Bagi memastikan tanggung jawab itu dilaksanakan sebaiknya Kementerian memberi jaminan akan memastikan momentum pembangunan sektor pendidikan dikekalkan pada tahun depan walaupun berdepan ekonomi tidak menggalakkan.
Memperincikan perbelanjaan peruntukan itu, Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran, Tan Sri Dr Zulkurnain Awang, berkata sebanyak RM27 juta akan digunakan bagi membiayai kos operasi, manakala RM4 juta untuk perbelanjaan pembangunan.
Antara lain, katanya, ia akan digunakan bagi mewujudkan pertambahan 32,324 jawatan guru pada tahun depan.
Katanya, langkah berkenaan bagi mengurangkan beban guru dengan sasaran pencapaian nisbah 1.9 guru mengendalikan satu kelas berbanding 1.7 ketika ini.
Pertambahan perjawatan itu juga katanya, berikutan pembukaan 26 sekolah rendah dan 41 sekolah menengah baru termasuk lima sekolah berasrama penuh (SBP).
SBP itu Sekolah Menengah Sains (SMS) Kubang Pasu, Kedah; SMS Tapah, Perak; SMS Bagan Datoh, Perak; SMS Rembau, Negeri Sembilan serta SMS Kepala Batas, Pulau Pinang.
Menerusi bajet itu juga, katanya, Sekolah Bantuan Modal akan menerima pertambahan RM13 juta menjadikan jumlah keseluruhan RM33 juta diterima sekolah berkenaan berbanding RM20 juta sebelum ini.
Sementara itu, 704 kelas Sekolah Bantuan Kerajaan Pra Sekolah akan diwujudkan sebagai tambahan kepada 2,263 kelas sedia ada ketika ini.
Sebagai usaha berterusan memartabatkan Sekolah Kebangsaan, kelas bahasa Cina, bahasa Tamil serta Jawi, al-Quran, Arab dan Fardu Ain (j-QAF) akan ditambah supaya pelajar dapat mempelajari bahasa ibunda masing-masing.
“Kelas bahasa Cina akan diperluaskan di 100 lagi sekolah berbanding 250 ketika ini, manakala bahasa Tamil di 50 sekolah lagi berbanding 120 ketika ini serta j-QAF di 1,221 sekolah lagi sebagai tambahan kepada 4,175 sedia ada,” katanya.
Zulkurnain berkata, usaha memantapkan sekolah aliran agama juga akan diteruskan dengan sasaran merealisasikan 23 lagi perjanjian persefahaman untuk meningkatkan jumlah sekolah yang mendaftar sebagai Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) dengan Kementerian Pelajaran berbanding 154 sedia ada.
Beliau menjelaskan, antara manfaat diperoleh sekolah agama kerajaan negeri yang menyertai SABK adalah peningkatan kualiti pendidikan dari aspek pengurusan sekolah, proses pengajaran dan pembelajaran, pengurusan sumber manusia, prasarana dan kemudahan fizikal.
Selain itu, katanya, peruntukan akan digunakan bagi menampung peningkatan perbelanjaan pergajian untuk lebih 30,000 warga pendidikan yang akan menikmati kenaikan pangkat dalam pelbagai gred.
“Kakitangan di semua institusi pendidikan bakal menikmati kenaikan pangkat ini termasuk institusi pendidikan guru, kolej matrikulasi serta Institut Aminuddin Baki,” katanya.
Malah, katanya, peruntukan khas RM615 juta akan turut diagihkan untuk penyelenggaraan institusi pendidikan termasuk bangunan serta kantin sekolah.
Tahun depan juga, katanya, bajet prihatin tidak dilupakan termasuk menerusi peningkatan dana Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM) kepada RM400 juta berbanding RM300 juta tahun ini.
Bantuan yang akan disalurkan menerusi tabung itu termasuk menyediakan skim rancangan makanan tambahan, pinjaman buku teks dan pemansuhan yuran peperiksaan serta persekolahan bagi sesi 2008.
Bajet 2009 turut meringankan bebanan ibu bapa yang mempunyai anak berkeperluan khas menerusi pemberian elaun murid istimewa bernilai hingga RM150.
Zulkurnain berkata, golongan yang begitu berdedikasi melaksanakan tugas dalam memudahkan proses pengajaran dan pembelajaran pelajar berkeperluan khas ini tidak dilupakan menerusi kenaikan elaun 5,068 guru pendidikan khas dari RM100 kepada RM250 serta elaun khas RM200 sebulan kepada 3,228 Pembantu Pengurusan Murid mulai sesi persekolahan tahun depan.
Bagi memastikan bajet mega itu dimanfaatkan sewajarnya secara berhemah, pemantauan projek katanya, dijalankan secara berterusan termasuk menerusi pengwujudan bilik operasi khas yang membentangkan perkembangan projek menerusi mesyuarat setiap bulan.
“Saya akan mempengerusikan Jawatankuasa Projek Sakit, selain Jabatan Kerja Raya, Unit Perancangan Ekonomi serta Pejabat Tanah dan Galian bertujuan memantau dan mengatasi masalah projek terbengkalai.
“Pengwujudan Jawatankuasa Khas Projek Luar Bandar, Pasukan Tindakan Pembangunan serta lawatan berkala ke tapak projek turut memantapkan proses pemantauan,” katanya.
Berita Harian Online: 22 Disember 2008
Tiada ulasan:
Catat Ulasan