Khamis, 19 Jun 2008

Gaji 2 kali belum muktamad

Oleh Mohd Feroz Abu Bakar dan Nahar Tajri

Kerajaan sedia kaji semula cadangan selepas dapat bantahan kesatuan penjawat awam

IPOH: Kerajaan sedia mengkaji semula pembayaran gaji dua kali sebulan jika pelaksanaannya tidak disenangi kakitangan awam, kata Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr S Subramaniam.

"Saya akan bawa perkara ini untuk dibincangkan oleh Kabinet jika pekerja rasa pembayaran itu membawa lebih banyak kesusahan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pesta Latihan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di sini semalam.

Beliau mengulas bantahan beberapa kesatuan dalam sektor awam berhubung pelaksanaan pembayaran gaji secara dua ansuran itu, yang diumumkan kerajaan minggu lalu.

Tujuh kesatuan mewakili pelbagai sektor dalam perkhidmatan awam yang dihubungi Berita Harian semalam, menolak kaedah pembayaran gaji itu manakala Cuepacs dilaporkan akan membuat keputusan mengenainya pada mesyuarat majlis kongresnya pada 28 Jun ini.

Mengikut kaedah pembayaran gaji yang bermula Ogos ini, separuh gaji pertama akan dibayar pada pertengahan bulan, manakala separuh gaji kedua pada akhir bulan. Segala potongan termasuk cukai pendapatan dan KWSP akan dibuat pada akhir bulan.

Subramaniam menjelaskan, pembayaran gaji dua kali sebulan itu diputuskan kerajaan bagi membantu kakitangan awam menguruskan perbelanjaan dengan lebih berkesan berikutan kenaikan harga minyak dan barangan makanan.

"Kerajaan mahu memastikan kakitangan awam masih mempunyai wang di hujung bulan dan boleh mengagihkan perbelanjaan secara sekata sepanjang 30 hari. Kita tidak mahu mereka menghabiskan wang dua atau tiga hari selepas gaji dan kemudian terpaksa meminjam," katanya.
Sementara itu, Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Lok Yim Pheng, berkata kebanyakan ahli NUTP tidak bersetuju kerana pembayaran gaji dua kali sebulan itu menyukarkan pengurusan kewangan kakitangan awam.

Beliau berkata, kebanyakan ahli kesatuan yang dianggotai 135,000 guru itu, menghubungi pihaknya bagi menyuarakan bantahan dan kebimbangan mengenai pelaksanaan kaedah itu.

"Beberapa perkara perlu diambil kira oleh kerajaan termasuk mengenai pemotongan bayaran pinjaman. Adakah ia juga akan dipotong dua kali sebulan? Bagaimana pula masa yang perlu dipatuhi, misalnya bagi yang meminjam dengan bank," katanya.

Presiden Kesatuan Pegawai Kastam Semenanjung Malaysia, Ibrahim Ahmad, pula berpendapat kaedah pembayaran itu tidak relevan kerana menyukarkan pekerja menguruskan bayaran pinjaman, yuran dan bil bulanan.

"Kalau gaji pertama tidak mencukupi, mereka akan tangguhkan dulu pembayaran dan mungkin berdepan risiko dikenakan faedah lewat bayar jika berhutang dengan bank," katanya yang mewakili 4,000 ahli kesatuan itu.

Presiden Kesatuan Pegawai Pengangkutan Jalan Semenanjung Malaysia (KPPJSM), Hamzah Masri, berkata tinjauannya mendapati semua 2,000 ahli kesatuan itu berpendapat pembayaran gaji dua kali sebulan itu tidak akan membantu dari segi pengurusan kewangan mereka.

"Masalah utama yang kami hadapi adalah peningkatan kos sara hidup disebabkan kenaikan harga barang. Walaupun gaji dibayar dua kali, jumlahnya tetap sama dan ia tidak akan meringankan beban kami, malah menyukarkan mereka jika silap mengurus pendapatan," katanya.

Presiden Kesatuan Pembantu Teknologi Makmal Perubatan Semenanjung Malaysia, Md Saleh Majid, berkata kumpulan sokongan I dan II yang berpendapatan rendah akan terjejas kerana gaji yang diterima dalam satu masa itu sangat sedikit.

"Setiap kali menerima gaji, kami perlu susun perbelanjaan ikut kepentingan, misalnya yuran bas sekolah, pinjaman kenderaan dan perumahan dan kebanyakan keperluan itu melebihi gaji kami pada satu masa jika ia dibahagi dua. Itu belum masuk keperluan asas lain yang perlu diselesaikan segera," katanya.

Pandangan yang sama turut diberikan Presiden Kesatuan Kakitangan Am Universiti Malaya, Husain Mohd Yasin dan Presiden Kesatuan Pekerja-Pekerja Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Munian Appoo.

Presiden Persatuan Pegawai Rendah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Sub Inspektor Jamal Abdullah, pula berkata secara peribadi beliau tidak bersetuju dengan kaedah pembayaran gaji itu.

Beliau berkata, kesatuan itu akan mengadakan mesyuarat dalam masa terdekat bagi mendapatkan ahlinya sebelum keputusan menerima atau menolak kaedah itu.

Berita Harian Online: 18 Jun 2008

Tiada ulasan: