Rabu, 31 Disember 2008

Arahan jangan pungut bayaran tambahan

KOTA BHARU Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) sudah mengeluarkan arahan kepada seluruh sekolah di negeri ini supaya tidak memungut sebarang bayaran tambahan daripada pelajar semasa sesi persekolahan baru bermula 4 Januari depan.

Pengarahnya, Ghazali Abdul Rahman berkata, mereka cuma dikenakan bayaran perlindungan takaful RM1.50 manakala bagi pelajar yang tinggal di asrama mereka dibenarkan membuat bayaran secara ansuran sebanyak RM1 sehari.

"Kita sudah mengeluarkan surat pekeliling kepada semua sekolah rendah dan menengah pada 21 Disember lalu berhubung pembayaran yuran dan bayaran tambahan.

"Saya juga telah memberi taklimat kepada semua pengetua pada 22 Disember lalu dan guru besar pada 23 Disember untuk memaklumkan mengenai langkah itu agar tidak menimbulkan kekeliruan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Katanya, ia bagi mengurangkan bebanan ibu bapa terutama golongan berpendapatan rendah yang tentunya banyak berbelanja untuk menyediakan keperluan persekolahan anak-anak.

Menurutnya lagi, bagi yuran Persatuan Ibubapa dan Guru-guru (PIBG) sekolah masing-masing akan diputuskan semasa mesyuarat agungnya kelak.

"Memandangkan keadaan ekonomi yang tidak menentu, Kementerian Pelajaran tidak mahu masalah kewangan menganggu pelajaran dan para pelajar dapat memberi tumpuan penuh," ujarnya.

Ditanya mengenai pengagihan buku teks, Ghazali memberitahu, bekalan adalah mencukupi dan pelajar sudah menerimanya sebelum cuti persekolahan bermula akhir November lalu.

"Setiap sekolah yang tidak cukup buku teks diminta memaklumkan lebih awal kepada pusat agihan buku teks yang terdapat di semua Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) seluruh Kelantan.

"Mana-mana sekolah yang hendak membuat pertukaran buku teks bolehlah merujuk kepada pusat agihan di PPD masing-masing," ujarnya lagi.

Beliau berkata, kementerian menyediakan peruntukan yang besar untuk keperluan buku teks kepada pelajar agar pengagihan yang dibuat tidak tergendala.

''Semua sekolah di negeri ini tidak ada yang mengalami kerosakan akibat banjir dan membolehkan persiapan menerima kemasukan pelajar tidak terjejas.

"Tahun depan juga, tiga sekolah baru akan dibuka iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Jelawat 2; Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Belimbing dan SMK Bandar Machang," katanya lagi.

Utusan Malaysia Online: 30 Disember 2008

Tiada ulasan: