Khamis, 25 Disember 2008

Sekolah Terbilang: SBPI Gombak unggul

Oleh Khairina Yasin


PERSEKITARAN SBPI Gombak yang bersih berjaya mewujudkan suasana pembelajaran yang kondusif.

Mendapat tempat kedua terbaik SBP, capai gred purata 1.73 dalam SPM 2007

TERGOLONG dalam senarai sepuluh sekolah berasrama penuh (SBP) terbaik peperiksaan Penilaian Menengah Rendah dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menjadikan Sekolah Berasrama Penuh Integrasi (SBPI), Gombak pilihan pelajar meneruskan pengajian peringkat menengah.

Pencapaian akademik membanggakan setiap tahun menjadikan sekolah itu disegani sekali gus meletakkannya antara sekolah elit di negara ini yang menawarkan tiga aliran pendidikan iaitu sains tulen, sains tulen agama dan sains teknikal.

Pengetuanya, Norlia Mohd Shuhaili (kini Timbalan Pengarah, Bahagian Pengurusan Sekolah Kluster dan Sekolah Berasrama Penuh), berkata sekolah itu berjaya memperbaiki kedudukan dalam peperiksaan SPM 2007 dengan menduduki tempat kedua terbaik SBP seluruh negara dengan pencapaian gred purata 1.73

Malah katanya, rekod pencapaian pelajar khususnya dalam mata pelajaran Fizik dan Kimia peringkat SPM sememang menyerlah, sekali gus menandingi SBP premier lain dalam mata pelajaran itu.

“Pencapaian peperiksaan PMR 2007 pula menunjukkan 70.6 peratus daripada keseluruhan 85 calon mencapai semua A dalam semua mata pelajaran, meningkat 36.1 peratus berbanding tahun sebelumnya.

“Siri kejayaan itu selari dengan misi sekolah untuk mencapai kecemerlangan kurikulum dan kokurikulum menerusi sistem perancangan, pelaksanaan, pemantauan dan penilaian sistematik serta mantap dalam usaha merealisasikan Falsafah Pendidikan Kebangsaan,” katanya kepada Berita Harian.

Bagi memastikan kecemerlangan itu seimbang, Norlia berkata, penekanan terhadap pencapaian kokurikulum pelajar turut diutamakan.

Katanya, pembangunan sukan dan kegiatan kokurikulum khususnya dalam sukan ragbi, hoki, catur, kebudayaan dan nilam tidak diabaikan agar pelajar diberi peluang menyertai kegiatan itu mengikut kecenderungan masing-masing.

Norlia berkata, pelbagai kejayaan diraih khususnya dalam sukan ragbi apabila pernah muncul johan dan naib johan Kejohanan Ragbi peringkat daerah dan negeri.

“Sukan ini dipilih menjadi salah satu sukan utama SBPI Gombak kerana ia banyak membabitkan kekuatan mental dari sudut tumpuan yang menjadi antara ciri penting dalam pembangunan pelajar.

“Dalam kegiatan koakademik pula, sekolah pernah muncul tempat ketiga Anugerah Nilam Peringkat Negeri Selangor kategori Sekolah Menengah Luar Bandar 2008 ,” katanya.

Beliau berkata, peluang mempelajari bahasa asing turut diberikan kepada pelajar selaras konsep SBPI yang diperkenalkan Kementerian Pelajaran pada 2003 bukan saja memerlukan pelajar mengambil semua mata pelajaran teras, termasuk bahasa Arab komunikasi, malah perlu memilih mata pelajaran bahasa asing sama ada Jepun, Perancis, Jerman atau Mandarin.

Pendedahan itu katanya, memberi kelebihan kepada pelajar kerana berpeluang mempelbagai pengetahuan dan penguasaan bahasa asing menerusi nilai tambahan yang memberi banyak manfaat dan kelebihan kepada pelajar.

“Pembelajaran bahasa Arab Komunikasi diwajibkan seawal tingkatan satu, selain satu bahasa antarabangsa sebagai mata pelajaran elektif.

“Usaha ini melengkapi pelajar SBPI dengan penguasaan sekurang-kurang empat bahasa, merangkumi bahasa Melayu, Inggeris, Arab dan satu bahasa antarabangsa,” katanya.

Norlia berkata, peluang itu turut membolehkan lulusan SBPI Gombak menerokai peluang melanjutkan pelajaran di luar negara termasuk di Jordan, Mesir, England, Rusia, Jepun dan Amerika Syarikat.

INFO: Sejarah SBPI Gombak

  • Mula beroperasi pada 2003 dengan 15 guru tanpa kakitangan sokongan
  • Menawarkan tiga aliran pendidikan
  • Enrolmen pelajar kini mencecah 606 orang
  • Mempunyai 21 kelas
Berita Harian Online: 24 Disember 2008

Tiada ulasan: