Selasa, 16 Disember 2008

Guru Pelatih Tinjau Kaedah Pengajaran Di UK Selama Dua Minggu Tahun Depan

KUALA LUMPUR, 15 Dis (Bernama) -- Sekumpulan 40 pelatih maktab perguruan akan dibawa meninjau beberapa sekolah rendah di United Kingdom (UK) selama dua minggu pada bulan Jun nanti untuk mempelajari kaedah pengajaran di negara itu yang boleh disesuaikan dalam kurikulum di Malaysia.

Penasihat program itu Rosnah Alias berkata mereka terdiri daripada 20 pelajar Institut Perguruan Kuala Terengganu (IPKT) dan 20 dari Institut Perguruan Tun Hussein Onn (IPTHO), Batu Pahat, Johor.

Beliau berkata sekolah-sekolah yang dilawati nanti akan ditentukan oleh Universiti Canterbury Christ Church (UCCC) yang mengendalikan program ijazah sarjana muda secara bersama dengan Kementerian Pelajaran.

"Mereka akan ditugaskan menghadiri kelas serta mempelajari kaedah-kaedah yang digunakan guru-guru di sana mengendalikan kelas," katanya ketika ditemui Bernama di sini.

Katanya selain itu pelatih juga akan menghadiri kuliah di UCCC untuk memantapkan serta meningkatkan ilmu mereka dalam bidang perguruan.

Rosnah yang juga pensyarah IPKT berkata program kerjasama itu melibatkan 130 orang pelajar daripada kedua-dua institut tersebut, namun program lawatan sambil belajar itu hanya membabitkan 40 pejalar IPKT dan IPTHO.

Beliau berkata Kementerian Pelajaran memilih kedua-dua institut itu untuk menyertai program berkenaan sejak tahun 2006.

Menurutnya lagi Ijazah Sarjana Muda untuk pelatih program kerjasama yang melibatkan dua institut itu akan ditauliahkan oleh UCCC.

Beliau berkata pada bulan April nanti 15 pelajar UCCC akan melawat IPKT dan IPTHO selama sebulan, sekaligus mengajar di sekolah-sekolah rendah di sini.

BERNAMA: 15 Disember 2008

Tiada ulasan: