Oleh Mohamed Farid Noh
Tokoh mahu kerajaan kaji kesan sebelum tetap keputusan pelaksanaan
KUALA LUMPUR: Tujuh pilihan yang dirumuskan Persidangan Meja Bulat Pengajaran dan Pembelajaran Sains serta Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) menerima reaksi bercampur di kalangan tokoh akademik serta kesatuan perguruan.
Sesetengah mereka yang mahu penggunaan bahasa Melayu di kembalikan, manakala ada pula yang mahu PPSMI diteruskan bagi memastikan generasi baru negara mampu berdaya saing di peringkat global.
Bekas Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Dr Abdul Rahman Arshad, berkata kerajaan perlu menimbangkan masa depan generasi muda secara lebih menyeluruh selain memastikan Bahasa Kebangsaan tidak pupus di negara sendiri sebelum membuat keputusan mutlak PPSMI.
Beliau berkata, sebelum membuat keputusan, kerajaan perlu memikirkan persoalan utama sama ada PPSMI benar-benar akan mempertingkatkan penguasaan bahasa Inggeris pelajar sekolah rendah atau sekadar menguntungkan sebahagian kelompok saja.
"Jika kerajaan serius mempertingkatkan tahap bahasa Inggeris, latihan guru perlu dirombak dengan penubuhan institut pendidikan guru yang mengkhusus kepada bahasa itu di samping memantapkan subjek berkenaan dan bukan menerusi matematik dan sains.
"Masa depan bahasa kebangsaan untuk menjadi bahasa moden juga tidak akan tercapai kerana pembuat dasar sendiri yakin ia membolehkan generasi muda bersaing di peringkat antarabangsa," katanya, semalam.
Beliau mengulas laporan tujuh pilihan yang dirumuskan persidangan meja bulat PPSMI semalam untuk dipertimbangkan kerajaan dalam membuat keputusan mengenai masa depan PPSMI.
Pilihan itu ialah meneruskan PPSMI seperti sedia ada, menggunakan bahasa Melayu atau bahasa ibunda di peringkat sekolah rendah tetapi meneruskan PPSMI di sekolah menengah, memulakan PPSMI dari Tahun Empat hingga sekolah menengah, menggunakan bahasa Melayu atau bahasa ibunda di sekolah rendah dan digunakan sepenuhnya di sekolah menengah.
Penggunaan bahasa pengantar untuk Sains dan Matematik ditentukan oleh sekolah, penggunaan bahasa Melayu atau bahasa ibunda di Tahun Satu hingga Tiga, diikuti dwibahasa pada Tahun Empat hingga Enam dan penggunaan bahasa Inggeris sepenuhnya di sekolah menengah atau memansuhkan mata pelajaran Sains di Tahun Satu hingga Tiga, tetapi mengajar Sains dalam mata pelajaran lain.
Tokoh akademik, Profesor Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim, pula berpendapat PPSMI perlu diteruskan supaya generasi muda dapat bersaing dengan dengan produk pendidikan negara lain.
"Tujuh rumusan itu menjadikan isu PPSMI lebih kompleks. Jika PPSMI dihentikan ia akan memperjudikan masa depan generasi muda kerana perlu mengambil masa lebih lama menguasai bahasa Inggeris," katanya.
Berita Harian Online: 18 Disember 2008
Tiada ulasan:
Catat Ulasan