Jumaat, 6 Jun 2008

Sekolah jadi medan perniagaan?

APA yang saya perhatikan sejak akhir-akhir ini sekolah telah menjadi satu medan baru untuk perniagaan. Apa yang saya maksudkan bukanlah guru-guru itu berniaga tetapi para ibu bapa yang terpaksa membayar sejumlah yuran tambahan yang sangat tinggi tanpa tahu apa sebenarnya dibuat dengan yuran tersebut.

Apa yang saya nampak terutamanya di Terengganu ini ialah pagarnya sahaja menjangkau puluhan ribu ringgit. Sepanjang-panjang pagar sekolah dikonkritkan, bayangkanlah berapa kos yang ditanggung. Bayaran tambahan dikenakan pula kepada pelajar.

Selepas memerhati dan memantau keadaan itu maka dapatlah dibuat kesimpulan ada perbelanjaan yang kurang berhemat menyebabkan ibu bapa terpaksa membayar harga yang mahal untuk tujuan itu.

Perkara utama yang menjadi isu di sini ialah betapa banyaknya kem yang dicanangkan sebagai kem mata pelajaran, klinik mata pelajaran atau apa juga istilah.

Bukanlah apa yang dirancang itu tidak baik tetapi pelaksanaannya itulah yang menjadi persoalan. Apakah perlunya pihak sekolah memanggil penceramah-penceramah luar (kononnya guru-guru pakar atau guru yang memohon untuk menjadi pakar) dan sekolah lain untuk memberikan ceramah kepada pelajar berkali-kali dalam setahun.

Setiap kali datang sejumlah imbuhan dibayar dan dapat pula tuntutan perjalanan. Pada masa yang sama, guru di sekolah itu pula akan pergi ke sekolah lain untuk memberi ceramah kepada pelajar mereka. Sistem pertukaran supaya ada konsep win-win atau dalam kata lain sama-sama merasa.

Saya amat kesal, adakah guru-guru yang sedang mengajar tidak tahukah teknik menjawab soalan yang baik. Tidak bolehkah mencari maklumat atau ilmu dengan pelbagai cara? Tidak adakah jalan lain selain daripada 'membayar' penceramah?

Di manakah konsep pencerapan guru hingga harus bergantung kepada orang luar di mana bayarannya ditanggung oleh ibu bapa melalui saluran PIBG? Di manakah peranan pengetua yang seharusnya mencerap keupayaan guru-gurunya?

Saya juga merasa risau dengan satu lagi tindakan yang patut dihapuskan pada peringkat sekolah iaitu kesukaan guru-guru membawa pelajar bermalam di chalet, resort atau hotel. Mengapakah guru-guru sekarang suka membawa pelajar ke tempat yang terpaksa menelan belanja yang sangat mahal ditampung oleh pihak sekolah di mana sumber dananya adalah PIBG. Sebahagian lagi dibayar oleh pelajar itu sendiri. Bukan saja dipaksa menghadiri kem tetapi dipaksa pula membayar.

Sehingga sekarang nampaknya banyak sekolah yang tidak lagi tahu bekerja tanpa wang. Segalanya bersumberkan wang. Ditabur-taburkan di serata jalan, sedang ibu bapa hangus berkeringat untuk mendapatkan hasil pendapatan.

Sudah lupakah guru-guru semasa mereka bersekolah dulu bagaimana membuat kem di sekolah, susun meja sebagai tempat tidur bersama guru-guru. Makan nasi kawah bersama-sama, ramai pula daripada kita yang berjaya dengan cemerlang.

Tidak ada penceramah luar datang kecuali sekali itu pun sebagai motivasi sahaja bukan setiap mata pelajaran. Rancanglah apa juga aktiviti kalaupun mahu bermalam di resort, hotel atau chalet tetapi biarlah pada kadar yang berpatutan.

DimaafkanSekali atau dua kali setahun bolehlah dimaafkan, tetapi apa yang berlaku sekarang ialah kem pengawas, kem ketua darjah, kem PMR, kem SPM, kem STPM, kem kepimpinan pelajar, kem motivasi dan seribu jenis kem yang pelbagai dan terlalu banyak sampai tak terhitung.

Apa yang saya harap situasi tidak sihat ini harus diselamatkan supaya pergaduhan ibu bapa dan guru tidak berlaku. Bukanlah sesuatu yang baik jika keadaan ini berterusan kerana ia akan mengajar anak didik itu menjadi pemboros dan tidak pandai bekerja tanpa wang.

Bila mendengar keluhan ibu bapa termasuklah kakitangan awam yang gajinya melebihi RM5,000 dengan anak yang ramai maka saya berpendapat bukanlah kenaikan kos yang menjadikan begitu tetapi budaya pemborosan inilah yang menyukarkan lagi keadaan.

Guru yang bijak haruslah pandai memainkan peranan seperti penceramah yang dipanggil itu kerana terlalu banyak ruang dan peluang untuk belajar selama masih berada di sekolah. Sebagai seorang guru mereka haruslah peka dengan situasi supaya lebih bijak melaksanakan sesuatu bukan kerana takut kepada ketua jabatan atau kementerian.

Ini bukanlah Hadiah Hari Guru kepada semua guru tetapi ia hanyalah sebagai satu syor supaya semua jabatan terutamanya Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu harus peka dengan kesusahan pelajar yang memiliki keluarga besar.

Perbelanjaan berhemat akan menyelamatkan keadaan di mana lebih banyak aktiviti akan berjalan lebih lancar. Kemahuan pelajar bukan terletak kepada tempat yang dipilih atau orang yang bercakap tetapi adalah bergantung kepada pengisian yang dilakukan.

Harap semua warga guru bekerja dengan lebih cemerlang dan janganlah merasakan saya memprovokasi guru kerana saya juga seorang guru. Pada masa yang sama saya juga adalah ibu bapa.

SALIM MUHAMMAD

Kuala Terengganu, Terengganu

Utusan Malaysia Online: 5 Jun 2008

Tiada ulasan: