Sabtu, 20 Disember 2008

Kelemahan PPSMI harus dikaji secara mendalam

PERSIDANGAN meja bulat baru-baru ini untuk membincangkan mengenai pengajaran Sains dan Matematik di dalam bahasa Inggeris akhirnya tetap mewajarkan penggunaan bahasa kedua tersebut, walaupun terdapat beberapa cadangan dan idea pihak tertentu tentang perkara tersebut.

Memetik tulisan Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman, mantan Pengerusi MAS, beliau secara jelas menyatakan bahawa dari segi undang-undangnya matapelajaran di sekolah seharusnya menggunakan bahasa Melayu termasuklah bagi subjek Sains dan Matematik.

Menurut beliau dan atas pemahaman kita semua, Artikel 152 dengan sudah terang lagi bersuluh memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi. Dan sesungguhnya, ramai yang bersetuju dengan kenyataan ini.

Banyak pihak menentang penggunaan bahasa Inggeris untuk subjek Sains dan Matematik. Pertama, kesannya sangat dirasai di kalangan pelajar luar bandar di mana tahap penguasaan bahasa Inggeris di kalangan mereka amat lemah dan ini boleh dilihat secara langsung menerusi keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) baru-baru ini. Tekanan untuk menguasai bahasa Inggeris akan terus menghantui pelajar dari tahun ke tahun dan ditakuti akan menjejaskan keputusan Penilaian Menengah Rendah dan Sijil Pelajaran Malaysia.

Akhirnya, pelajar-pelajar akan terkandas dalam pelajaran dan tidak mampu untuk bersaing. Pekerjaan yang mampu dilakukan apabila dewasa tamat persekolahan hanya setakat operator pengeluaran, juruwang atau pembantu jualan. Alangkah ruginya mereka.

Kedua, selepas lebih 50 tahun merdeka, kita seharusnya berbangga dengan kemampuan bahasa Melayu untuk bersaing di peringkat global. Tidak wajar bagi kita mendidik anak-anak bangsa dengan bahasa Inggeris terutama dalam bidang sains dan matematik seolah-olah memberi gambaran bahawa bahasa Melayu tidak boleh dibawa kemana-mana maka bahasa Inggerislah penentu kejayaan akan datang. Persepsi ini akan dipegang oleh mereka sehingga dewasa dan diwarisi pula kepada generasi akan datang.

Ketiga, subjek Sains dan Matematik sememangnya diakui penting dan menjadi kayu ukur kepada kecemerlangan pelajar. Jika kedua-dua subjek ini dapat dikuasai oleh pelajar, maka secara amnya mereka juga dapat menguasai subjek lain. Jadi, untuk memastikan pelajar boleh menguasai kedua-dua subjek itu dengan baik, maka pengajarannya mestilah di dalam bahasa ibunda, iaitu bahasa Melayu.

Keempat, pelaksanaannya dilihat terlalu drastik dan ad-hoc kerana guru-guru sendiri terpaksa mempersiapkan diri dengan kemampuan berbahasa Inggeris. Jika diselidiki, terdapat juga guru yang tidak mempunyai kemahiran bahasa Inggeris yang baik tetapi mengajar subjek tersebut. Bak kata pepatah "ketam mengajar anaknya berjalan lurus". Ada juga guru yang mengambil kesempatan kerana mahu menerima elaun bulanan tambahan, sanggup mengajar subjek tersebut walaupun tidak mahir dan pengajaran akhirnya tidak berkesan.

Pihak kementerian seharusnya menyelidik pelaksanaan PPSMI dengan sebaiknya. Perubahan ke atas sistem pendidikan sememangnya memerlukan kita memikirkan sedalam-dalamnya kesan dan natijahnya. Secara am perubahan sangat baik untuk dilakukan tetapi memerlukan kepada perancangan yang teliti di samping itu memerlukan kerjasama, penglibatan, bimbingan dan perundingan dengan semua pihak yang berkenaan termasuklah pihak kementerian, sekolah, guru-guru, pelajar dan ibu bapa. Kalangan cendekiawan juga boleh memikirkan mekanisme yang sesuai supaya pelajar dapat menguasai bahasa Inggeris dengan cara lain, tanpa perlu dijadikan sebagai bahasa utama untuk subjek Sains dan Matematik.

SHARUL AZLAN MAULOD
Kolej Profesional MARA Beranang

Utusan Malaysia Online: 19 Disember 2008

Tiada ulasan: