Oleh KAMIL MASLIH
KLUANG 9 Dis. - Sebanyak 9,800 sekolah rendah dan menengah di seluruh negara akan menerima set Ensiklopedia Umum bagi membantu para pelajar dan guru meningkatkan pengetahuan am masing-masing dalam pelbagai bidang.
Ensiklopedia terbitan Utusan Publications and Distributors (UP&D) itu mula diedarkan secara berperingkat-peringkat pada bulan ini.
Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, pihaknya berharap kemudahan ensiklopedia tersebut akan dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh guru-guru dan murid-murid.
"Berteraskan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan, kita tidak mahu usaha ini adalah untuk jangka pendek sahaja, sebaliknya pengisian dan penggunaannya perlu berterusan dengan kesesuaiannya.
"Saya berharap guru-guru di sekolah akan dapat menggunakan ensiklopedia ini dalam membantu pengajaran dan pembelajaran murid-murid," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Korban Perdana Pemuda UMNO 2008 di Padang Awam Felda Bukit Tongkat di sini hari ini.
Pada majlis itu, Hishammuddin turut menyampaikan set ensiklopedia berkenaan kepada tiga buah sekolah di kawasan Kahang iaitu Sekolah Menengah LKTP Belitong, Sekolah Rendah LKTP Belitong dan Sekolah Kebangsaan Bukit Tongkat.
Sementara itu Penolong Pengurus Pemasaran UP&D, Khoo Gee Siang berkata, pihaknya akan menumpukan pengedaran tersebut di kawasan selatan tanah air terlebih dahulu sebelum ke negeri-negeri lain.
"Kami menjangkakan ensiklopedia ini akan dapat berada di perpustakaan-perpustakaan sekolah di seluruh negara pada Mac tahun depan," katanya.
Utusan Malaysia Online: 10 Disember 2008
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan