Isnin, 2 Jun 2008

Nasib guru tua perlu pembelaan

Oleh Azrul Affandi Sobry

DIBERI salah, tidak diberi rungutan dan kritikan pula berpanjangan. Itulah dilema yang sentiasa dihadapi kerajaan setiap kali ada imbuhan, ganjaran atau insentif diumumkan kepada kumpulan tertentu.

Bagi yang mendapat ganjaran, sorakan gembira menjadi bualan, manakala bagi yang berasa tersisih, nada kecewa serta marah terpacul di bibir.

Senario yang sama juga berlaku apabila kerajaan mengumumkan insentif kepada 35,000 guru bukan siswazah yang melanjutkan pelajaran dan dimasukkan ke gred DG41 ketika sambutan Hari Guru baru-baru ini.

Pengumuman itu pastinya menjadi berita paling gembira kepada kumpulan guru terbabit kerana perjuangan mengenai perkara itu sudah lama dimainkan di dada akhbar, malah menjadi antara agenda hangat diperdebatkan kesatuan guru dalam beberapa siri pertemuan mereka bersama Kementerian Pelajaran beberapa tahun kebelakangan ini.

Perjuangan itu sebelum ini berasaskan isu kekananan, lantaran guru yang menyambung pengajian ke peringkat ijazah akan dimasukkan ke gred DG41 pada tangga gaji permulaan seakan-akan mereka baru bertugas seperti guru baru, sekali gus menjadikan mereka umpama guru mentah yang baru keluar dari universiti.

Justeru, insentif kerajaan berkuat kuasa Julai ini yang memperakui pengalaman guru sebelum bergelar siswazah dengan mengambil kira tiga tahun perkhidmatan sebelum itu sebagai setahun kenaikan di gred DG41 adalah satu kemenangan besar kepada kumpulan terbabit.

Namun, bagai sudah diduga, selimut di badan, kaki pula yang terdedah. Beri kepada kumpulan gred DG41, kumpulan lain pula menuntut hak mereka. Ia jelas apabila kini kebanyakan guru di gred DG44 dan DGA32 pula melenting menuduh kerajaan tidak adil serta melupakan kumpulan guru berpengalaman atau digelar 'guru tua'.

Isunya, guru di DG44 yang juga pernah berada di skim perkhidmatan pendidikan bukan siswazah kira-kira 20 tahun lalu, menuntut pengalaman lama mereka juga diambil kira supaya tidak berlaku guru lebih baru menghampiri tangga gaji mereka sedangkan mereka lebih lama berkecimpung dalam dunia perguruan.

Guru di gred DGA32 hakiki yang kini bergelar Guru Penolong Kanan pula menuntut supaya gred mereka dinaikkan ke DGA34 lantaran kedudukan mereka kini tidak banyak berbeza dengan guru DGA32 'time based' sedangkan beban tugas mereka sangat besar kerana terpaksa mentadbir sekolah.

Itu belum lagi diambil kira beberapa gred lain yang mungkin juga ada alasan tersendiri meminta kerajaan turut mempertimbangkan kenaikan atau insentif khusus supaya faedah yang diberi kerajaan dapat dirasa secara adil oleh semua pihak.

Hendak disalahkan kerajaan rasanya tidak adil pula kerana jika dirujuk kepada imbuhan dan faedah yang sudah dinikmati warga guru selama ini bukan sedikit, malah kebanyakan guru kini boleh menarik nafas lega apabila gaji ditawarkan termasuk pelbagai elaun menjadikan kumpulan itu mampu hidup lebih selesa.

Namun, tidak adil juga hendak disalahkan guru dengan mendakwa mereka sebagai kakitangan kerajaan yang tidak tahu berterima kasih kerana sesiapa saja di dunia ini mahukan sesuatu itu diberi secara adil, malah setiap permintaan mereka itu, jika diperhalusi ada logik dan benarnya.

Malah, apabila ada guru yang mengaitkan isu kekananan dalam pertimbangan kenaikan gred, sewajarnya membuka mata kementerian dan kerajaan bahawa kumpulan guru tidak pernah sunyi dengan istilah 'senior' dan 'junior' menjadikan kumpulan itu paling sensitif dengan istilah terbabit.

Perlu diakui semua pihak bahawa sejak mereka bersekolah, isu kekananan atau senioriti menjadi agenda utama diperjuangkan semua pihak. Pelajar 'senior' umpamanya tidak akan senang duduk melihat pelajar 'junior' diberi lebih keistimewaan kerana bagi mereka apa saja mesti diutamakan pelajar lebih lama.

Justeru, tidak pelik apabila isu itu berpanjangan ke alam kerjaya kerana mustahil guru lama boleh duduk diam apabila guru baru diberi insentif sedangkan guru lama terus terkontang kanting memperdebat hak mereka yang sekian lama diperjuangkan.

Bagi pihak kerajaan pula, tekanan yang bertubi-tubi itu pastinya menjadi dilema kerana hakikatnya kerajaan tidak pernah berniat meminggirkan mana-mana kumpulan, cuma dalam kes institusi perguruan, cabang dan skopnya terlalu besar dan amat sukar memuaskan hati semua pihak.

Bayangkan, jika kerajaan bertindak secara drastik memberi insentif secara besar-besaran kepada 350,000 guru di seluruh negara, pastinya isu kemampuan kewangan pula menjadi satu kemelut yang lebih memeningkan kepala pemimpin negara.

Justeru, saranan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd Dom, yang meminta semua guru bersabar dan menyerahkan kepada kementerian untuk terus memperhalusi kaedah terbaik dalam penstrukturan sistem gred guru harus dipandang secara positif oleh semua pihak.

Jika Alimuddin sendiri menyatakan keyakinan bahawa kerajaan tidak pernah terlepas pandang dan akan terus memberi pada masa akan datang, warga guru pula sewajarnya mempunyai keyakinan yang sama bahawa satu hari nanti apa yang mereka perjuangkan akan membuahkan kejayaan juga.

Namun, apa yang perlu kerajaan prihatin terhadap isu ini ialah rungutan warga guru tidak boleh sekadar masuk telinga kiri keluar telinga kanan kerana kumpulan itu sewajarnya diberi ruang yang selesa lantaran merekalah berperanan besar melahirkan modal insan dan menyalurkan pendidikan kepada lebih lima juta pelajar di seluruh negara.

Sudah sampai masanya kerajaan memandang serius dan memberikan insentif sewajarnya kepada golongan pendidik, namun dengan syarat kualiti kerja warga guru juga mesti dipertingkatkan.

Warga guru pula, jangan sekadar terus melenting meminta itu dan ini sedangkan kualiti proses pengajaran dan pembelajaran tidak benar-benar cemerlang, gemilang dan terbilang. Jangan jadi seperti tin kosong, diketuk bunyinya memekakkan telinga, tetapi isinya langsung tidak bermanfaat.


Berita Harian Online: 2 Jun 2008





Tiada ulasan: