Isnin, 15 Disember 2008

Sekolah rangkaian ICT sertai bilik darjah siber

Oleh Mohd Azrone Sarabatin

Mudahkan komunikasi guru, pelajar di Asia, Eropah KOTA KINABALU: Semua sekolah memiliki rangkaian teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) di seluruh negara akan menyertai projek bilik darjah siber yang memudahkan pelajar dan guru berkomunikasi dengan rakan di Eropah dan Asia menerusi Yayasan Rangkaian Bilik Darjah Asia-Eropah (Asef).

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd Dom, berkata warga sekolah terbabit boleh bertukar-tukar maklumat, terutama membabitkan subjek Sains dan Matematik yang menggunakan bahasa Inggeris sebagai pengantar.

Katanya, pada masa sama, mereka boleh menyertai pelbagai program yang dijalankan Asef, termasuk 30 projek sepanjang tahun ini.

Beliau berkata, Kementerian Pelajaran mahu semua sekolah memiliki rangkaian teknologi canggih itu sentiasa berkomunikasi dengan rakan dalam Asef bagi meningkatkan pengetahuan, terutama dalam dua subjek itu.

"Bilik darjah siber juga boleh meningkatkan pencapaian akademik pelajar sekolah prestasi rendah kerana mereka mudah berhubung dengan rakan di sekolah berprestasi tinggi di seluruh negara," katanya berucap pada majlis makan malam meraikan delegasi Persidangan Rangkaian Bilik Darjah Asia-Eropah (AEC-Net) Ke-7 di Sutera Habour Resort, Kota Kinabalu, malam semalam.

Persidangan lima hari mulai kelmarin hingga 16 Disember ini dirasmikan Pembantu Menteri Kebudayaan, Pelancongan dan Alam Sekitar Sabah, Bolkiah Ismail, semalam.

Seramai 100 peserta dari Malaysia, Greece, China, Jerman, Finland, Poland, Indonesia dan Singapura menyertai persidangan membentangkan 27 kertas cadangan merangkumi pelbagai topik penting seperti ekonomi, matematik, sains dan ICT.

Alimuddin juga berkata, kertas cadangan itu turut membincangkan rangkaian bilik darjah siber di negara anggota Asef yang menjurus kepada peranannya ke arah kemajuan pendidikan serta R&D negara anggota.

"Usaha itu dengan sendirinya melahirkan pendidik dan pelajar berpotensi tinggi dalam bidang pendidikan berbantukan ICT yang berkembang pesat di seluruh dunia sekarang," katanya.

Sementara itu, Bolkiah berkata, persidangan itu membantu meningkatkan daya intelektual pelajar kerana mereka dapat bersaing dengan rakan pada peringkat antarabangsa.

Katanya, mereka boleh membincangkan topik baru mengenai perkembangan dunia, terutama isu ekonomi, peperangan, pelarian dan pencerobohan asing.

Beliau berkata, pelajar juga harus memanfaatkan kemudahan bilik darjah siber untuk berkongsi pemikiran dengan rakan mereka di seluruh Asia dan Eropah yang menganggotai Asef.

Berita Harian Online: 14 Disember 2008

Tiada ulasan: