/10/23

KANAK-kanak menghabiskan masa sekurang-kurangnya satu pertiga sehari di sekolah dan makan sekurang-kurangnya satu hidangan di kantin.

Keadaan itu berlaku terutama di kebanyakan kawasan bandar kerana ibu bapa bekerja dan tiada masa bekalan anak.

Makanan adalah faktor penting untuk perkembangan dan kesihatan manusia terutama kanak-kanak yang sedang membesar. Ia bukan hanya berkhasiat tetapi juga menyihatkan. Kita mesti memastikan hidangan disediakan di sekolah berkhasiat dan menyihatkan.

Tabiat makan pelajar sebahagian besarnya dipengaruhi makanan yang didapati di persekitaran sekolah. Makanan itu menyumbang sebahagian besar kepada pengambilan pemakanan dan akan mempengaruhi perkembangan tabiat makan mereka, corak pertumbuhan dan paras tenaga.

Mengambil makanan berkhasiat dan menerapkan gaya hidup sihat membolehkan murid membesar dan mengembangkan potensi optimum mereka, membawa kepada prestasi pendidikan lebih baik.

Diet sihat juga memainkan peranan penting berkaitan pemakanan dan penyakit seperti berat berlebihan, obesiti dan penyakit gigi dan osteoporosis, penyakit kardiovaskular, diabetes mellitus dan pelbagai barah.

Jadi apakah yang didedahkan kepada anak kita di kantin? Kebanyakan kantin masih menjual makanan dan snek tidak sihat.
Panduan Pengurusan Kantin Sekolah dengan jelas menyatakan gula-gula, jeruk dan snek mengandungi pewarna dan perisa tiruan tidak dibenarkan.

Kami menggesa Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pelajaran menguatkuasakan garis panduan itu dengan memastikan kantin sekolah menyediakan hidangan sihat dan berkhasiat untuk kanak-kanak dan mengenakan hukuman yang tegas ke atas pengendali kantin yang enggan bekerjasama.

Penting juga bagi ibu bapa, guru dan murid bekerjasama menyokong pendekatan menyeluruh untuk menerapkan budaya dengan pelajar sekolah rendah dan menengah secara aktif memilih makanan berkhasiat dan gaya hidup lebih sihat.

SM MOHAMED IDRIS,
Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang.

Berita Harian Online: 23 Oktober 2010

Jumaat, 22 Oktober 2010

Alimuddin bangga jadi pendidik

KANGAR 21 Okt. - Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom yang akan bersara bulan depan berkata beliau bersyukur dan bangga menjadi seorang pendidik selama 34 tahun.

"Saya tidak pernah bermimpi untuk menjadi Ketua Pengarah Pelajaran apabila menjadi guru mulai 1976 tetapi guru adalah kerjaya pilihan saya," katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Jabatan Pendidikan Perlis di sini hari ini.

Alimuddin yang menjadi Ketua Pengarah Pelajaran sejak Ogos 2007 berkata, apa yang penting bagi setiap guru ialah melaksanakan tugas yang diamanahkan dan tidak merungut dengan beban tugas yang menjadi sebahagian daripada tanggugnjawab mereka.

Katanya terdapat guru yang mengadu kepada akhbar bahawa mereka telah dibebani dengan tugas dan beliau hairan kerana wujudnya sikap seperti itu.

Beliau berkata, sepatutnya mereka tidak merungut umpamanya dalam hal-hal berkaitan dengan pertukaran.

"Saya dan 15 kali bertukar sekolah dan lima kali bertukar tempat bertugas semasa berada di jabatan dan kementerian," kata Alimuddin yang berasal dari Ayer Tawar, Perak.

Beliau berharap walaupun terdapat rungutan mengenai bebanan tugas, para guru perlu melaksanakan tanggungjawab mereka untuk menjadikan bidang pendidikan negara ini bertaraf lima bintang.

"Profesion guru begitu mulia dengan tanggungjawab besar mereka mendidik pelajar menjadi generasi berkualiti kepada negara," katanya.

Alimuddin berkata, sepanjang perkhidmatannya beliau juga pernah menjadi jurulatih bola sepak semasa mula mengajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Menteri, Changkat Jering, Perak pada 1976 selain menjadi guru pengakap.

"Saya lakukan banyak tugas dan saya pernah bertemu pengetua untuk menawarkan diri melaksanakan tugas tertentu," katanya yang akan genap berusia 58 tahun pada 7 Nov ini.

Sementara itu, di Pulau Pinang, Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Noor Rezan Bapoo Hashim berkata, para guru perlu berusaha memperbaiki dan meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran selaras dengan Pelan Transformasi Kerajaan (GTP) di sekolah atau institusi pendidikan masing-masing.

Beliau berkata, penglibatan guru sebagai penggerak transformasi adalah penting kerana Kementerian Pelajaran kini memberikan tumpuan ke arah melahirkan insan yang unggul dan cemerlang kepada negara.

"Golongan pendidik perlu berusaha merapatkan jurang pencapaian pelajar serta bertindak ke arah membantu meningkatkan prestasi sekolah dalam semua bidang bagi memastikan matlamat itu dapat dicapai," katanya dalam ucapan pada hari ucapan dan penyampaian hadiah Sekolah Penang Free. Teks ucapan beliau dibaca oleh Pengarah Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh dan Sekolah Kecemerlangan, Aishah Samah.

Noor Rezan berkata, kementerian juga mengambil langkah memperluaskan dan memantapkan pendidikan prasekolah, meningkatkan kadar literasi dan numerasi, mewujudkan sekolah berprestasi tinggi serta memberi pengiktirafan kepada pengetua dan guru besar yang menunjukkan prestasi cemerlang.

Katanya, selain itu kementerian pelajaran juga bertanggungjawab untuk memupuk perpaduan melalui proses pendidikan kepada generasi muda dan melibatkan pelajar dari pelbagai kaum dalam aktiviti kokurikulum. - BERNAMA


Utusan Malaysia Online: 22 Oktober 2010

Guru jangan merungut


Alimuddin Mohd. Dom menyampaikan sijil penghargaan kepada seorang guru sambil disaksikan Mansor Lat (tengah) pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Jabatan Pelajaran Perlis di Kangar, semalam.


KANGAR 21 Okt. - Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom menyifatkan tindakan guru merungut mengenai beban tugas yang banyak sebagai sesuatu 'tidak menyeronokkan'.

Beliau berkata, guru berkenaan tidak sewajarnya merungut setelah mereka memilih profesion itu sebagai kerjaya hidup mereka.

"Apabila guru rungut banyak beban tugas, hati saya jadi tidak seronok dan tertanya-tanya kenapa mereka jadi guru seolah-olah ia menjadi masalah besar kepada mereka," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2009 Jabatan Pelajaran Perlis di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putra, di sini hari ini.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri, Mansor Lat.

Alimuddin berkata, seorang guru perlu menjadi pendidik yang sebenar-benarnya memberi banyak sumbangan kepada pelajar.

Menurutnya, guru seharusnya rela untuk memikul sebarang tugas di sekolah termasuk mengendalikan masalah dihadapi pelajarnya.

"Sepatutnya guru mencari apa masalah dihadapi pelajar, bukan setakat berjumpa di sekolah tetapi pergi ke rumah mereka," katanya.

Beliau menyifatkan guru yang tidak mahu menyelesaikan masalah dihadapi pelajar, dianggap gagal mencapai kepuasan dalam kerjaya mereka.

Alimuddin yang akan tamat tempoh perkhidmatannya pada bulan depan turut mempertikaikan sikap guru yang tidak berpuas hati apabila ditukarkan ke sekolah lain.

"Selama 34 tahun berkhidmat sebagai pendidik, saya ditukar sebanyak 15 kali. Saya anggap pertukaran ini sebagai sesuatu positif malah memberi banyak pengalaman baru kepada saya," katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta semua warga pendidik agar ikhlas dalam melaksanakan tugas dan sentiasa memberi motivasi kepada pelajar sehingga mereka berjaya.

Sementara itu, pada majlis tersebut, seramai 434 warga pendidikan Jabatan Pelajaran negeri iaitu 263 wanita dan 171 lelaki menerima anugerah berkenaan.

Utusan Malaysia Online: 22 Oktober 2010

Khamis, 21 Oktober 2010

Kelas murid istimewa Kubang Kerian 1 terlalu usang, kerap dinaiki air

2010/10/21

SAYA adalah bapa kepada seorang murid Sekolah Kebangsaan (SK) Kubang Kerian 1, Kota Bharu, Kelantan yang belajar di kelas pendidikan khas. Kelas ini menempatkan kira-kira 40 murid. Anak saya mula belajar di sekolah itu sejak 2008.

Ketika ini, bangunan kelas pendidikan khas ini terlalu usang dan tidak sesuai untuk digunakan sebagai tempat pembelajaran terutamanya bagi murid istimewa. Kelas anak saya, terletak di bahagian belakang sekolah dan ia tidak langsung sesuai untuk dipanggil kelas.

Bangunan ini beratapkan zink, sistem pendawaian tidak sempurna, berlantaikan simen, berdindingkan separuh simen dan separuh lagi jaring besi dan yang paling menyedihkan lokasinya terletak di tanah rendah dan mudah dinaiki air.

Selepas saya membuat aduan kepada Kementerian Pelajaran, kelas itu hanya dibaiki sedikit seperti dicat baru, pintu utama ditukar, jubin dipasang pada lantai dan tingkap diganti dengan pintu gelungsur.

Tetapi lokasinya masih lagi di tempat sama dan masalah banjir tetap berulang setiap kali hujan lebat. Jika kelas dinaiki air, murid terpaksa diberi ‘cuti’ untuk dua atau tiga hari. Guru pula terpaksa bertungkus lumus membersihkan kelas. Inikah penyelesaiannya?.

Saya difahamkan pihak JPN sudah melawat beberapa kali tetapi tiada sebarang tindakan susulan diambil untuk mengatasi masalah ini.

Sepatutnya, sebagai anak istimewa, pihak JPN Kelantan sepatutnya memberikan keutamaan kepada mereka dengan menyediakan bangunan baru di lokasi baru supaya mereka dapat belajar dalam keadaan lebih sempurna. Mereka juga layak untuk mendapat layanan sama seperti murid lain.
Saya sangat berharap Kementerian Pelajaran, JPN Kelantan dan pentadbiran sekolah dapat mengambil tindakan segera untuk mengatasi masalah ini supaya tidak berulang.

Pada pendapat saya, penyelesaian yang sesuai bagi masalah ini ialah dengan menyediakan bangunan baru di lokasi baru.

BAPA KECEWA,
Kota Bharu, Kelantan

Berita Harian Online: 21 Oktober 2010

Guru ingin maklumat pengajian

2010/10/21

SAYA seorang guru gred DGA29 yang sedang berkhidmat di sebuah sekolah kerajaan. Saya ingin mengetahui bagaimanakah caranya saya boleh melanjutkan pelajaran untuk mengambil ijazah pertama.

Kita sedia maklum yang kebanyakan universiti tempatan menawarkan peluang untuk menyambung belajar secara sepenuh masa dan separa masa.

Saya berhasrat melanjutkan pelajaran di Universiti Terbuka Malaysia (OUM) tetapi pegawai yang bertanggungjawab memberitahu bahawa saya tidak layak untuk mengikuti kursus itu kerana saya seorang guru.

Beliau menyatakan saya boleh menyambung pelajaran di OUM tetapi tidak dijamin kenaikan pangkat sedangkan ramai guru yang melanjutkan pelajaran di OUM sudah pun mendapat kenaikan pangkat.

Universiti manakah diiktiraf oleh Bahagian Pendidikan Guru (BPG) jika saya melanjutkan pelajaran secara separa masa?

GURU DGA29,
Kuala Lumpur

Berita Harian Online: 21 Oktober 2010

Jerebu: TPM nasihat sekolah ditutup sementara

KUALA LUMPUR 20 Okt. - Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menasihatkan pihak pentadbiran sekolah di daerah Muar, Johor untuk menutup sementara sesi persekolahan berikutan keadaan jerebu yang berada pada tahap bahaya di daerah itu.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, langkah itu perlu bagi mengelakkan situasi jerebu yang berlaku memberi kesan buruk kepada kesihatan pelajar.

"Kalau ia sudah sampai tahap bahaya, maka pihak pentadbiran, pengetua atau guru besar sekolah boleh mengambil langkah untuk menutup sekolah untuk sementara.

"Itu kalau sudah mencecah (bacaan IPU) 400, sudah dianggap bahaya, maka mestilah ditutup, sehingga situasinya bertambah baik," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas bersama Majlis Keselamatan Negara berhubung situasi jerebu di Muar, di pejabatnya di Bangunan Parlimen di sini hari ini.

Masalah jerebu di daerah Muar yang berlarutan sejak beberapa hari lepas bertambah serius apabila bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di daerah itu pada 11 pagi tadi mencecah tahap 432, iaitu dalam kategori bahaya.

Bagaimanapun, bacaan IPU di stesen-stesen pemantauan kualiti udara di tempat-tempat lain setakat ini berada pada tahap baik dan sederhana.

Muhyiddin berkata, walaupun bacaan IPU menurun bawah paras 300, sekolah di daerah berkenaan masih dinasihatkan untuk tidak menjalankan sebarang aktiviti kokurikulum di luar kelas.

Dalam pada itu, Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah menghantar 10,000 unit penutup mulut dan hidung ke daerah Muar hari ini untuk diagihkan kepada penduduk terutama ke sekolah-sekolah.

Selain itu, bekalan air mineral juga akan dihantar untuk memastikan penduduk mendapat bekalan air bersih.

Muhyiddin berkata Majlis Keselamatan Negara juga mengaktifkan Jawatankuasa Pengurusan dan Bantuan Bencana Pusat bagi memantau dan mengawal keadaan jerebu selain menggerakkan semua jawatankuasa di peringkat negeri dan daerah yang terbabit.

"Langkah yang pertama adalah untuk memaklumkan kepada penduduk daerah Muar,maklumat ini kita kena maklumkan supaya langkah-langkah untuk mengawal kesihatan ini diambil oleh penduduk yang berada di daerah Muar terutama tentang pemakaian topeng mulut," katanya.

Sementara itu, katanya Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Douglas Unggah Embas juga berhubung dengan rakan sejawatnya dari Indonesia untuk memohon kerjasama bagi mencari penyelesaian bersama berhubung perkara itu.

Menurutnya, Malaysia juga bersedia untuk menyediakan sebarang bentuk bantuan termasuk bantuan logistik bagi memastikan keadaan itu tidak terus berlarutan.

"Menurut laporan yang kita terima, ia (jerebu) berpunca dari sana (Indonesia), ini bukan kita mahu buat tuduhan tapi kita mahu langkah diambil sebelum merebak dan memberi kesan lebih buruk kepada Malaysia," kata Muhyiddin. - BERNAMA


Utusan Malaysia Online: 21 Oktober 2010

Naik taraf sekolah ikut keutamaan

KUALA LUMPUR 20 Okt. – Kementerian Pelajaran telah menjalankan audit terhadap 55,000 bangunan di 10,000 sekolah di seluruh negara untuk menentukan status infrastrukturnya dan akan menjalankan usaha baik pulih berdasarkan kerosakan yang dialami, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sambil memberi jaminan tidak berlaku pilih kasih dalam usaha ini, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, kerajaan menyedari tentang keperluan untuk meningkatkan tahap infrastruktur dan prasarana pendidikan tanpa mengira lokasi dan jenis sekolah.

“Kita ambil inisiatif buat audit, nilai setiap sekolah dan dah selesai pun.

“Ini dapat pastikan keadaan sekolah itu sama ada perlu tindakan segera untuk kita laksanakan. Yang penting mesti diambil kira ialah tentang keperluan utama, tiada soal pilih kasih.

“Saya beri jaminan kalau kita guna tanda aras audit yang disediakan, kita harap dalam tempoh beberapa tahun akan datang, sebahagian masalah utama yang kita hadapi di sekolah dapat diselesaikan,” katanya pada sesi soal jawab pada persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.

Muhyiddin berkata, demikian semasa menjawab soalan tambahan P. Kamalanathan (BN-Hulu Selangor) mengenai langkah kementerian dalam memastikan hanya sekolah yang mengalami kerosakan teruk dapat diutamakan serta sama ada terdapat jaminan supaya tiada soal pilih kasih dalam agihan peruntukan.

Menjawab soalan asal Kamalanathan, beliau berkata, audit yang dijalankan itu mendapati tiga peratus daripada keseluruhan bangunan sekolah yang diperiksa mengalami kerosakan teruk dan memerlukan perhatian segera, manakala lima peratus bangunan sekolah sedia ada mengalami masalah pendawaian elektrik.

Beliau juga berkata, bahawa pada tahun 2010 sahaja, sebanyak 564 projek pembekalan air bersih di sekolah luar bandar telah dilaksanakan dengan peruntukan RM197.7 juta manakala 641 projek bekalan elektrik ke sekolah luar bandar dilaksanakan dengan peruntukan RM1.87 bilion, termasuk 140 projek solar hibrid yang dilaksanakan dalam dua fasa sejak 2007.

“Kemudahan asas ini akan terus diberi perhatian dalam Rancangan Malaysia ke-10 bagi memastikan semua sekolah mendapat bekalan air bersih serta bekalan elektrik yang sempurna,” katanya.

Menjawab soalan tambahan Datuk Seri Anwar Ibrahim (PKR-Permatang Pauh) tentang kemungkinan kementerian meletakkan sasaran maksimum setahun untuk menyediakan prasarana asas di sekolah pedalaman, Muhyiddin berkata: “Kalau ada tongkat sakti, Insya-Allah boleh selesai dalam masa setahun. Tapi seperti juga kementerian lain, jumlah (peruntukan) tak cukup, perlu lebih besar.

Justeru, prioriti mesti diberikan.

“Kita akan bekerjasama dengan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah untuk bekal air di kawasan pedalaman. Saya yakin dalam tempoh lima tahun RMK-10 mungkin mampu selesaikan sebahagian besar masalah,” katanya.

Muhyiddin berkata, kementerian menyediakan siling peruntukan sebanyak RM8.85 bilion bagi melaksanakan projek pembangunan di bawah RMK-10, yang sebahagiannya akan digunakan untuk menyambung projek yang belum selesai di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan yang dianggarkan berjumlah RM5.36 bilion.

Selebihnya merupakan peruntukan untuk projek baru yang akan diagih-agihkan untuk penambahbaikan, naik taraf bangunan, tambahan bangunan dan pembinaan sekolah baru, katanya. – BERNAMA


Utusan Malaysia Online: 21 Oktober 2010

Naik taraf sekolah ikut keutamaan

KUALA LUMPUR 20 Okt. – Kementerian Pelajaran telah menjalankan audit terhadap 55,000 bangunan di 10,000 sekolah di seluruh negara untuk menentukan status infrastrukturnya dan akan menjalankan usaha baik pulih berdasarkan kerosakan yang dialami, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sambil memberi jaminan tidak berlaku pilih kasih dalam usaha ini, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, kerajaan menyedari tentang keperluan untuk meningkatkan tahap infrastruktur dan prasarana pendidikan tanpa mengira lokasi dan jenis sekolah.

“Kita ambil inisiatif buat audit, nilai setiap sekolah dan dah selesai pun.

“Ini dapat pastikan keadaan sekolah itu sama ada perlu tindakan segera untuk kita laksanakan. Yang penting mesti diambil kira ialah tentang keperluan utama, tiada soal pilih kasih.

“Saya beri jaminan kalau kita guna tanda aras audit yang disediakan, kita harap dalam tempoh beberapa tahun akan datang, sebahagian masalah utama yang kita hadapi di sekolah dapat diselesaikan,” katanya pada sesi soal jawab pada persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.

Muhyiddin berkata, demikian semasa menjawab soalan tambahan P. Kamalanathan (BN-Hulu Selangor) mengenai langkah kementerian dalam memastikan hanya sekolah yang mengalami kerosakan teruk dapat diutamakan serta sama ada terdapat jaminan supaya tiada soal pilih kasih dalam agihan peruntukan.

Menjawab soalan asal Kamalanathan, beliau berkata, audit yang dijalankan itu mendapati tiga peratus daripada keseluruhan bangunan sekolah yang diperiksa mengalami kerosakan teruk dan memerlukan perhatian segera, manakala lima peratus bangunan sekolah sedia ada mengalami masalah pendawaian elektrik.

Beliau juga berkata, bahawa pada tahun 2010 sahaja, sebanyak 564 projek pembekalan air bersih di sekolah luar bandar telah dilaksanakan dengan peruntukan RM197.7 juta manakala 641 projek bekalan elektrik ke sekolah luar bandar dilaksanakan dengan peruntukan RM1.87 bilion, termasuk 140 projek solar hibrid yang dilaksanakan dalam dua fasa sejak 2007.

“Kemudahan asas ini akan terus diberi perhatian dalam Rancangan Malaysia ke-10 bagi memastikan semua sekolah mendapat bekalan air bersih serta bekalan elektrik yang sempurna,” katanya.

Menjawab soalan tambahan Datuk Seri Anwar Ibrahim (PKR-Permatang Pauh) tentang kemungkinan kementerian meletakkan sasaran maksimum setahun untuk menyediakan prasarana asas di sekolah pedalaman, Muhyiddin berkata: “Kalau ada tongkat sakti, Insya-Allah boleh selesai dalam masa setahun. Tapi seperti juga kementerian lain, jumlah (peruntukan) tak cukup, perlu lebih besar.

Justeru, prioriti mesti diberikan.

“Kita akan bekerjasama dengan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah untuk bekal air di kawasan pedalaman. Saya yakin dalam tempoh lima tahun RMK-10 mungkin mampu selesaikan sebahagian besar masalah,” katanya.

Muhyiddin berkata, kementerian menyediakan siling peruntukan sebanyak RM8.85 bilion bagi melaksanakan projek pembangunan di bawah RMK-10, yang sebahagiannya akan digunakan untuk menyambung projek yang belum selesai di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan yang dianggarkan berjumlah RM5.36 bilion.

Selebihnya merupakan peruntukan untuk projek baru yang akan diagih-agihkan untuk penambahbaikan, naik taraf bangunan, tambahan bangunan dan pembinaan sekolah baru, katanya. – BERNAMA


Utusan Malaysia Online: 21 Oktober 2010

Rabu, 20 Oktober 2010

Jadual usah terlalu ketat

ARKIB : 19/10/2010

Minggu ini dan minggu depan, murid-murid mula menduduki peperiksaan akhir di sekolah masingmasing. Apa yang menarik perhatian saya bukanlah kepada peperiksaan itu sendiri, tetapi aspek jadual dan masa sepanjang tempoh peperiksaan.

Sesuai dengan hasrat kerajaan supaya sistem pendidikan kita tidak terlalu berorientasikan peperiksaan, berikut beberapa cadangan yang saya rasa perlu dan boleh diambil kira bagi menjamin lahirnya pelajar yang lebih berdedikasi dan tidak terlalu exam-oriented atau lebih parah menjadi examphobia.

* Jadual peperiksaan perlu lebih anjal: Saya agak kurang selesa melihat jadual peperiksaan pelajar sekolah rendah mahupun menengah. Pelajar terpaksa berdepan dengan dua atau tiga subjek sehari. Contohnya, hari pertama Bahasa Malaysia 1, Bahasa Malaysia 2, Agama Islam.

Hari Kedua: English, Matematik 1, Matematik 2. Hari ketiga: Sains, Jawi, Bahasa Arab@Moral.

Adalah lebih baik sekiranya pelajar diberi kelonggaran dengan jadual yang tidak terlalu ketat. Cukup sekadar satu subjek sehari. Ia memberi ruang untuk lebih tumpuan semasa menjawab peperiksaan.

* Masa menjawab peperiksaan: Rata-rata masa yang diberikan 60 minit, ada juga 40 minit. Di negara luar, kebanyakan masa menjawab peperiksaan paling kurang 90 minit. Bayangkan pelajar terpaksa bergelut menjawab soalan subjektif Matematik dalam tempoh 40 minit. Murid pula baru berumur lapan atau sembilan tahun. Tidakkah ia antara punca pelajar kurang minat untuk belajar, malah menganggap peperiksaan hanya satu beban?

Penelitian saya, sistem peperiksaan di Malaysia lebih banyak mengundang stress di kalangan pelajar . Kita tidak banyak membantu pelajar supaya mencintai ilmu. Kita hanya mahu pelajar belajar untuk peperiksaan, bergelut tiga atau empat hari semasa peperiksaan dengan beban subjek dan masa yang tidak 'mesra pelajar'.

Itu baru peperiksaan biasa. Bagaimana pula dengan jadual dan masa untuk peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM). Saya yakin jika faktor jadual dan masa ini diambil kira dalam sistem peperiksaan, kita mampu melahirkan pelajar yang lebih yakin diri dan lebih berwawasan. Kurangnya stress dapat memberi ruang untuk pelajar mencintai ilmu.

Dalam kita cuba menyemai dan memastikan akidah Islam dipupuk sedari kecil, kita mungkin melakukannya secara drastik. Saya masih ingat subjek Agama Islam dulu diajar dalam tulisan Rumi. Berbeza sekarang dalam tulisan Jawi. Saya tidak mempersoalkan isu ini. Cuma lebih baik jika kita kekal menggunakan tulisan Rumi. Sebabnya? Tidak semua pelajar yang dapat menguasai tulisan Jawi dengan baik semasa Tahun Satu.

Jika kita terus menggunakan tulisan Jawi, golongan ini akan ketinggalan dan seterusnya mengurangkan minat mereka untuk mendalami ajaran Islam sedari Tahun Satu. Ia akan berlarutan sehingga di Tahun Enam, malah sehingga Tingkatan Lima atau Enam. Berdasarkan pemerhatian, pelajar ini menganggap subjek Agama Islam ini subjek sukar hanya kerana tidak mahir membaca tulisan Jawi. Sedangkan ia subjek paling mudah apatah lagi jika diajar secara Rumi.

Memang, tulisan Jawi perlu diberi penekanan tetapi cukup kita meletakkan asas yang kukuh dalam subjek Jawi. Seperti juga untuk pelajar menguasai bahasa Inggeris. Aspek pembelajaran bahasa itu sendiri perlu diperkukuhkan sejak Tahun Satu. Jika 'akarnya' tidak kuat bagaimana 'pokok' boleh membesar?

Guru Pencen,

Shah Alam, Selangor


Utusan Malaysia Online: 20 Oktober 2010