Sabtu, 20 Disember 2008

Strategi guru serampang dua mata diguna pakai

KUALA LUMPUR 18 Dis. - Malaysia yang memberi sokongan padu terhadap agenda Pendidikan Untuk Semua (EFA), mengguna pakai strategi pendidikan guru serampang dua mata - pengambilan dan ganjaran kepada guru - dalam usaha merealisasikan agenda EFA.

"Di samping mengambil calon pendidikan guru berkelayakan, kita juga perlu memastikan guru yang sedang berkhidmat terus berminat untuk berkhidmat," kata Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Berkongsi amalan terbaik Malaysia dalam pendidikan guru pada sesi pleno Mesyuarat Ke-8 Kumpulan Peringkat Tinggi bagi Pendidikan Untuk Semua di Oslo, Norway, beliau berkata, Malaysia sedar perlunya mengekalkan pelaburan guru yang berkelayakan dan bermotivasi kerana mereka menjadi tunggak untuk meningkatkan lagi kualiti sistem pendidikan.

Hishammuddin yang juga anggota Lembaga Eksekutif Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco) berkata, dunia memerlukan 18 juta guru untuk dilatih dan diambil menjelang 2015.

"Cabarannya ialah mengenai perlunya mewujudkan keseimbangan antara kuantiti dengan kualiti guru yang dikeluarkan dan matlamat jangka pendek dan jangka panjang untuk mewujudkan tenaga kerja guru yang berkualiti tinggi," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Untuk menjamin kualiti, katanya, pemilihan calon mengikuti program pendidikan guru di Malaysia melibatkan langkah ketat.

Utusan Malaysia Online: 19 Disember 2008

Tiada ulasan: