Rabu, 3 Disember 2008

Mohon semua guru besar dinaikkan Gred DG-A38

SAYA sebagai mewakili para guru besar Gred DG-A34 memohon agar mana-mana pihak yang berkaitan terutamanya Kementerian Pelajaran agar dapat mempertimbangkan semua guru besar yang telah berkhidmat melebihi lima tahun dapat dinaikkan pangkat ke Gred DG-A38.

Saya telah berkhidmat sebagai guru besar di sekolah rendah hampir sepuluh tahun, baru-baru ni saya tidak tersenarai untuk kenaikan pangkat ke Gred DG-A38 disebabkan kononnya sekolah saya tidak wujud keceriaan dan prestasi yang diberikan rendah oleh pihak pengurusan sekolah tetapi dari aspek lain sekolah saya mencatat kecemerlangan iaitu dari segi akademik dan ko-kurikulum.

Daripada pencapaian Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun 2007 dan 2008 amatlah baik di mana seramai 15 murid sekolah saya mendapat 5A dengan peratusan 75.2 peratus. Apa yang menghairankan saya terdapat sekolah yang prestasi akademiknya rendah, namun guru besar sekolah tersebut telah terpilih mendapat gred DG-A38.

Di sini saya ingin bertanya pihak-pihak yang berkenaan manakah lebih penting bagi sesebuah sekolah, adakah keputusan cemerlang dalam UPSR atau keceriaan sekolah semata-mata.

Baru-baru ini, saya telah ke konvensyen guru besar di Kuala Terengganu dan di sana perkara yang sama disuarakan agar semua guru besar dinaikkan pangkat ke Gred DG-A38, memandangkan pengalaman dan khidmat yang telah lama diberikan. Tambahan pula amat sukar untuk pihak Jabatan Pelajaran untuk melantik guru-guru DG-29 ke DG32 memegang jawatan penolong kanan di sekolah-sekolah rendah kerana mereka lebih selesa dengan gaji yang ditawarkan sebagai guru penolong.

Semoga suara hati ini mendapat perhatian dan pertimbangan.

GURU BESAR
Alor Star

Utusan Malaysia Online: 2 Disember 2008

Tiada ulasan: