Jumaat, 19 Disember 2008

Guru harus bincang martabatkan profesion

Oleh Samsudin Oli Mohamed


NOOR REZAN berbual dengan peserta seminar di Langkawi, baru-baru ini.

GOLONGAN pendidik disaran sering bertemu untuk berbincang mengenai usaha memartabatkan profesion diceburi, sekali gus melahirkan pelajar cemerlang yang bakal menjadi penggerak negara pada masa depan, kata Timbalan Pengarah Pelajaran (Sektor Operasi) Kementerian Pelajaran, Datuk Noor Rezan Bapoo Hashim.

Katanya, dalam perkembangan mutakhir pendidikan negara, semua pihak perlu mengambil bahagian secara bijaksana untuk berhadapan dengan berbagai cabaran masa kini.

“Kita perlu melahirkan guru negara dan bukannya guru di sekolah dalam sistem pendidikan di negara ini,” katanya pada majlis perasmian Seminar Kebangsaan Jawatankuasa Penyelarasan Pendidikan Guru 2008 di Langkawi, baru-baru ini.

Noor Rezan berkata, kepekaan golongan pendidik dalam meningkatkan profesionalisme, inovasi kurikulum dan kemudahan prasarana pendidikan sentiasa diberi keutamaan.

“Ia merangkumi persekitaran kerja, kebajikan guru dan penambahbaikan perkhidmatan,” katanya.

Sebanyak 102 kertas kerja dibentang pada seminar empat hari yang disertai 140 peserta dari seluruh negara.

Antara pembentang termasuk Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris Prof Datuk Dr Aminah Ayob dengan tajuk Masa Depan Pendidikan Guru, dan Pengarah Multimedia Development Corporation, Dr Norrizan Razali (Teknologi dan Inovasi dalam Pendidikan)

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Seminar, Dr Ruzlan Md Ali, berkata seminar itu diharap menjadi landasan guru sekolah rendah, menengah atau institusi pengajian tinggi awam berkumpul untuk memartabatkan profesion perguruan.

Berita Harian Online: 18 Disember 2008

Tiada ulasan: