HARI ini berlangsung persidangan terakhir meja bulat bagi mendapatkan maklum balas pelbagai pihak sebelum kerajaan membuat keputusan muktamad berhubung dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).
Selesai persidangan yang melibatkan 200 peserta pelbagai latar belakang itu, satu laporan akan dihantar ke Kementerian Pelajaran bagi membolehkan post-mortem secara menyeluruh dilaksanakan.
Harus diakui bahawa persidangan yang terakhir itu menjadi sandaran serta harapan pelbagai pihak yang tertunggu-tunggu di mana titik akhir PPSMI lantaran ia melibatkan generasi muda yang dijadikan bahan uji kaji kebolehlaksanaan dasar tersebut.
Semestinya juga keputusan sama ada PPSMI menjadi dasar atau sebaliknya tidak boleh dipandang ringan. Kaitannya dengan masa depan bidang pendidikan di negara ini amat jelas, dan kesilapan kecil boleh saja menjejaskan nasib rakyat terutama mereka yang tersisih daripada pelbagai kemudahan.
Kita tentu tidak mahu selepas dasar ini dipersetujui misalnya, langkah kebelakang terpaksa diambil semata-mata kerana keputusan peperiksaan untuk tahun-tahun seterusnya menyaksikan kemerosotan.
Oleh itu adalah menjadi tanggungjawab ahli politik, pakar akademik, pertubuhan bukan kerajaan, tokoh pendidik yang hadir pada persidangan hari ini mengemukakan hujah masing-masing dengan berani dan tanpa berselindung.
Jika PPSMI diyakini berupaya meningkatkan kecekapan para pelajar menguasai kedua-dua mata pelajaran teras itu, maka bentangkan kewajarannya berserta alasan kukuh yang mampu mengikat hati ibu bapa.
Begitu juga jika dipercayai belum masanya untuk dasar PPSMI dilaksanakan, maka senaraikan sebab musababnya secara jelas supaya tiada penyesalan di kemudian hari kelak.
Pro dan kontra PPSMI mesti dikaji, diteliti dan diperinci kerana natijahnya amat besar - jika berjaya, akan berjaya sepenuhnya sebaliknya jika gagal akan melibatkan maruah bangsa dan negara.
Kesemuanya itu bertujuan memastikan matlamat kerajaan untuk melahirkan cerdik pandai sains dan matematik tidak bercanggah dengan hasrat memperkasakan bahasa kebangsaan.
Tidak dinafikan bahawa hasrat murni kerajaan melaksanakan PPSMI adalah untuk membolehkan rakyat Malaysia melengkapkan diri dengan ilmu yang diajar menggunakan bahasa Inggeris.
Namun persediaan tidak rapi termasuk masalah guru-guru tidak fasih berbahasa Inggeris menyebabkan tujuan murni kerajaan rosak dan hanya dimanfaatkan oleh murid-murid yang 'bertuah' sahaja.
Kita tidak mahu manfaat dasar PPSMI hanya melingkari pelajar-pelajar bandar manakala warga sekolah di pedalaman terutama Sabah dan Sarawak menggigit jari. Jalan paling baik ialah lengkapkan prasarana PPSMI supaya dasar tersebut dapat dimanfaatkan secara adil oleh semua penduduk di negara ini tanpa mengira di mana mereka berada.
Utusan Malaysia Online: 16 Disember 2008
Rabu, 17 Disember 2008
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan