Rabu, 17 Disember 2008

Sekolah Terbilang: Lahir ramai tokoh

Oleh Zabidi Hitam

PENOLONG Kanan SMKTS, Ibrahim Abdullah (kanan) dan Mohd Yunus meninjau benih padi dibawa khas dari Kedah yang ditanam di kawasan sekolah sebagai maklumat pelajar.

Bekas pelajar SMKTS kini menjadi pakar ekonomi dan atlit terkemuka NAMA Sekolah Menengah Kebangsaan Tinggi Setapak (SMKTS), Kuala Lumpur terus masyhur berikutan kejayaan sekolah itu melahirkan ramai tokoh terkemuka negara termasuk bidang ekonomi, akademik, pentadbiran, politik dan sukan.
Antaranya bekas Presiden Bursa Malaysia, Datuk Salleh Majid; Ketua Pegawai Eksekutif Bank Pembangunan dan Infrastruktur, Datuk Rahim Mat Zin; Timbalan Gabenor Bank Negara, Datuk Zamani Abdul Ghani dan Pengarah Urusan Penerbangan Malaysia, Datuk Ahmad Fuad Dahlan.
Seterusnya, Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor; Bekas Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Drs Sulaiman Mohamad: Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam, Tan Sri Ismail Adam dan lagenda bola sepak negara Datuk Santokh Singh.
Pengetua SMKTS, Maslan Buniran, berkata sekolah yang ditubuhkan pada 1955 di High Street (kini Jalan Tun HS Lee) dengan 239 pelajar dan sembilan guru sentiasa menjadi pilihan pelajar dan ibu bapa di atas prestasi cemerlang ditunjukkan.
Kini, sekolah itu menempatkan 1,240 pelajar dengan 87 guru, 18 staf sokongan termasuk 11 kelas tingkatan enam.
SMKTS dikenali kerana kecemerlangan dalam kejohanan olah raga sama di peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL), kebangsaan dan antarabangsa.
Terkini, sekolah itu muncul johan dan naib johan olah raga pada Kejohanan Jemputan Universiti Thailand merebut piala Chulalongkon, yang diadakan di Bangkok, sekali gus mengatasi 68 pasukan lain yang mengambil bahagian.
Beberapa anugerah yang pernah diraih ialah johan olah raga peringkat negeri WPKL (bawah 15 dan 18 tahun); naib johan kebangsaan dan johan liga Kuala Lumpur Divisyen 3, selain naib johan remaja kebangsaan (bawah 14 tahun).
Lebih menggembirakan, dua pemain hoki sekolah itu iaitu Shahrol Azhar Din muncul pemain terbaik kebangsaan tahun ini, manakala Mohd Shahmi Yusof dipilih mewakili negara ke Kejohanan Hoki Jemputan Jerman.
Maslan berharap, sekolahnya terus melahirkan atlit berkualiti berikutan pemilihan sekolah sukan negeri.
Dalam bidang akademik, institusi itu muncul sekolah terbaik peringkat negeri bagi Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia tahun lalu.
Sekolah berkenaan juga muncul johan Pertandingan pidato Badan Pencegah Rasuah bagi kategori Bahasa Melayu dan Inggeris, sekali gus melengkapkan kecemerlangan yang diperoleh tahun ini.
Berita Harian Online: 17 Disember 2008

Tiada ulasan: