Khamis, 5 Jun 2008

Keputusan UPSR penentu PPSMI

Oleh Norliza Abdullah

Pencapaian calon pertama guna bahasa Inggeris jadi tanda aras keberkesanan dasar

KEPUTUSAN Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini penentu sama ada pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) disemak semula atau sebaliknya, kata Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd Dom.

Katanya, ini kerana pencapaian murid kumpulan pertama menggunakan dasar itu dalam peperiksaan berkenaan akan menjadi penanda aras bagi mengukur keberkesanan pelaksanaan PPSMI di sekolah rendah sejak lebih lima tahun lalu.

"Kita tunggu keputusan UPSR tahun ini kerana ia menjadi penentunya," katanya kepada Berita Harian ketika diminta mengulas saranan supaya kementerian mengkaji semula pelaksanaan PPSMI kerana ia dikatakan gagal meningkatkan pemahaman konsep, ilmu dan kemahiran kedua-dua subjek berkenaan.

Laporan akhbar ini semalam yang memetik Tokoh Akademik, Prof Emeritus Datuk Dr Isahak Haron, sebagai berkata kegagalan pelaksanaan program itu antara lain berpunca penguasaan bahasa Inggeris kebanyakan guru sendiri lemah untuk menerangkan aspek terbabit dengan jelas.

Hasil kajiannya bersama empat pensyarah Universiti Pendidikan Sultan Idris mengenai keberkesanan dasar itu yang dibentangkan pada Konvensyen Pendidikan Nasional di universiti berkenaan kelmarin mendapati 83 peratus murid Tahun Lima di 68 sekolah bandar dan luar bandar termasuk Orang Asli seluruh negara menyatakan sukar mengikuti pelajaran dua subjek berkenaan dalam bahasa Inggeris terutama Sains walaupun mereka mempelajarinya sejak 2003.

Sebelum ini, kajian lain dijalankan sekumpulan penyelidik Universiti Kebangsaan Malaysia serta Dewan Bahasa dan Pustaka juga mendapati kesan negatif pelaksanaan PPSMI terutama kepada murid di kawasan pedalaman.

Hasil kajian itu, majoriti murid di kawasan berkenaan sukar memahami Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris kerana mereka lemah dalam bahasa antarabangsa itu. Kelemahan itu menyukarkan mereka memahami dan memikir konsep kedua-dua subjek berkenaan.

Sambil mengalu-alukan inisiatif semua pihak terutama institusi pengajian tinggi menjalankan kajian menyeluruh mengenai keberkesanan PPSMI, Alimuddin berkata;

"Sebagai agensi pelaksana, kita terbuka dan menerima sebarang hasil kajian kerana ia adalah bukti sahih serta kesan mengenai dasar kerajaan dalam melaksanakan PPSMI," katanya.

Berita Harian Online: 5 Jun 2008

Tiada ulasan: