Sabtu, 28 Jun 2008

RM14.1 juta bayar elaun guru, penyelia KAFA

JOHOR BAHRU 26 Jun - Kerajaan negeri menerima peruntukan sebanyak RM14.1 juta setahun daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bagi tujuan pembayaran elaun kepada 1,850 guru dan penyelia Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA) di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Agama Johor, Zainal Abidin Osman berkata, selain itu kerajaan Johor telah menambah peruntukan tersebut sebanyak RM5.6 juta setahun sebagai langkah menaikkan elaun guru-guru dan penyelia terbabit.

"Dengan peruntukan tambahan ini, seramai 1,000 orang guru KAFA telah menerima kenaikan elaun daripada RM500 kepada RM812 dan 850 orang lagi menerima kenaikan dari RM500 kepada RM612," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Halim Suleiman (BN-Puteri Wangsa) pada Sidang Dewan Undangan Negeri Johor di sini hari ini.

Menurut Zainal Abidin, kenaikan elaun sebanyak RM612 itu adalah bagi guru yang mengajar dalam tempoh tiga jam manakala kenaikan RM812 itu adalah bagi mereka yang mengajar empat setengah jam.

"Memandangkan KAFA merupakan peruntukan dan kawalan sepenuhnya daripada Jakim maka usaha untuk memberikan skim perkhidmatan kepada guru KAFA sedang diusahakan dengan JPA.

"Sekiranya berjaya guru KAFA akan mendapat gaji yang bersesuaian," katanya.

Jelas beliau lagi, pembayaran guru KAFA juga tidak tertangguh lagi dengan pembayaran pada setiap bulan melalui Bank Simpanan Nasional.

Utusan Malaysia Online: 27 Jun 2008

Tiada ulasan: