Oleh Azman Mahmood
KUALA LUMPUR: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) mencadangkan kerajaan membentuk jawatankuasa khas peringkat tertinggi dianggotai pakar dalam bidang pendidikan dan sejarah bagi meneliti tujuh rumusan Persidangan Meja Bulat Pengajaran dan Pembelajaran Sains serta Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).
Langkah itu bagi memastikan keputusan bakal diambil Kementerian Pelajaran menjadi satu dasar mengenai PPSMI benar-benar menepati kehendak sistem pendidikan negara dan sejajar tuntutan pendidikan global.
Presidennya, Hashim Adnan, berkata antara tokoh dilihat layak menduduki jawatankuasa itu, Profesor Diraja Ungku Aziz dan Profesor Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim dengan Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein sebagai pengerusi.
Katanya, apa yang penting rumusan itu diteliti secara positif dengan matlamat memperkasa dan meningkatkan kecemerlangan pendidikan untuk generasi akan datang.
“Terlalu awal untuk mana-mana pihak dan badan bukan kerajaan berkaitan pendidikan menolak rumusan itu. Beri peluang kepada Kementerian Pelajaran meneliti dulu dan seterusnya dikemukakan kepada Jemaah Menteri.
“Tetapi, pendirian NUTP mewakili 150,000 ahli mahu kerajaan menggunakan bahasa Malaysia atau bahasa ibunda di sekolah rendah, tetapi meneruskan PPSMI di sekolah menengah.
“Cadangan itu juga adalah yang dikemukakan NUTP pada persidangan meja bulat berkenaan dan menjadi salah satu daripada tujuh rumusan untuk dipertimbangkan kerajaan mengenai masa depan PPSMI,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Kelmarin akhbar melaporkan Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB) menolak ketetapan dibuat dalam Persidangan Meja Bulat PPSMI, pada 16 Disember lalu di Putrajaya yang merumuskan tujuh pilihan untuk dipertimbangkan kerajaan dalam membuat keputusan mengenai masa depan PPSMI.
Presidennya, Mohamad Sabri Mohamad Arshad, berkata tujuh pilihan rumusan itu menjadi semakin keliru dan menyukarkan semua pihak untuk membuat keputusan.
Tujuh rumusan itu untuk dipertimbangkan kerajaan dalam membuat keputusan mengenai masa depan PPSMI ialah:
Bagaimanapun, Berita Harian kelmarin melaporkan, Hishammuddin berkata kementeriannya akan membuat keputusan rasional berhubung masa depan dasar PPSMI.
Mengenai NUTP mahu bahasa Inggeris terus digunakan dalam PPSMI yang termasuk dalam tujuh rumusan itu, Hashim berkata cadangan itu tidak bermakna pihaknya menolak penggunaan bahasa Malaysia bagi dua mata pelajaran berkenaan.
Katanya, apa yang perlu diberi perhatian mengenai sumber maklumat pendidikan dan bahasa ilmu dalam dunia global sekarang ialah bahasa Inggeris.
“Kita bersetuju bahasa Malaysia digunakan dalam PPSMI di peringkat sekolah rendah manakala peringkat menengah bermula Tingkatan Satu, mata pelajaran itu diajar dalam bahasa Inggeris yang menjadi bahasa utama dalam pendidikan antarabangsa.
“NUTP juga berharap kementerian tidak mengambil masa panjang meneliti rumusan itu dan memberi keputusan terbaik kepada masa depan PPSMI berasaskan perkembangan pendidikan global, bukan undur ke belakang,” katanya.
Berita Harian Online: 21 Disember 2008
Tiada ulasan:
Catat Ulasan