Ahad, 15 Jun 2008

Pilih kursus relevan dengan opsyen - NUTP

KOTA BHARU 14 Jun - Guru bukan siswazah yang ingin melanjutkan pelajaran dinasihatkan supaya memilih kursus yang relevan dengan opsyen pengajaran bagi mengelak berlaku sebarang masalah termasuk tidak diiktiraf oleh Kementerian Pelajaran.

Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Lok Yim Pheng memberitahu, terdapat banyak kes guru yang telah menghabiskan masa, tenaga dan wang tetapi tidak dinaikkan gred perkhidmatan.

Menurut beliau, keadaan ini berlaku kerana kursus ijazah yang dipilih tidak tepat dan bersesuaian dengan opsyen hingga menyebabkannya tidak diiktiraf oleh pihak kementerian.

"NUTP banyak menerima laporan mengenainya sehingga mencapai ribuan kes, sebagai contoh opsyen guru itu ialah bahasa Melayu tetapi dia telah memilih kursus Geografi akibatnya ijazah yang diperoleh tidak diiktiraf oleh kementerian.

"Guru perlu mengikut saluran yang betul termasuk terlebih dahulu merujuk kepada NUTP atau pihak kementerian," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan NUTP cawangan Kelantan di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, Yim Pheng berkata, pihaknya bimbang dengan trend segelintir ibu bapa yang bertindak terus melaporkan kepada polis tindakan salah pertimbangan sebahagian guru semasa mengajar.

Harapan beliau, sekiranya terdapat sebarang perkara yang tidak memuaskan hati, seelok-eloknya ia perlu dibawa berbincang di peringkat sekolah bagi mencari jalan penyelesaian terbaik.

"Guru adalah ikhlas untuk mendidik dan membimbing pelajar tanpa sebarang agenda lain, mungkin dalam proses pengajaran guru itu telah tersalah langkah jadi saya amat berharap rujuk dan bincang dulu dengan pihak sekolah.

"Hormatilah guru yang mendidik anak- anak kita, tindakan itu seolah-olah cuba hendak melemahkan semangat dan maruah guru," jelasnya.

Yim Pheng bagaimanapun berkata, sekiranya ibu bapa masih berkeras untuk mendakwa atau menyaman guru di mahkamah, pihaknya tidak akan berdiam diri dan tetap membela guru terbabit.

"Pembelaan ini bagaimanapun bersyarat iaitu bantuan guaman akan hanya diberikan kepada guru yang beretika yang dikenal pasti tindakannya ikhlas untuk mendidik pelajar.

"Bagi yang salah laku seperti jenayah rogol dan cabul, NUTP tidak akan membelanya, dia kena uruskan sendiri masalahnya," kata beliau.

Utusan Malaysia Online: 15 Jun 2008

Tiada ulasan: