Jumaat, 19 Disember 2008

17,000 buku teks baru dicetak untuk 2009

Oleh Rosniza Mohd Taha


SITI ZALEHA menunjukkan buku teks judul baru bagi sekolah kebangsaan untuk memperkasakan bahasa ibunda pelbagai kaum.

SEJUMLAH 17,000 lagi buku teks baru dicetak Kementerian Pelajaran bagi memastikan dasar perluasan Skim Pinjaman Buku Teks (SPBT) kepada semua pelajar tanpa mengira pendapatan isi rumah di semua sekolah kerajaan, sekolah bantuan kerajaan dan sekolah menengah agama rakyat dapat diteruskan pada sesi persekolahan tahun depan.

Pengarah Bahagian Buku Teks (BBT) Kementerian Pelajaran, Datin Dr Siti Zaleha Abdullah Sani, berkata selain cetakan semula bagi menggantikan buku teks rosak atau hilang serta memenuhi keperluan berikutan peningkatan pelajar, jumlah itu turut membabitkan terbitan enam judul baru Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah dan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah.

Katanya, semua judul baru bagi sekolah kebangsaan sejajar usaha memperkasa institusi pendidikan itu menerusi pengenalan pembelajaran bahasa ibunda pelbagai kaum iaitu Bahasa Cina Tahun 3, Bahasa Tamil Tahun 3 dan Bahasa Arab Tahun 2.

Bagi Bahasa Kadazan Dusun Tingkatan 3, Bahasa Arab Tingkatan 2 serta Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan Tingkatan 5 untuk sekolah menengah pula, katanya, adalah judul baru bagi sekolah menengah kebangsaan.

“Selain 517 judul buku teks sedia ada, enam terbitan baru bagi sesi persekolahan 2009 berdasarkan sambutan baik pelajar dan ibu bapa terhadap subjek diperkenalkan itu.

“Kebanyakan judul itu adalah bagi subjek bahasa ibunda sedia ada sebelum ini dan kini diperluaskan pembelajarannya kepada pelajar tahap lain,” katanya kepada Berita Harian di Putrajaya, baru-baru ini.

Siti Zaleha turut memberi jaminan semua pelajar akan menerima buku teks mereka pada hari pertama persekolahan.

Jaminan itu diberikan berikutan pemantauan pegawai BBT baru-baru ini mendapati penghantaran lebih 17 juta buku teks ke seluruh negara yang dilaksanakan secara berperingkat mulai Oktober lalu berjalan lancar mengikut jadual.

Katanya, laporan yang diperoleh daripada jabatan pelajaran negeri menunjukkan kebanyakan bekalan sudah dihantar ke sekolah di kawasan masing-masing.

“Berikutan pembekalan diselesaikan sebelum sekolah dibuka, proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) dapat bermula pada hari pertama sesi persekolahan 2009 tanpa terikat dengan kesibukan urusan pengagihan buku teks kepada pelajar.

"Bagaimanapun bagi kawasan berisiko tinggi menghadapi bencana banjir, buku teks terbabit wajar disimpan dalam Bilik Operasi Skim Pinjaman Buku Teks Sekolah bagi mengelakkan kerosakan dan hanya diagihkan kepada pelajar apabila sesi persekolahan dibuka nanti.

"Setakat ini, saya tidak nampak sebarang masalah untuk memenuhi jadual perancangan digariskan kerana segala urusan penyediaan bekalan dilaksanakan secara teliti dan berstruktur,” katanya.

Di samping itu, beliau berkata, pemantauan turut dibuat terhadap pembekalan buku teks ke pasaran terbuka bagi memenuhi keperluan seperti pelajar di sekolah swasta.

"Buku teks ditetapkan sebagai sumber utama proses P&P di sekolah dan guru perlu memanfaatkannya dengan pendekatan berkesan supaya menarik minat pelajar.

“Dalam hal ini, BBT juga akan menjalankan siri seminar dan bengkel ke seluruh negara bagi memastikan guru dapat mengoptimumkan penggunaannya dalam P&P terutama membabitkan judul baru serta guru Sekolah Agama Bantuan Kerajaan yang mendaftar dengan kementerian,” katanya.

Mengenai pelantikannya sebagai Pengarah BBT baru, Siti Zaleha yang menyandang jawatan Pengarah Bahagian Sekolah Berasrama Penuh dan Sekolah Kluster sebelum ini berkata, ia berkuat kuasa 15 Oktober lalu menggantikan Dr Zahri Aziz.

Sambil menyatakan rasa besar hati menerima menerima tugas serta tanggungjawab baru itu, beliau menyifatkan ia sebagai peluang baginya memangkin usaha kerajaan meluaskan akses serta merapat jurang pendidikan dengan memastikan setiap pelajar

“Keupayaan BBT dari segi pembekalan buku teks sudah terbukti dan akan terus ditingkatkan, Kini tumpuan seterusnya adalah mengupayakan guru dan sekolah supaya dapat mengoptimum penggunaan buku teks sebagai bahan P&P,” katanya.

Berita Harian Online: 18 Disember 2008

Tiada ulasan: