Khamis, 5 Jun 2008

Pegawai profesional tuntut setaraf PTD

SAYA ingin merujuk kepada surat 'Kecewa Pegawai PTD Saja Diberi Peluang Dalam Sektor Kerajaan' yang disiarkan dalam ruangan ini pada 29 Mei lalu mengenai pelantikan wakil atau duta di luar negara.

Sebenarnya kekecewaan yang diluahkan 'Kakitangan Putrajaya' itu bukan asing dalam perkhidmatan awam. Kekecewaan sebenarnya berlaku memandangkan Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) bukan saja memonopoli perkhidmatan luar negara, malah juga hampir semua jawatan penting dalam kerajaan.

Hampir semua jabatan Ketua Setiausaha Kementerian dan Ketua Jabatan adalah dikhaskan kepada PTD. Dalam skim PTD, pegawai lazimnya dikelaskan sebagai cemerlang, sederhana dan biasa. Pegawai yang dikategorikan sebagai cemerlang diberi tanggungjawab mengetuai sesuatu kementerian atau jabatan pada gred Utama A atau lebih tinggi.

Pegawai sederhana pula akan memegang jawatan sebagai timbalan pada gred Utama B. Pegawai biasa akan diberi jawatan yang kurang penting dengan gred utama C. Dalam kebanyakan kes, PTD akan menikmati pencen sekurang-kurang atas gred utama C. Tiada PTD akan pencen pada gred utama C ke bawah.

Berbeza dengan PTD, perkhidmatan profesional seperti jurutera, doktor, pegawai pendidikan, pegawai teknologi maklumat dan sebagainya mempunyai peluang kerjaya yang sangat jauh bezanya dengan PTD.

Pegawai dalam skim profesional juga dikelaskan mengikut cemerlang, sederhana dan biasa. Tetapi malangnya, hanya seorang daripada golongan profesional akan diberi tanggung jawab mengetuai sesuatu jabatan. Itu pun atas gred utama B. Mereka sememangnya dinafikan hak mengetuai kementerian atau jabatan.

Dalam erti kata sebenarnya, pegawai profesional yang paling cemerlang hanya dianggap sederhana atau biasa oleh PTD. Kumpulan sederhana pula akan bertuah jika dapat menikmati jawatan utama C.

Kebanyakan pegawai profesional adalah di kalangan pegawai biasa iaitu yang akan pencen sama ada di tahap gred 41 atau 48. Pegawai profesional sebenarnya adalah dari kalangan kelas ketiga dalam perkhidmatan awam.

Berikutan itu, berlaku pertelingkahan berterusan antara Pegawai Pendidikan dengan PTD yang berhasrat untuk mengisi jawatan pentadbir di jabatan pendidikan negeri. Perkara pokok yang jarang diketengahkan adalah PTD yang diberi tanggungjawab memang sangat muda.

Kebanyakan PTD akan mendapat kenaikan pangkat gred 48 selepas lima tahun berkhidmat. Pegawai profesional lain termasuk pegawai pendidikan hanya akan menikmati kenaikan pangkat pada gred 48 selepas 15 tahun berkhidmat.

Bayangkan jika pegawai PTD yang hanya lima tahun berkhidmat menjadi ketua kepada Pegawai Pendidikan gred 44 atau 41 yang sudah 15 tahun bekerja.

Memandangkan peluang kenaikan pangkat bagi pegawai profesional sangat lambat berbanding dengan rakan mereka dalam PTD, maka perasaan kekecewaan berlaku. Pegawai profesional tidak dapat berbuat apa-apa.

Sebaliknya, PTD terutama yang berada di Jabatan Perkhidmatan Awam sering pula mengatakan pegawai profesional tidak produktif.

Sudah sampai masanya perkhidmatan awam melaksanakan reformasi skim perkhidmatan. Mengekalkan ketuanan PTD dan menafikan hak pegawai profesional peluang kenaikan pangkat sama rata akan menyebabkan perkhidmatan awam tidak dapat meningkatkan kecekapan perkhidmatan secara keseluruhannya.

Perkhidmatan awam bukan milik PTD saja, negara tidak memerlukan perkhidmatan profesional sebagai kelas ketiga.

A AHMAD,Kuala Lumpur.

Berita Harian Online: 4 Jun 2008

Tiada ulasan: