Sabtu, 20 Disember 2008

Kementerian buat keputusan PPSMI

Oleh S Anand Kumar


KUALA LUMPUR: Kementerian Pelajaran akan membuat satu keputusan rasional berhubung masa depan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains serta Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI).

Menterinya, Datuk Hishammuddin Hussein, berkata kementeriannya selama ini banyak memberi ruan, termasuk menganjurkan persidangan meja bulat kepada orang ramai serta pihak terbabit dalam mengemukakan pandangan masing-masing berhubung PPSMI dan pihaknya menghargai setiap perkara dikemukakan.

“Kita terbuka kepada semua pandangan malah perbincangan meja bulat yang kita anjurkan memberi ruang kepada semua pihak menyuarakan pandangan mereka berhubung masa depan PPSMI,” katanya kepada Berita Harian, semalam.

Beliau kini berada di Oslo, Norway, menghadiri mesyuarat Lembaga Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco).

Hishammuddin berkata demikian sebagai mengulas reaksi berbeza di kalangan tokoh akademik serta kesatuan perguruan berhubung tujuh pilihan dirumuskan Persidangan Meja Bulat PPSMI, kelmarin.

Sesetengah mereka mahu penggunaan bahasa Melayu dikembalikan, manakala ada pula yang mahu PPSMI diteruskan bagi memastikan generasi baru negara mampu berdaya saing pada peringkat global.

PPSMI yang bermatlamat meningkatkan kecekapan pelajar sekolah rendah dalam bahasa Inggeris dimulakan dengan projek perintis lima tahun pada 2003.

Berita Harian Online: 19 Disember 2008

Tiada ulasan: