Rabu, 30 Disember 2009

Bayaran tambahan tidak membebankan

KUALA LUMPUR 29 Dis. - Bayaran tambahan persekolahan yang akan diseragamkan Kementerian Pelajaran bermula tahun depan tidak membebankan, malah lebih rendah berbanding tahun ini.

Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom berkata, bayaran tambahan tidak harus disalahertikan dengan pembayaran lain yang bergantung kepada persetujuan antara pihak sekolah dan persatuan ibu bapa dan guru (PIBG).

"Bayaran tambahan yang diseragamkan merangkumi aktiviti kokurikulum, kertas ujian dalaman, sukan tahunan sekolah, kegiatan Pendidikan Islam atau Pendidikan Moral, Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) dan Insurans Takaful.

"Pembayaran lain seperti majalah sekolah, program kelas komputer dan tuisyen adalah bergantung kepada persetujuan antara pihak sekolah dan PIBG," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas kekeliruan yang timbul berikutan kadar pembayaran tambahan yang diseragamkan untuk pelaksanaan sesi persekolahan 2010.

Kelmarin, Presiden Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof. Madya Datuk Mohamad Ali Hasan berkata, kementerian tidak menetapkan harga siling bayaran tambahan yang boleh dikutip daripada ibu bapa oleh PIBG sekolah-sekolah.

Dalam perkembangan berkaitan, Alimuddin berkata, pihaknya tidak bercadang untuk menetapkan harga siling bagi pembayaran lain yang boleh dikutip PIBG, sebaliknya menyerahkan perkara tersebut kepada pihak sekolah.

"Sekolah di Kuala Lumpur tidak sama dengan sekolah di kawasan pedalaman Sabah.

"Mungkin wang RM10 di luar bandar nilainya tinggi tetapi di Kuala Lumpur, ia hanya sekadar harga sekotak rokok," katanya.

Walaupun begitu, katanya, bagi mengelakkan kutipan wang yang terlalu tinggi, PIBG sekolah harus berhubung dengan Jabatan Pengarah Pelajaran Negeri terlebih dahulu untuk mendapatkan kelulusan.

Utusan Malaysia Online: 30 Disember 2009

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Assalamualaikum dan salam 1 Malaysia. Saya merupakan seorang penjaga kepada salah seorang penuntut tahun 2 di Matrik Gopeng, Perak. Penuntut2 tahun 2 telah melaporkan diri pada Isnin yang lalu, namun amat mendukacitakan apabila dimaklumkan bahawa pihak pengurusan tidak dapat menyediakan bilik d asrama disebabkan kesilapan pihak pengurusan sendiri kerana telah terlebih menerima penuntut baru bagi sessi 2012 yang telah mendaftarkan diri seminggu lebih awal. Penuntut2 senior (tahun 2) telah ditempatkan di rumah Felo namun tidak disediakan kemudahan dan perlatan yang diperlukan bagi keselesaan penuntut untuk belajar dan tinggal di situ. Setelah ada aduan yang dibuat oleh ibu bapa penuntut, pelajar2 senior telah diarahkan keluar dari rumah Felo dan ditempatkan setiap orang dari mereka untuk menumpang di bilik penuntut junior yang mana bilik asrama tersebut juga sudah agak padat. Keadaan ini akan menyebabkan penuntut tidak dapat tinggal dengan selesa serta tida dapat fokus terhadap [elajaran mereka. Janganlah disebabkan masalah ini kelak ada di antara pelajar2 cemerlang kita yang keciciran dan gagal. Mohon pihak yang berwajib membuat penyisatan dan mengambil tindakan SEGERA ke atas masalah ini. Terima kasih