Selasa, 30 Disember 2008

Warga pendidik perlu optimis jayakan PIPP

SEREMBAN 28 Dis. - Warga pendidik perlu optimis dalam meningkatkan kualiti pembelajaran supaya matlamat Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) dapat dicapai menjelang tahun 2010.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelajaran dan Institusi Pengajian Tinggi negeri, Shamsulkahar Mohd. Deli berkata, mereka tidak mempunyai masa untuk menoleh ke belakang sebaliknya terus berusaha untuk mencapai sasaran yang telah ditetapkan dalam menghasilkan modal insan terbilang.

Pada masa yang sama, beliau meminta kesemua sekolah di negeri ini agar terus menumpukan perhatian yang lebih khusus dengan usaha mempertingkatkan kualiti dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran.

''Kita harus mengejar sasaran PIPP tetapi pada masa yang sama semua sekolah hendaklah meningkatkan tumpuan kepada pengajaran dan kaedah pembelajaran supaya ia boleh diterima baik oleh pelajar untuk menjadi insan cemerlang," kata beliau.

Beliau berucap pada majlis Hari Kualiti Jabatan Pelajaran peringkat negeri di Dewan Sekolah Menegah Kebangsaan Seremban 2 di sini baru-baru ini.

Kata Shamsulkahar, untuk mencapai objektif itu antara yang perlu dilakukan ialah meningkatkan kualiti dari segi mencapai kecemerlangan dalam bidang pentadbiran, pengurusan dan mutu pengajaran.

Tambah beliau, kerajaan negeri juga berharap agar semua sekolah di negeri ini bukan sahaja terlibat dengan aktiviti kelas semata-mata tetapi bergiat aktif secara berterusan dalam bidang reka cipta dan inovasi.

Katanya, bidang berkenaan seharusnya dijadikan sebagai salah satu aktiviti yang berterusan agar mendidik pelajar untuk lebih berilmu pengetahuan selain berkemampuan untuk berfikir secara kritis dan berinovasi.

''Kita mahu pelajar mengembangkan minda dalam penciptaan dan mengemukakan pandangan. Kita juga mahu guru lebih kreatif supaya kedua-dua elemen ini digabungkan untuk melahirkan kecemerlangan berganda," jelas beliau.

Utusan Malaysia Online: 29 Disember 2008

Tiada ulasan: