Isnin, 8 Disember 2008

Apabila murid sakit perut

Oleh Rifaat Abd Hamid

APABILA sekolah tidak lagi menjadi tempat selamat bagi menjamin kesihatan murid, mereka akan terdedah kepada pelbagai masalah keracunan makanan dan secara tidak langsung menjejaskan pencapaian muridan masing-masing.

Kes keracunan makanan bukan lagi menjadi masalah terpinggir atau berlaku sesekali, tetapi kini menjadi perbualan di kalangan ibu bapa dan guru khususnya membabitkan penyediaan makanan di kantin sekolah.

Setiap kali masalah terbabit timbul, pihak berkaitan menuding jari antara satu sama lain sedangkan rumitan masih tidak mampu diselesaikan.

Fenomena ini turut menggambarkan masih ada yang tidak beres dari segi penjagaan kesihatan makanan di sekolah.

Oleh itu. kerjasama antara guru, ibu bapa, Kementerian Pelajaran dan Kementerian Kesihatan serta murid perlu wujud bagi menangani masalah ini manakala pengetahuan berhubung aspek kesihatan di kalangan penyedia makanan harus diberi keutamaan.

Lantaran itu, Pegawai Perubatan Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Star, Dr Azira Azmi, menggesa pihak penyedia makanan supaya mengikuti kursus berhubung punca keracunan makanan iaitu bermula daripada kebersihan bahan mentah hinggalah kepada cara menyimpan makanan yang lebih selamat.

Prosedur asas penyediaan makanan yang sihat terbahagi kepada tiga peringkat iaitu sebelum, semasa dan selepas memasak.

Dalam tiga peringkat itu penyedia makanan perlu memastikan ia bebas daripada punca keracunan makanan.

"Selain menjalani pemeriksaan kesihatan di klinik, penyedia makanan dikehendaki mengambil suntikan tifoid untuk mengelak daripada menjadi pembawa penyakit berjangkit sebelum mereka mendapat lesen daripada pihak berkuasa," katanya.

Tifoid adalah antara kuman yang biasanya didapati menjadi penyebab keracunan makanan, selain E coli, Shigella dan Salmonella typhii."

Memang penting bagi penyedia makanan mengambil suntikan ini kerana tanpa berbuat demikian, dikhuatiri mereka menjadi pembawa kuman penyakit berjangkit terutama pekerja kantin sekolah yang menyediakan makanan kepada ratusan murid," katanya.

Ada tiga jenis pencemaran makanan utama yang sering berlaku hingga menyebabkan kesihatan seseorang itu terjejas iaitu pencemaran berbentuk biologi, fizikal dan kimia.

Pencemaran biologi adalah makanan yang mengandungi bakteria, fungi (kulat dan yis) dan virus.

Makanan ini tercemar kerana dipercayai sudah terlalu lama hingga menyebabkan bakteria ini tumbuh di atas permukaan makanan terbabit.

Bagi pencemaran fizikal, ia sering berkait dengan bahan luar yang ada dalam makanan terbabit seperti rambut, kaca dan bahan logam.

Pencemaran kimia pula antara lain membabitkan bahan seperti racun serangga, bahan pencuci kimia dan bahan pengawet berlebihan dalam makanan.

Bagaimanapun, tidak dinafikan kemungkinan ada di kalangan murid membawa makanan dari luar kawasan sekolah yang turut menjadi punca berlakunya keracunan makanan.

Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Syed Omar, Alor Star, pula menyarankan pihak sekolah serta PIBG harus memberi perhatian terhadap proses pemilihan pengusaha kantin.

"Mereka perlu mengenal pasti pengusaha yang berkemampuan menjaga kebersihan serta menjaga kualiti makanan. Walaupun sibuk dengan urusan seharian, ibu bapa atau ahli jawatankuasa PIBG perlu singgah ke kantin untuk memeriksa tahap kebersihan sekali gus dapat memantau kualiti makanan yang dihidangkan kepada murid," katanya.

Menurutnya, kebimbangan timbul apabila ada pengusaha cuba menggunakan bahan mentah yang sudah luput tarikh atau menggunakan bekalan diharamkan kerajaan bagi meminimumkan kos perniagaan mereka.

Selain itu, ibu bapa perlu meningkatkan kesedaran mereka mengenai tahap kebersihan."Mereka sepatutnya dididik supaya tahu memilih makanan yang baik untuk kesihatan.

Keracunan makanan boleh berlaku pada bila-bila masa. Dikhuatiri ia berlaku ketika murid menduduki peperiksaan dan ini akan menjejaskan pencapaian peperiksaan mereka," katanya.

Justeru, beliau menyarankan pertemuan antara pihak sekolah, ibu bapa dan pengusaha kantin bagi merapatkan jurang antara pihak berkaitan supaya murid tidak sewenang-wenangnya menjadi mangsa keracunan makanan.

Antara kes keracunan makanan membabitkan murid pelajar sekolah:

11 September 2008: 87 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Agama Kedah mengadu sakit perut dan cirit-birit dipercayai keracunan makanan selepas bersahur dengan nasi ayam ros di dewan makan asrama sekolah.

14 Ogos 2008: 288 pelajar dari sekolah sama mengalami kes keracunan selepas makan ayam masak merah dan sup daging di dewan makan asrama.

1 Julai 2008: 100 murid sesi pagi Sekolah Kebangsaan Taman Seri Gombak, Batu Caves dikejarkan ke wad kecemasan Hospital Selayang selepas mengadu sakit perut, cirit-birit serta muntah selepas menikmati makan tengah hari di kantin sekolah.

22 April 2008: 121 murid Sekolah Kebangsaan Taman Datuk Harun (1), Petaling Jaya mengadu sakit perut, pening dan muntah-muntah dipercayai keracunan makanan selepas memakan nasi lemak masam dan minum air berperisa coklat dibeli di kantin sekolah.

16 April 2008: 20 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Tunku Besar Burhanuddin Seri Menanti, Kuala Pilah dihantar ke hospital selepas sakit perut, cirit-birit dan muntah dipercayai keracunan makanan.

31 Januari 2008: 30 pelajar Sekolah Kebangsaan Seri Ampang Muda, Belantek, Sik, Kedah, dihantar ke Pusat Kesihatan Gulau selepas mengadu sakit perut dipercayai akibat keracunan makanan diperoleh daripada program Rancangan Makanan Tambahan.

30 Januari 2008: Seramai 35 murid Sekolah Kebangsaan Taman Aman, Anak Bukit, Kedah, dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah selepas mengalami pening kepala, sakit perut dan muntah dipercayai keracunan makanan selepas makan roti aiskrim yang dijual di kantin sekolah.

30 Januari 2008: 17 murid Sekolah Kebangsaan Gong Nangka, Kedah, pening, sakit perut dan muntah selepas makan makanan disyaki tercemar di kantin sekolah.

29 Ogos 2007: 33 murid SK Penambang, Kota Bharu terpaksa dikejarkan untuk rawatan kecemasan akibat keracunan selepas menikmati sarapan di kantin sekolah.

17 Ogos 2007: 150 pelajar asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Sandakan dibawa ke Hospital Duchess of Kent selepas mengadu sakit perut dipercayai cirit-birit selepas makan malam di dewan makan asrama sekolah itu.

10 Ogos 2007: 55 murid SK Danau Kota 2, Kuala Lumpur muntah dan sakit perut akibat keracunan selepas menjamu selera makanan di kantin sekolah.

9 Ogos 2007: 81 pelajar Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Rawang (Sepintar) dibawa ke Hospital Sungai Buloh selepas mengalami muntah dan cirit-birit dipercayai selepas makan di dewan makan asrama sekolah.

6 Ogos 2007: Seramai 57 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Beris Panchor, Tawang dikejarkan ke klinik kesihatan selepas meminum susu kotak percuma menerusi bantuan Rancangan Makanan Tambahan.

2 Ogos 2007: Lebih 80 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama di Batu 42, Baling, Kedah, mengalami cirit-birit selepas menikmati roti canai dan minuman coklat di asrama sekolah.

13 Julai 2007: Seramai 30 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Tanah Liat, Pulau Pinang, sakit perut dan loya dipercayai keracunan makanan selepas makan nasi berlauk daging dan nasi ayam di kantin sekolah.

MyMetro: 8 Disember 2008

Tiada ulasan: